Saban tahun ribuan naskhah al-Quran dan buku teks agama diulang cetak untuk memenuhi keperluan pelbagai lapisan komuniti Muslim di negara kita. Jika dibandingkan cetakan al-Quran dahulu dengan sekarang, berbagai-bagai jenis rekaletak kulit al-Quran bersama dengan isi kandungan tulisan atau kalimah suci yang berwarna-warni dikeluarkan pada masa ini.
Semua ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat khususnya yang beragama Islam membaca, mempelajari tajwid, tafsir, terjemahan dan iktibar dari kitab suci tersebut. Usaha ini patut dipuji.
Namun, bagi kalian yang mempunyai koleksi al-Quran lama atau mempunyai buku-buku teks agama yang sudah habis dibaca dan jarang pula digunakan lagi, tentunya berada dalam dilema untuk menggantikannya. Hal itu mungkin kerana kalian pastinya tak tergamak hendak membuangnya begitu saja kerana mahu menjaga kesucian isi kandungannya. Tidak dinafikan naskhah sebegini memang wajar ditangani secara cermat dan terhormat.
Mungkin juga ada yang masih tercari-cari pihak yang boleh membantu mengumpul dan melakukan tindakan yang seterusnya untuk bahan bacaan berkenaan. Pada masa ini sudah ada pihak-pihak yang berusaha membantu umat Islam untuk melaksanakan kerja melupus dengan kaedah khusus yang sesuai.
Di sini, saya nak kongsikan sekurang-kurangnya dua masjid di bahagian utara yang menjadi pusat sehenti dalam menyediakan perkhidmatan mengumpul dan melupus al-Quran lama serta buku-buku teks agama yang tidak mahu digunakan lagi.
Pihak berkenaan juga menerima al-Quran dan naskhah teks yang sudah lusuh, rosak, dimakan anai-anai dan tidak boleh dibaca. Proses melupuskan bahan bacaan berkaitan di pusat-pusat sehenti ini dilaksanakan mengikut panduan dan hukum syarak bersesuaian dengan spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Agama Islam dan Kementerian Dalam Negeri.
Untuk membolehkan mereka meneruskan kerja pelupusan tersebut, ada sedikit caj perkhidmatan minimum mengikut berat keseluruhan bahan bacaan yang perlu dibayar oleh pemilik.
Kalian boleh berhubung dengan mereka untuk maklumat lanjut atau pergi terus ke pejabat atau kaunter yang dibuka untuk perkhidmatan tersebut.
Lokasi 1
Pusat Pengumpulan Al-Quran (PPAQ)
Masjid Zahir Negeri Kedah Darul Aman
Hubungi:
+6013-4811915
Encik Zam (Unit Media Masjid Zahir)
Facebook Page: Masjid Zahir Negeri Kedah Darul Aman
Lokasi 2
Pusat Pelupusan Al-Quran
Masjid Daerah Seberang Prai Selatan
Sungai Jawi, Seberang Prai Selatan
Hubungi:
+604-5831340
Facebook Page: Masjid Daerah Seberang Prai Selatan
Setakat ini sahaja yang dapat dikongsikan. Dari semasa ke semasa, insyaAllah saya akan cuba kemas kini tempat lain yang menjalankan usaha yang sama sekiranya ada. Jika kalian tahu mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti sama, dialu-alukan untuk kalian meninggalkan maklumat lokasi di bahagian komen atau emelkannya kepada saya ya.~❤NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”