Bila senja menimbus siang
Bila awan melindung bintang
Kucoba menyuluhkan sinar
Agar malammu cerahJika pernama tak bersemi
Jika arus sama tak pasti
Ku dengan setia membimbing
Menyinar bagai kelip-kelipGenggamlah erat tanganku
Bilang arah nak di tuju
Mari kupimpin ke sana
Kubawa kau terbang pergiSeandainya kita terpisah
Lagu & Lirik: Edry KRU
Tak usah kau rasa gelisah
Ku dengan setia membimbing
Menyinar bagai kelip-kelip
Artis: Remy Ishak
Zaman kanak-kanak dulu, saya begitu teruja mengejar serangga bercahaya ini di kampung Ayah pada waktu malam. Masa tu tak tahu sama ada itu kelip-kelip atau kunang-kunang pun.
Sekarang ni jarang sekali untuk melihat serangga bercahaya tersebut lagi, mungkin kerana persekitaran kita semakin terang lalu menyebabkan saya sendiri tak perasan akan kehadirannya.
Mujur bila dah dewasa ni, ada masyarakat kita yang masih prihatin untuk memulihara dan memelihara serangga bercahaya tersebut daripada terus pupus.
Ada banyak lokasi di negara ini yang menjadi tempat untuk orang ramai melihat serangga bercahaya ini. Walaupun kawasan-kawasan ini dikomersilkan menjadi tempat tumpuan pelancong, namun usaha sebegini wajar dihargai.
Hal itu demikian kerana generasi kini semakin kurang terdedah dengan kegiatan menikmati keunikan dan keindahan alam semula jadi, dek kerana lebih sering didedahkan dengan permainan komputer dan gajet sahaja.
Hmm…Okay, sebelum saya terus melalut, entri kali ini ialah tentang pengalaman saya ke Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan di Kuala Selangor, Selangor, baru-baru ini. Saya ke sana bersama adik lelaki dan isterinya serta dua anak mereka.
Kami ke Kuala Selangor kerana menghadiri kenduri. Alang-alang sudah sampai di sana, kami dah rancang awal untuk menikmati pemandangan kelip-kelip pada waktu malam.
Kalian yang nak ke sana pada hujung minggu atau musim cuti sekolah dan tak suka nak bersesak lama, buatlah plan awal ya, sebaik-baiknya tiba sejurus saja kaunter dibuka, supaya tak perlu beratur panjang dan tunggu terlalu lama. #awaitakkalut
Kami betul-betul teruja nak tengok kelip-kelip kerana pengalaman ni jarang dapat di kawasan bandar. Mula-mula tu kami hampir nak batalkan pengembaraan ni kerana hujan lebat pada petang tersebut.
Saya cakap pada adik yang kita keluar saja ke sana, mana tahu hujan dah berhenti di kawasan Kampung Kuantan. Lokasi itu dengan tempat kami menginap hanya kira-kira 15 minit perjalanan.
Alhamdulillah sampai saja di sana dalam pukul 7 malam, hujan sudah pun berhenti. Cepat-cepat kami berjalan ke kaunter bayaran yang terletak di sebuah bangunan tak jauh dari tempat letak kenderaan.
Bayaran untuk sebuah sampan yang boleh memuatkan 4 orang (tak termasuk pengemudi sampan) ialah RM50. Sesi menyusuri sungai bagi melihat kelip-kelip ini ialah selama 20 minit.
Selepas membuat bayaran, kami diarah untuk pergi ke bahagian jeti dan memakai jaket keselamatan. Ada banyak jaket keselamatan dan saiz yang sesuai untuk kalian termasuklah saiz untuk anak buah saya yang baru berumur 2 tahun tu.
Tak sampai setengah jam, giliran kami pun sampai untuk menaiki sampan. Kena turun tangga ke bawah jeti dan berhati-hatilah ya terutama yang bawa kanak-kanak.
Awal-awalnya kami terdiam sekejap walaupun sebenarnya teruja juga. Suasana di sungai itu juga agak sunyi dan hanya terdengar kocakan air pendayung sampan. Mana taknya kerana ada juga rasa gayat dan takut dalam hati ni ketika menyusuri sungai dengan menaiki sampan dalam pekat malam. Haha.
