Tahukah kalian bahawa masih ramai orang Islam yang belum membuat perancangan harta pusaka untuk ditinggalkan kepada waris dan bukan waris?
Antara faktor utama yang menyebabkan berlaku perkara tersebut ialah kerana kurangnya kesedaran mengenai kepentingan menguruskan harta pusaka ketika masih hidup; sikap suka bertangguh untuk membuat perancangan harta selain tiada langsung ilmu berkaitan urusan berkenaan.
Faktor-faktor ini menjadi antara penyumbang kepada bertimbunnya jumlah harta pusaka orang Islam yang beku pada masa ini. Sehingga kini, dianggarkan nilai harta beku terbabit mencecah kira-kira RM70 bilion.
Antara punca lain terjadinya timbunan harta beku mereka yang meninggal dunia ini ialah ketiadaan dokumen rasmi pengagihan harta oleh si mati ketika hidup atau wasiat secara hitam putih lalu menyebabkan pengurusan dan pengagihannya tergendala.
Di samping itu, terdapat kes tuntutan tertunggak yang disebabkan oleh pelbagai faktor termasuklah waris tidak mampu menyediakan kos pengurusan selain daripada waris tiada kelapangan masa untuk menyelesaikannya.
Ada juga kes di mana tiada waris tampil membuat tuntutan ke atas harta pusaka ekoran tidak mengetahui bahawa si mati meninggalkan harta. Waris tiada ilmu dalam mengurus dan mengagih harta pusaka turut menyumbang kepada masalah ini.
Susulan itu, keadaan menjadi amat menyedihkan dan bertambah buruk apabila pelbagai masalah lain pula timbul di pihak waris. (InsyaAllah saya akan bincangkan perkara ini dengan lebih lanjut dalam entri akan datang.)
Itu belum dikira ramainya waris yang kecewa apabila harta suami atau isteri; anak-anak; ibu dan ayah mereka yang sudah pergi dibekukan dalam tempoh lama berikutan proses tuntutan memakan masa panjang.
Semuanya gara-gara si mati sebelum itu gagal meninggalkan dokumen pengagihan harta dan wasiat rasmi bersama nama pentadbir harta yang dilantik.
Apa yang pasti, tiada siapa tahu tarikh kematian kita. Sehubungan itu, peninggalan dokumen rasmi tentang pengagihan harta kita atau menulis dokumen wasiat ketika masih hidup, penting untuk kemudahan dan rujukan waris yang ditinggalkan.
Bagaimanapun, sebenarnya perkara paling utama yang perlu dititikberatkan dalam merancang pengurusan harta pusaka kita ialah melantik secara rasmi pentadbir harta pusaka yang benar-benar amanah, boleh dipercayai dan pakar dalam mentadbir pengagihan harta pusaka.
Ia bagi mengelakkan waris-waris mahupun yang bukan waris (ada bukan waris yang mungkin merasakan mereka mempunyai hak ke atas harta atau menjadi pengaruh tidak elok kepada waris) bertelagah sesama mereka.
Kepentingan melantik pentadbir harta pusaka yang berwibawa juga bertujuan memastikan harta si mati diagihkan kepada yang berhak; sekali gus mengelak daripada pihak tidak berkenaan menerima harta batil.
Topik berkaitan pengurusan harta pusaka umat Islam sebenarnya menarik untuk dikupaskan. InsyaAllah saya akan cuba berkongsi entri-entri berkaitan perkara ini pada masa akan datang.
Mereka yang berminat untuk membuat janjitemu bagi mengetahui lebih lanjut tentang bagaimana kalian boleh merancang harta pusaka untuk ditinggalkan buat waris tersayang, bolehlah hubungi / Whatsapp kami, The Wasiat Sisters – Perancang Harta Pusaka Islam (IEP) as-Salihin Trustee Berhad di nombor telefon tertera di bawah:
InsyaAllah semoga bermanfaat buat kita semua.~❤NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”