Hari ni cuaca mendung sahaja di utara. Mellow and gloomy. Sekarang musim hujan, barangkali. Pagi tadi sejurus bangun, saya hiburkan hati yang kelabu kerana cuaca ini dengan memasang video syarahan oleh Ustaz Omar Suleiman di YouTube mengenai angels atau malaikat.
Saya suka apa sahaja cerita menarik tentang malaikat kerana bagi saya mereka makhluk yang sangat taat, bersih dan suci kejadiannya. Mendengar video pagi tadi, buat hati saya berbunga tenang.
Kisah ringkas sahaja. Ia tentang kehadiran beribu-ribu malaikat ketika kita bersolat sendirian di mana sahaja. Kalau nak dengar boleh klik pada pautan ini, https://youtu.be/DyjbwAZ47YI .
Seterusnya, dalam perjalanan ke tempat niaga, saya dengar pula perkongsian slot Pesona D’Zahra di saluran radio Ikim.fm tentang Asmaul Husna: Penyelesai Masalah Keluarga. Hari ini Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin (Ustaz Amin) memperkatakan nama Allah yang agung iaitu al-‘Afuw (Yang Maha Pemaaf).
Seperti selalu, konteks perbincangan Ustaz Amin ialah tentang cara nama-nama Allah yang agung ini dijadikan rujukan dan diaplikasikan dalam menyelesaikan masalah keluarga atau rumah tangga.
Bagi yang belum ada keluarga sendiri, boleh saja manfaatkan ilmu beliau secara umum dalam kehidupan harian.
Menurut beliau, ada perbezaan maksud antara perkataan ‘ampun’ dan ‘maaf’ yang sering kita lafazkan dalam doa harian kita atau antara nama al-Ghafur dan al-‘Afuw.
Antara perbezaannya, meminta ampun (Contohnya, dalam kalimat Rabbighfirli…) ialah untuk dosa dan kesalahan yang kita buat walaupun kita tahu ia salah. Memohon maaf (Contohnya, dalam kalimat Wa’fu’annii) pula untuk kesalahan yang kita tak tahu, tak perasan atau tak ada kemampuan atau pilihan bagi menghindarinya.
Kata Ustaz Amin, ada tujuh jenis kesalahan yang dilakukan hamba-hambaNya, namun kesalahan-kesalahan ini dimaafkan oleh Allah SWT.
1. Perkara yang kita jahil atau tiada ilmu tentangnya
Sesuatu perbuatan salah yang kita tak tahu ia sebenarnya salah kerana kita tidak pernah didedahkan kepada ilmu tentang perbuatan tersebut. Bagaimanapun, disebabkan itu kata Ustaz Amin, manusia perlu sentiasa berniat untuk mencari ilmu dan berusaha untuk menuntut ilmu bagi memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik. Tidak wajar untuk membiarkan diri diselubungi kejahilan.
2. Perbuatan yang beri hasil tidak elok yang kita tiada niat untuk menyebabkan hasil tersebut
Dalam konteks rumah tangga, misalnya seorang isteri yang berniat mahu bergurau dengan suaminya dalam suatu perbualan, tetapi suaminya pula terasa hati. Tetapi kata Ustaz Amin, Allah itu Maha Pengasih dan Maha Pemaaf, maka isteri tersebut dimaafkan kerana dia tidak berniat pun untuk menyakiti.
Contoh lain iaitu apabila kita bercakap dengan seseorang tanpa niat untuk melukakan hatinya tetapi orang itu pula merasa sebaliknya atau misalnya, ibu kita tidak suka tempat kita bekerja, dan mahu kita bekerja di tempat lain, tetapi kita tiada kemampuan atau pilihan untuk lakukan apa yang ibu inginkan, perbuatan kita ini insyaAllah dimaafkanNya.
3. Sesuatu perasaan dalam hati yang timbul tanpa sengaja
Dalam hal ini, Ustaz Amin berkongsi tentang soalan yang pernah diajukan seorang bapa kepadanya iaitu bagaimana jika hatinya mempunyai rasa kasih yang lebih kepada anak tertentu, misalnya yang selalu memberikan duit belanja kepadanya berbanding anak-anak yang tidak memberikan wang belanja.
Menurutnya, perasaan dalam hati seperti ini kadang kala timbul sendiri tanpa dapat dikawal. Oleh itu, dalam hal ini, Allah Maha Mengetahui tentang kesukaran manusia mengawal perasaan dalam hati dan urusan hati seperti ini dimaafkanNya. Ia dengan syarat rasa itu hanya dalam hati dan tidak ditunjukkan. Jika hanya dalam hati, insyaAllah Allah maafkan.