Walaupun ini kali kedua saya merasai pengalaman tersebut, namun rasa gayat semasa masuk dan duduk di dalam sampan yang bergoyang-goyang masih lagi ada. Haha.
Pengemudi sampan kami ialah anak muda bernama Zaim. Beliau ialah penduduk asal di kawasan itu. Banyak juga maklumat yang beliau kongsikan. Mana yang saya ingat, saya cuba share di sini.
Daripada bacaan saya, kelip-kelip ini ialah serangga daripada jenis kumbang. Ekor serangga ini mengeluarkan cahaya yang berkelip-kelip, menjadikannya antara makhluk ciptaan Tuhan yang unik.
Cahayanya lebih jelas kelihatan pada waktu malam yang pekat. Satu lagi serangga unik yang turut mengeluarkan cahaya ialah kunang-kunang. Haaa…jangan keliru tau, kelip-kelip dan kunang-kunang sebenarnya ialah dua serangga yang berbeza.
Perbezaan Kelip-Kelip dan Kunang-Kunang
Kedua-dua serangga ini nampak sama saja tetapi sebenarnya masing-masing ada sedikit perbezaan. Saya pun pada mulanya ingatkan sama saja, tapi selepas mengunjungi Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor, barulah saya tahu ada beza antara kedua-duanya.
Kami juga bertanya macam-macam soalan kepada Encik Zaim. Bagus Encik Zaim ni sebab dia layan jawab saja semua pertanyaan kami termasuklah soalan sama ada terdapat projek pemeliharaan dan pemuliharaan kelip-kelip di kawasan itu.
Sebelum tu, Encik Zaim ada terangkan perbezaan antara kelip-kelip dan kunang-kunang. Katanya, saiz kelip-kelip lebih kecil berbanding kunang-kunang. Selain itu, kelip-kelip mengeluarkan cahaya kelipan yang lebih laju. Cahaya kunang-kunang pula berkelip agak perlahan.
Katanya lagi, kelip-kelip dan pokok berembang tidak dapat dipisahkan. Pokok berembang ialah habitat utama bagi serangga itu. Serangga itu juga biasanya hanya akan duduk setempat dan berlegar di sekitar pohon tersebut sahaja.
Berbeza dengan kunang-kunang yang lebih cenderung untuk terbang dan merayau jauh. Oh rupanya apa yang saya lihat di rumah Tok dan Wan saya dulu ialah kunang-kunang! Hehe.
Sambil bercerita tu Encik Zaim dayung sampan perlahan-lahan ke tepi sungai mendekati pokok-pokok berembang di sepanjang sungai yang penuh dengan koloni kelip-kelip.
Kami sangatlah teruja. Saya pula memang suka apa-apa saja yang berlampu atau bercahaya! Haha. Suasana di sepanjang sungai masa tu gelap gelita dan dari kejauhan hanya ada lampu jeti yang samar-samar menerangi sungai.
Saya amati pepohon berembang di situ, ia ibarat pokok krismas yang dipenuhi dengan lampu yang bergemerlapan di dalam gelap. Paling unik, kelipannya serentak setiap beberapa saat. Ya Allah, Subhanallah ajaibnya! Cantik dan mempesona.
Saya sempat cuba ambil gambar pepohon yang bergemerlapan itu menggunakan kamera telefon bimbit. Sebelum tu, Encik Zaim ada beritahu yang kelip-kelip ini tak boleh terkena lampu flash kamera, kerana serangga itu akan merajuk dan berhenti berkelip buat beberapa ketika. Huhu.
Tapi gambar yang saya ambil tu tak guna flash, cuma cahaya dari permukaan telefon mungkin mengganggu sedikit. Huhu. Sebenarnya, bukannya boleh nampak jelas pun sebab keadaan tebing yang gelap gelita, tapi saya cuba juga ambil untuk kenangan kononnya. Haha. Lepas dapat satu dua gambar, saya pun padam telefon.
Seterusnya, Encik Zaim juga sempat tangkapkan kami beberapa ekor kelip-kelip untuk kami lihat dan pegang secara lebih dekat. Dia ada juga bawa sampan kami dekat sangat dengan ranting-ranting pokok berembang. Seronoknya bila kelip-kelip yang ada berterbangan di sekeliling kami, hinggap di kepala dan tangan kami.
