Kalian mungkin sudah mempunyai kehidupan berkeluarga sendiri atau berkerjaya. Semestinya juga kalian sibuk dengan urusan harian masing-masing. Namun begitu, itu bukan alasan untuk kita sebagai anak mengabaikan perasaan ibu bapa yang tinggal berjauhan atau berasingan di kampung atau dihantar ke rumah orang-orang tua (ini hakikat yang menyedihkan namun jumlahnya semakin meningkat setiap tahun).
Mereka mungkin rindu akan kalian tetapi enggan meluahkannya. Ada beberapa cara untuk menjaga perasaan mereka meskipun kalian sedang sibuk dengan kehidupan sendiri. Di sini, saya ingin kongsikan lima tips yang boleh kita cuba usaha lakukan bersama-sama untuk menggembirakan hati orang tua kita walaupun mereka berada jauh di mata:
1) Telefon Mereka Secara Berkala
Kemudahan telefon bimbit yang sentiasa ada di tangan kalian boleh dimanfaatkan untuk menggembirakan ibu bapa. Luangkan masa dengan menetapkan jadual wajib yang khusus iaitu hari dan waktu yang sesuai untuk menghubungi orang tua kalian yang tinggal berjauhan.
Jangan berkira-kira untuk menunggu sehingga mereka yang menghubungi kalian. Langkah pertama kalian untuk bertanya khabar tentang kesihatan dan mengambil berat perkara yang sedang mereka lakukan akan membuatkan ibu bapa merasa lebih dihargai dan diingati. Dengan hanya mendengar suara, mungkin sudah cukup untuk mengubati kerinduan ibu bapa terhadap anda.
2) Tetapkan Hari Wajib Yang Sesuai Untuk Menziarahi Mereka
Sekiranya kalian benar-benar sibuk dengan urusan keluarga dan kerjaya, pilih dan tetapkan sekurang-kurangnya satu hujung minggu dalam sebulan (atau setiap dua bulan) atau hari tertentu yang sesuai dengan kalian untuk pulang ke rumah mereka. Maklumkan lebih awal kepada mereka tentang kepulangan tersebut.
Pastikan juga kalian tidak membuat temujanji awal dengan sesiapa pun untuk hari tersebut selain dengan ibu bapa. Gunakan masa yang singkat ini untuk melayan mereka dengan baik. Giliran kita pula untuk masak makanan kegemaran mereka atau bawa mereka keluar makan dan berjalan ke tempat berhampiran. Kehadiran kalian walaupun sebentar akan membuatkan mereka merasa gembira.
3) Kirim Kad Ucapan Atau Kejutan Hadiah
Raikan ibu bapa terutama pada hari istimewa mereka seperti mana kalian meraikan pasangan atau anak-anak kalian. Kirimkan hadiah, kad ucapan melalui pos atau khidmat pesanan ringkas melalui telefon bimbit sebagai tanda ingatan. Ini boleh dilakukan pada sambutan ulang tahun kelahiran dan ulang tahun perkahwinan mereka; Hari Ibu, Hari Bapa atau pada hari jadi kalian sebagai tanda terima kasih kerana bersusah payah melahirkan anda dahulu.
Pada masa ini juga, sudah ada banyak pihak yang menyediakan perkhidmatan kiriman kejutan hadiah yang boleh dimanfaatkan. Jangan lupa setkan peringatan tarikh-tarikh penting tersebut di dalam kalendar telefon bimbit kalian. Ibu bapa mana yang tidak gembira apabila menerima ucapan istimewa dan kejutan hadiah daripada anak mereka.
4) Bawa Mereka Bercuti Tahunan
Ibu bapa yang sudah bersara atau meningkat usia juga kadangkala bosan dengan rutin harian mereka di rumah. Sesekali mereka juga mahu diajak makan angin walaupun hanya percutian singkat. Bawa mereka bercuti ke tempat yang mereka pilih atau yang bersesuaian dengan bajet kita. Lokasi percutian sama ada dalam atau luar negara tidak begitu penting kerana apa yang utama adalah usaha kalian untuk menghiburkan mereka.
Rancang aktiviti yang sesuai dengan keadaan fizikal dan kesihatan ibu bapa sepanjang percutian tersebut. Aktiviti yang dilakukan sekurang-kurangnya setahun sekali ini pasti akan mengeratkan lagi hubungan kalian sekeluarga dengan ibu bapa. Bagi yang masih bujang, inilah masa untuk bermanja-manja dengan orang tua anda.
5) Berikan Wang Belanja Tanda Ingatan
Kalian pasti ingat bagaimana ibu bapa kalian dahulu bersusah payah mencari rezeki semata-mata untuk menyekolahkan kalian. Sebelum ke sekolah, pasti ada wang belanja yang dititipkan oleh mereka buat kita. Setelah berkerjaya dan berjaya menjadi orang, ini masanya untuk kita pula membelanja ibu bapa. Asingkan sejumlah wang untuk ibu bapa dari duit gaji yang diterima terlebih dahulu sebelum ia dibelanjakan bagi keperluan harian. Beri ikut kemampuan asalkan kalian tidak lupa untuk beri mereka setiap bulan.
Ada juga ibu bapa yang menerima duit pencen bulanan untuk menampung kos sara hidup, namun apa salahnya jika kita cuba peruntukkan juga sedikit wang setiap bulan sebagai hadiah dan tanda ingatan kasih sayang sebagai anak kepada mereka. Semoga pemberian itu membolehkan kita memperoleh keberkatan dalam urusan harian kita yang lain.
Tips ini untuk peringatan diri saya sendiri jua. Semoga kita menjadi anak yang tidak pernah jemu untuk melayan kehendak mereka sementara mereka masih ada seperti mana mereka tidak pernah lari dari tanggungjawab dan tidak pernah bosan dengan karenah kita semasa kita kecil dahulu. InsyaAllah Ameen.~❤NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”