4. Perkara yang membabitkan perubatan dan kesihatan
Situasi ini ialah apabila sekiranya kita terpaksa bertegas untuk mengubati seorang, walaupun perbuatan kita itu membuatkan dia bersedih atau terasa hati. Misalnya, seorang isteri yang terpaksa mengawal pemakanan suami yang berpenyakit kerana bimbang makan berlebihan akan memudaratkannya. Bagaimanapun, suaminya berasa jauh hati dengan perbuatan isterinya itu. Di sini, Allah Maha Pemaaf ke atas isteri tersebut.
5. Perkara tidak elok yang kita terpaksa lakukan kerana jika tidak dituruti akan memudaratkan diri
Ustaz Amin menceritakan kisah penduduk Mekah beragama Islam yang ingin berhijrah ke Madinah selepas penghijrahan Nabi Muhammad SAW tetapi perbuatan mereka dihalang oleh musyrikin Mekah.
Apabila disoal tujuan sebenar mereka ke sana, penduduk Mekah yang masih menyembunyikan keislaman masing-masing itu terpaksa mengatakan bahawa mereka ke sana atas urusan lain dan bukan untuk berhijrah serta bersama dengan Nabi Muhammad SAW.
Sejurus tiba di Madinah, mereka rasa terkilan dengan kejadian tersebut itu dan pergi menemui Nabi Muhammad SAW untuk bertanyakan tentang status perbuatan mereka itu, Nabi Muhammad SAW mengatakan, perbuatan seumpamanya dibolehkan.
6. Perbuatan yang di luar kemampuan diri untuk kita tunaikan
Contohnya apabila kita tak mampu berpuasa pada bulan Ramadan kerana sakit teruk atau melakukan kerja buruh yang berat yang jika diteruskan akan memudaratkan diri. Bagaimanapun, ia perlu disertakan niat akan menggantikannya. Atas alasan ini, Allah memaafkan ketidakupayaan kita.
Ataupun, seorang suami yang tidak berkemampuan untuk memberikan nafkah kepada isteri kerana gajinya rendah. Ia pula bukan sesuatu yang disengajakan kerana ia memang di luar kemampuan dirinya.
Bagaimanapun kata Ustaz Amin, pada masa sama suami perlu mengaku kekurangannya, memohon maaf kepada isteri dan minta dihalalkan nafkah yang tidak mampu diberikan itu. Oleh sebab nafkah ialah suatu perkara wajib, maka suami juga perlu berniat serta berjanji dengan isteri untuk menyediakan nafkah tersebut apabila mempunyai rezeki yang lebih dan mencukupi.
7. Mengambil hak yang ditahan
Ustaz Amin seterusnya menceritakan kisah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang datang bertemu baginda dan mengadu tentang sikap suaminya yang agak bakhil terhadapnya meskipun berkemampuan dari segi kewangan. Wanita itu bertanyakan sama ada dia boleh mengambil haknya tanpa pengetahuan suami untuk tujuan nafkah diri dan keperluan rumah. Nabi Muhammad SAW mengatakan ia dibolehkan dan perbuatan ini dimaafkan Allah.
Semua di atas ialah antara nota yang sempat saya catatkan tadi. Untuk mendengar perbincangan lebih jelas daripada Ustaz Amin tentang topik di atas, klik pautan ini.
Kesimpulan yang saya dapati ialah walaupun ada perkara kurang enak yang kita lakukan, Allah masih begitu bertimbang rasa dengan diri kita yang lemah. Ada perkara yang boleh dimaafkanNya, sekali gus menunjukkan betapa memahaminya Dia terhadap kekurangan diri manusia, khususnya terhadap tingkah laku yang sedaya upaya kita cuba awasi tetapi akhirnya ia tidak mampu kita kawal atau yang secara semula jadi terbit dari hati.
Apapun, semoga Allah sentiasa jadikan kita makhluk yang tahu bersyukur dan tidak mengambil kesempatan atas kemaafan yang Allah kurniakan dengan sengaja melakukan perbuatan melampaui batas.
Sentiasa juga panjatkan doa agar Allah menerima permohonan ampun dan maaf kita seterusnya mengampunkan dan memaafkan semua dosa serta kesilapan yang pernah kita lakukan.~❤️NH
Image by Natascha Zeller from Pixabay.
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”