Lamanya tak menaip di sini. Tahun ini memang ‘sesuatu’ sangat ya. Penangan Covid-19 agaknya; terasa seperti ditariknya hampir semua energi daripada diriku.
Setiap langkah yang diambil sebaik keluar dari rumah mesti perlu berhati-hati. Pelitup muka pun dah jadi aksesori. Bila keluar rumah tak pakai ia, rasa janggal. Cepat-cepatlah semua ini berakhir. Rindu hendak ke mana-mana dengan selesa, selamat tanpa risau.
Walau terbatas pergerakan dan aktiviti terutamanya ketika awal-awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac lalu, namun ada banyak juga perkara yang saya pelajari selama ‘dikurung’.
Antaranya ialah masakan gulai ikan masin tumis darat ini. Saya belajar cara masak gulai ikan masin tumis darat ini daripada Mak. Mungkin ada yang dah tahu resepinya, mungkin juga ada yang belum. Mungkin ada yang nak cuba pelbagaikan resepi ikan masin dan satu daripadanya ialah juadah inilah.
Gulai tumis darat ini bukan saja untuk ikan masin, ada juga masakan lain yang menggunakan kaedah masakan yang sama seperti gulai ketam tumis darat.
Untuk kali ini saya kongsikan cara masak dan resepi gulai ikan masin tumis darat dahulu. Menu ini ialah kegemaran saya ketika terkurung selama tiga bulan di rumah kerana PKP. Sebab apa? Sebab gulai ikan masin tumis darat ini bukan saja sedap, malah sangat-sangat mudah dimasak. Hehehe.
Jom tengok bahan-bahan dan cara memasaknya. Senarai bahannya panjang tapi cara masaknya ringkas saja. Walaupun mungkin penerangan di bawah agak meleret. Haha.
Bahan-bahan:
- Ikan masin (Ikan talang)
- Serbuk kari ikan
- Lobak merah
- Labu air
- Cili hijau
- Terung
- Tomato
- Asam keping
- Sedikit santan
Bahan-bahan Tumisan Darat:
- Bawang putih
- Bawang besar
- Daun kari
- Halba campur
- Cili kering
Cara-cara:
- Masukkan 2 atau 3 cawan air ke dalam periuk. Tunggu air mendidih sedikit kemudian masukkan ikan talang masin yang dipotong kiub.
- Dalam mangkuk berasingan, bancuh satu paket serbuk kari ikan dengan sedikit air. Kemudian, tuangkan ia ke dalam periuk berisi air dan ikan masin tadi.
- Biarkan mendidih sekejap. Masukkan sayur lobak merah, labu air dan kentang (jika suka kentang) yang sudah dipotong kiub saiz sederhana.
- Kacau dan biarkan sehingga semua sayur agak empuk. Tapi jangan sampai sayur jadi terlalu lembik.
- Masukkan asam keping. Kemudian masukkan santan. Kacau selalu supaya tidak pecah minyak. (Kuah saya agak berketul-ketul dengan santan kerana saya lupa kisar santan beku saya. Huhu.)
- Pastikan semua sayuran sudah agak empuk serta layu sedikit sebelum mula lakukan langkah seterusnya.
- Dalam kuali berasingan, panaskan minyak dan tumiskan semua bahan-bahan tumisan darat bermula dengan bawang putih, bawang merah, daun kari, halba campur dan cili kering.
- Apabila tumisan sudah naik bau dan kekuningan, segera tuangkan kesemuanya ke dalam periuk berisi campuran masakan yang sedang mendidih tadi.
- Tambahkan pula cili hijau, tomato dan terung dalam campuran masakan. Masukkan garam secukup rasa.
- Kacau seketika dalam tiga minit. Rasa sedikit kuahnya dan sesuaikan. Kalau masih tawar, tambah garam. Jika dah enak ikut deria masing-masing, bolehlah padamkan api dan sedia untuk dihidangkan!
Mudah saja kan? Hehe. Sayur-sayuran dalam masakan ini boleh dipelbagaikan asalkan bukan daripada jenis daun. Menu ini popular dalam kalangan penduduk utara. Ia juga boleh dikatakan antara masakan wajib ketika kenduri-kendara. Pasti rasanya istimewa kan?
Yang membuatkan menu ini istimewa ialah bahan tumisan yang ditumis berasingan sebelum ia akhir sekali ditambah ke dalam masakan. Cara menumis secara berasingan inilah yang dinamakan tumis darat. Tumisan ‘peringkat akhir’ ini memberikan bau wangi dan rasa yang unik kepada gulai ikan masin ini.
Apa lagi, semoga kalian sudi mencubanya nanti ya. Okay, selamat memasak!~❤️NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”