Hari ini hari kesepuluh Perintah Larangan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di negara kita. Langkah itu terpaksa dibuat oleh kerajaan susulan berlakunya peningkatan kes penularan wabak virus Covid-19 di Malaysia dan juga hampir seluruh dunia.
Bagaimana setakat ni? Boleh tahan untuk tambahan 14 hari lagi selepas 31 Mac ini? Huhu. Saya doakan mereka yang mematuhi arahan kerajaan iaitu meminimumkan pergerakan keluar rumah atau just #stayathome dikurniakan kesabaran menghadapi situasi tak dijangka ini di samping diberikan kemudahan dalam setiap urusan masing-masing.
Tak lupa doa tersebut juga untuk petugas barisan hadapan — doktor, jururawat, petugas hospital dan klinik serta kakitangan perubatan dan kesihatan di seluruh dunia — yang sedang bertungkus lumus memeriksa dan merawat mereka yang disyaki atau yang telah dijangkiti penyakit berbahaya ini. Sungguh, mereka benar-benar mengorbankan diri dan bergadai nyawa untuk memastikan kita semua sihat serta selamat.
Ya sudah pasti masing-masing ada bebanan yang terpaksa ditanggung dek kerana musibah ini, namun semoga kita tidak putus asa dan terusan saja panjatkan doa agar Allah hapuskan segera virus berbahaya tersebut dari bumi ini.
Semestinya jua banyak urusan yang tergendala dan terhenti ketika ini; mungkin juga ia sukar untuk dilanjutkan lagi selepas wabak ini benar-benar berakhir; bagaimanapun tiada perkara yang ditentukan-Nya berlaku secara sia-sia.
Pasti ada hikmah yang ingin disampaikan kepada kita — hamba-Nya yang sangat lemah dan kerdil. Moga kita diberikan-Nya kekuatan untuk sabar, diberikan-Nya juga jalan keluar untuk setiap masalah dan dikurniakan ketenangan dalam menyingkap hikmahnya suatu hari nanti. Ameen.
Maaf teremosi pula kali ni. Haishhh. Apa pun, hidup mesti diteruskan dan mulut pun perlu disuapkan makanan kan? Hmm…Kalian mesti dah cuba berbagai-bagai resepi masakan sepanjang tempoh berkurung ni kan?
Tapi, untuk esok dah tahu ke nak masak apa? Kalau tak tahu, meh saya tolong. Resepi ini macam biasa adalah antara hidangan kegemaran saya. Menu ini saya masak minggu lalu iaitu beberapa hari selepas bermulanya PKP.
Dah banyak kali saya masak hidangan ni sampaikan sahabat baik yang tak makan makanan yang terlalu pedas pun sukakannya walaupun rasanya terlajak pedas! Dan untuk ke sekian kalinya juga dia minta saya masakkannya.
Tetapi kali ni disebabkan teringat nak share dengan kalian, saya pun siap sedia dengan kamera di tangan sambil menyiapkan masakan ini. Haha.
Menu masakan ini saya panggil Ayam Goreng Sambal Cili Padi. Tapi ada juga yang namakannya Ayam Goreng Sambal Hijau. Saya lebih gemar nama yang pertama kerana jelas sekali dalam resepi ni saya gunakan cili padi dan ia pedas!
Cuma saya tak gunakan cili padi burung atau cili api burung, sebaliknya saya guna cili padi Siam kerana ia lebih mudah didapati di sini. Kalau guna cili api burung pasti rasa pedasnya lebih kick. Hoho.
Apa pun, tak kisahlah nak namakan resepi ni sebagai Ayam Goreng Sambal Cili Padi atau resepi Ayam Goreng Sambal Hijau, asalkan rasanya tak lari daripada namanya.
Dalam resepi Ayam Goreng Sambal Cili Padi ini, saya lebihkan cilinya kerana cili padi Siam kurang pedas bagi saya, selain saya mahukan sambal yang lebih untuk digaul dengan nasi nanti.
Jika kalian tak berapa makan pedas, boleh kurangkan jumlah cili padi. Tetapi kalau masih pedas, boleh cuba lebihkan asam keping atau tambah hirisan bawang besar untuk kurangkan kepedasan.
Tip bawang besar tu diajar secara tak langsung kepada saya! Tak ingat siapa yang ajar…mungkin ketika curi-curi lihat Mak saya memasak. Hehe.
Bawang besar banyak kegunaannya dalam masakan. Antaranya, ia boleh jadi penyelamat apabila masakan kita terlampau pedas atau terlebih masin. Ia mampu serap lebihan rasa garam serta rasa pedas dan kemudian menyeimbangkan semula rasa masakan.
Ok jom tengok apa bahan-bahan untuk resepi Ayam Goreng Sambal Hijau atau nama lainnya, Ayam Goreng Sambal Cili Padi ini. Oh sebelum terlupa, resepi yang saya kongsi ni sesuai untuk dua orang makan. Dua orang yang sedang berdiet! Kalau tidak, saya masak lebih lagi ni. Haha.
Bahan-bahan:
- 4 ketul ayam
- Serbuk kunyit
- 15 biji cili padi hijau (kisar sederhana kasar)
- 2 biji bawang besar (1 biji dikisar / 1 biji dihiris tebal)
- 2 ulas bawang putih (kisar)
- 1 inci kunyit hidup (kisar)
- 1 batang serai (dititik)
- 2 asam keping
- Secubit gula
- Garam
Cara-cara:
1) Gaul ayam dengan serbuk kunyit dan sedikit garam kemudian goreng ayam sehingga masak. Ketepikan.
2) Panaskan minyak untuk menumis. Tumiskan semua bahan kisar — bawang besar, bawang putih dan kunyit terlebih dahulu sehingga naik bau dan sedikit kekuningan.
3) Masukkan cili padi yang telah dikisar bersama 2 asam keping dan serai. Dengan api kecil, kacau sehingga terbit minyak. Jika terlalu kering tetapi minyak belum naik, tambahkan sedikit lagi minyak dan kacau.
4) Selepas terbit minyak, masukkan sedikit air dan kacau diikuti dengan secubit gula sahaja dan perisakan dengan garam mengikut kesesuaian rasa kalian. Sebatikan semuanya.
5) Kacau sebentar kemudian rasa sedikit sambalnya. Jika terlalu pedas, tambahkan lagi asam keping dan sedikit air. Jika tak cukup garam, tambahkan ketika ini.
6) Apabila rasa sambalnya sudah menepati kehendak lidah dan tekak kalian (Kalau saya, mesti ada rasa yang seimbang antara masin, manis dan pedasnya), masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Kacau sehingga semua bahan mesra dengan ayam.
7) Jika suka atau terasa sambalnya terlalu pedas, ambil bawang besar yang dihiris tebal dan tambahkan dalam masakan. Kacau sekejap dan kemudian dah siap!
8) Hidang dan makanlah dengan nasi panas. Yumsss!
Mudah ke senang? Hehe. Sedap tau bila dapat makan Ayam Goreng Sambal Cili Padi ni dengan nasi yang panas-panas.
Saya penggila sambal yang sedap. Tak kisah sambal apa pun, asalkan jangan terlampau pedas macam mi segera Korea Samyang. Haha. Jadi, masakan ni sesuai sangat dengan saya.
Kalian bagaimana? Cubalah. Kalau tak cuba tak tahu. Dah cuba nanti, beritahu saya di ruang komen di bawah. Itupun kalau ada pembaca dan ada pula yang mencubanya. Kihkihkih.
Jumpa lagi dalam entri saya yang lain. InsyaAllah.~❤️NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”