Pertama kali masak menu ikan siakap stim limau ala Thai ini ketika Mak dan Ayah kembali dari menunaikan haji beberapa bulan lalu. Pada mulanya saya bercadang masak satu masakan utama sahaja untuk mereka iaitu ayam masak lemak cili api; namun saya teringat perbualan telefon bersama Mak ketika beliau berada di kota suci itu.
Katanya, hampir setiap hari beliau dijamu dengan lauk ayam dan nasi Arab sahaja hingga membuatkan beliau berasa muak dengan masakan berasaskan ayam sepanjang di sana. Saya kasihan mendengar cerita Mak; tambahan pula beliau kurang sihat bermula beberapa hari selepas tiba di Mekah hinggalah kembali ke tanah air. Mak saya seorang yang suka makan dan mencuba pelbagai masakan. Saya rasa mungkin kerana keadaan kesihatannya itu menyebabkan beliau jemu dengan menu di sana.
Ayah pula kedengaran seperti tiada masalah makan cuma mengalami batuk-batuk mungkin kerana perubahan cuaca dan persekitaran. Oleh sebab itu, saya teruskan juga hidangan ayam masak lemak cili api kegemaran kami sekeluarga dan menambah menu ikan siakap stim limau ala Thai untuk Mak. Lagipun, menu ikan stim memang kesukaan beliau. Alhamdulillah mereka tak complaint apa-apa dengan hidangan tersebut. Hehe!
Resepi ini saya buat mengikut cara yang dikongsikan seorang tukang masak Thailand bersama seorang pengembara yang juga YouTuber mat salleh, Mark Wiens di saluran YouTube beliau. Mark berkahwin dengan wanita Thailand dan kini tinggal di Bangkok. Okay jom sediakan bahan-bahan masakan ikan siakap stim limau ala Thai !
Bahan-bahan:
1 ikan siakap
7 biji bawang putih (cincang)
1 mangkuk stok ayam
1 setengah sudu kecil palm sugar
3 biji cili api merah (hiris; jika mahu lebih pedas, boleh tambah jumlahnya)
4 sudu besar sos ikan
7 sudu besar perahan jus limau nipis (atau 1 mangkuk kecil jus limau nipis)
2 tangkai daun ketumbar (hiris)
4 batang serai (potong tiga bahagian; 2 setengah inci setiap satu)
Sedikit daun saderi (celery) (potong) untuk hiasan
Cara-cara:
Sup/Sos/Kuah bawang putih
1) Panaskan stok ayam dan masukkan palm sugar ke dalamnya. Kacau sehingga gula larut dan stok mendidih. Angkat periuk dan tuang campuran stok tersebut ke dalam mangkuk.
2) Masukkan bawang putih dan cili api merah yang telah dicincang serta dihiris ke dalam campuran stok yang masih panas di dalam mangkuk tadi. Tambahkan sos ikan dan jus limau nipis ke dalam mangkuk yang sama.
3) Tambahkan pula daun ketumbar yang sudah dihiris ke dalam campuran tersebut. Kacau perlahan campuran stok ini untuk membaurkan rasa bahan-bahan di dalam mangkuk.
4) Rasa sedikit campuran stok tersebut untuk memastikan ia mempunyai rasa masam limau yang lebih bersama dengan rasa pedas, masin dan manis yang seimbang. Jika rasanya sudah sesuai dengan tekak kalian, ketepikan ia sekejap.
Ikan stim
5) Bersihkan ikan siakap dan kelar sedikit badannya (saya juga belah dua ikan kerana saiz pinggan untuk hidangan agak kecil). Masukkan serai yang telah dipotong dan diketuk ke dalam perut ikan (untuk hilangkan bau/rasa hanyir ikan).
6) Panaskan periuk/kuali kukus berisi air sehingga mendidih. Kemudian kukus ikan selama 15 hingga 20 minit.
7) Buka penutup dan periksa sama ada isi ikan sudah masak elok dengan mengangkat sedikit isinya menggunakan garfu. Sekiranya isinya terangkat elok dan tidak melekat pada tulang, ia bermakna ikan sudah masak.
8) Susun daun saderi di dalam pinggan lebar/panjang. Angkat ikan yang siap dikukus tadi dan letakkan di dalam pinggan tersebut.
9) Ambil beberapa sudu campuran bahan sup/sos/kuah stok ayam bawang putih di dalam mangkuk tadi dan letak di atas ikan. Kemudian tuang rata kesemua sup/sos/kuah tersebut ke atas ikan.
10) Hidangkan bersama nasi putih panas serta lauk pauk yang lain. Makan dan jangan lupa baca Bismillah. Yums!
Mudah saja kan? 😃 Selamat mencuba!~❤NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”