Anak buah saya yang kecil tu pun menjerit seronok. Mula-mula masuk dalam sampan tadi, dia senyap dan tak bergerak sedikit pun. Mungkin dia terkejut dengan suasana gelap dan sampan yang sedikit terhuyung-hayang.
Tapi mama dan daddynya berjaya buatkan dia rasa tenang dan enjoy dengan pengalaman ni, sehinggakan dia boleh pula bangun untuk melihat lebih dekat dan cuba menangkap sendiri kelip-kelip.
Encik Zaim terus menambah lagi, katanya, untuk menikmati suasana yang lebih cantik dan gemerlapan, datanglah selepas hujan kerana jumlah kelip-kelip lebih banyak pada waktu itu.
Selain itu, dia berkata, jangka hayat kelip-kelip ini tidak lama iaitu hanya sekitar 3 bulan sahaja. Sedih pula saya mendengarnya. Huhu. Adik saya kemudian bertanya tentang jumlah kelip-kelip pada masa ini berbanding zaman dahulu.
Menurut Encik Zaim, penduduk lama di sini mendakwa jumlah koloni serangga ini dipercayai sudah tidak begitu banyak berbanding antara 10 hingga 30 tahun dahulu.
Katanya, situasi itu disebabkan oleh kepupusan pokok berembang di sekitar sungai tersebut. Kelip-kelip amat bergantung kepada pokok berembang sebagai sumber makanan.
Saya bertanyakan pula sama ada terdapat aktiviti pemuliharaan pokok tersebut. Jelasnya, memang ada projek penanaman semula pokok berembang di sepanjang sungai itu.
Projek tersebut biasanya dilakukan oleh organisasi bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat seperti Maybank dan AEON, dengan pemantauan oleh pihak yang menguruskan santuari itu iaitu Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).
Bagaimanapun, katanya, projek seperti itu ada juga cabarannya. Antaranya, daripada 10 pokok yang ditanam, kadang-kala hanya 2 pokok sahaja yang berjaya hidup. Fuhh, penat kalau macam tu tapi demi kelip-kelip dan generasi akan datang, ia patut diteruskan.
Selepas 20 minit berulang-alik menelusuri sungai, kami pun dibawa semula ke jeti. Masing-masing seronok nampaknya dengan pengembaraan kali ini. InsyaAllah kalau ada kesempatan, boleh datang lagi. Haha.
Untuk mereka yang gemarkan cabaran kembara alam semula jadi yang ringan begini, bolehlah berkunjung ke Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan pada hujung minggu atau cuti sekolah akan datang.
Oh ya, ada yang kata kawasan sungai ini banyak nyamuk, tapi sepanjang kami di sana, tak ada pula nyamuk-nyamuk yang menggigit.
Kalau risau digigit nyamuk, kalian boleh saja sembur siap-siap mosquito repellant sebelum ke sana. Tak silap saya, kat sana pun ada gerai yang menjual semburan halang serangga tersebut.
Lokasi dan Waktu Operasi Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan
Alamat: Sungai Selangor, Kampung Kuantan, Bestari Jaya, Selangor. (Kampung ini terletak kira-kira 56 kilometer (km) dari Kuala Lumpur, kira-kira 1 jam perjalanan dari Shah Alam dan 9 km dari pekan Kuala Selangor. Pada Google Map, taip saja Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan atau Kampung Kuantan Fireflies Park.)
Waktu Operasi: 7.30 malam hingga 10.30 malam / Setiap hari.
Bayaran perkhidmatan sampan: RM50 per sampan (Maksimum 4 orang dewasa setiap sampan.)
Tempoh menelusuri sungai: 20 minit
Kembara kelip-kelip ini berbaloi untuk mereka yang suka merasai pengalaman baru. Jarang sekali nak dapat alami perasaan menaiki sampan sambil melihat kelip-kelip yang menakjubkan!
Selamat menikmati suasana malam yang indah di Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan ya! Serius, insyaAllah takkan rugilah untuk mereka yang benar-benar menghargainya.~❤️NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”
Great content! Super high-quality! Keep it up! 🙂
Hey thanks! 🙂