Tidak sampai seminggu lagi bulan penuh berkah iaitu Ramadhan bakal tiba. Dalam tempoh ini, banyak perkara boleh berlaku. InsyaAllah semoga saya dan kalian sempat bertemu dengannya minggu depan.
Pengharapan itu demikian kerana makin tuanya diri saya makin timbul keinginan setiap tahun supaya ditemukan dengan Ramadhan berikutnya. Hidup ini sebenarnya tidak ada sesuatu yang pasti kan? Apatah lagi, bekalan saya pun masih belum mencukupi.
Apa pun, keazaman atau niat awal untuk membuat perkara yang baik pun sudah membuatkan kita diganjarkan pahala oleh Allah. Mudah-mudahan kita diberikan pula jalan dan kelancaran untuk melakukannya.
Jadinya, sebagai persiapan awal dalam jangka waktu kurang seminggu ni apa yang boleh kita lakukan adalah cuba mencari gali amalan atau aktiviti terbaik untuk mengisi bulan tersebut.
Dalam entri ini, saya kongsikan senarai semak amalan Ramadhan atau checklist amalan Ramadhan sebagai panduan dan inspirasi buat kalian yang berminat untuk melipatganda aktiviti (Baca: pahala).
Semua amalan ini diharapkan dapat terus dipraktikkan oleh kita meskipun Ramadhan sudah berlalu. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang baik kita bawa dan amal dari bulan yang penuh kasih sayang Allah ini.
Sebelum tu, jom tengok apa ganjaran yang Allah berikan sempena bulan Ramadhan setiap tahun. Moga-moga kita lebih bersemangat untuk melakukannya. Yang penting, niat utamanya tetap semata-mata kerana Allah jua ya.
Okay, ini antara aktiviti atau amalan yang boleh kita sama-sama lakukan sepanjang Ramadhan nanti. Buat sedikit-sedikit pun tak apa, asalkan konsisten atau berkala mengikut kemampuan. Jika boleh buat setiap hari, Alhamdulillah.
- Bersahur
- Mengaji, membaca, memahami terjemahan, mentadabbur dan bertadarus al-Quran
- Khatam al-Quran (sekurang-kurangnya sekali)
- Bersedekah tenaga dan material
- Memberi makan orang yang berpuasa
- Berzikir ketika sendirian
- Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat baginda
- Menghafal doa-doa pilihan
- Menghafal surah-surah lazim atau surah-surah Juz ‘Amma
- Mengerjakan solat Tarawih
- Melakukan Qiyamulail dan solat Tahajud
- Beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan
- Menghindari diri dari mengumpat dan berkata-kata kesat
- Menjaga pancaindera daripada melihat dan mendengar perkara melalaikan
- Memperbanyakkan solat-solat sunat
- Berdoa bersungguh-sungguh memohon keampunan dari-Nya
- Tidak membazir makanan ketika berbuka puasa
- Melakukan kebaikan setiap masa
Semoga kita diizinkan Allah bertemu Ramadhan yang makin hampir dan dipermudahkan melaksanakan ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain. Laa hawla wa laa quwwata illa billah.~❤NH
Jom baca juga: http://reflectandrelax.com/cara-mudah-untuk-teruskan-amalan-selepas-ramadan-ramadan-activity-checklist/
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”