Kita sering berharap supaya amalan atau ibadah yang kita kerjakan pada bulan Ramadhan dapat diteruskan selepas bulan mulia itu berakhir. Jika boleh juga, amalan itu berlanjutan sehingga masuk Ramadan akan datang, andai dipanjangkan umur.
Namun apa yang sering terjadi ialah kebanyakan daripada amalan atau ‘perangai baik’ kita ketika Ramadhan, lama kelamaan terhenti tanpa kita sedari.
Benar juga pendapat bahawa kita hanyalah manusia biasa dan tidak pernah terlepas daripada mengulangi sikap buruk atau tabiat lama. Apatah lagi jika perubahan ke arah lebih baik itu cuba diusahakan untuk tempoh kira-kira sebulan sahaja.
Ada pengkaji luar yang mengatakan pemupukan tabiat hanya berlaku selepas 66 hari pengulangan, malah ada yang kurang daripada itu. Namun, ada juga memerlukan tempoh lebih lama iaitu sehingga 254 hari. Ia bergantung kepada tahap kesukaran amalan tersebut.
Bagaimanapun, Ramadhan ialah bulan istimewa di sisi Allah. Kemungkinan untuk kita sentiasa diselubungi semangat yang positif sepanjang bulan itu adalah tinggi. Manakan tidak, Allah sendiri memberikan jaminan bahawa setiap perkara baik yang kita lakukan, pahalanya berganda berbanding pada bulan-bulan lain.
Itu sepatutnya sudah cukup memberi motivasi buat kita yang mempunyai matlamat akhir hidup adalah untuk mencapai kemenangan di akhirat.
Malah, jika amalan baik itu dilanjutkan pula selepas Ramadhan, ia mungkin, insyaAllah petanda baik buat hamba-Nya yang lemah dan sentiasa mengharapkan kurniaan kekuatan dalam melakukan kebaikan.
Bagaimanapun, apakah cara atau amalan yang boleh kita mula lakukan pada bulan Ramadhan yang insyaAllah boleh diistiqamahkan pada bulan-bulan seterusnya?
Cara atau amalan ini mungkin juga sudah pernah kalian lakukan dan saya sendiri mencubanya sejak beberapa Ramadhan lepas. Ternyata ia berguna walaupun selepas Ramadhan.
Dengan rasa rendah hati, saya cuba senaraikan sedikit mengenainya dan sama-sama kita boleh lakukannya. Semoga ikhtiar menuju Allah ini, mendapat bimbingan dan restu-Nya.
Bagaimanapun, pastinya, di pihak saya ada saja kelemahan ketika saya berusaha melakukannya, baik ketika Ramadhan mahupun selepas bulan tersebut.
Misalnya, saya mungkin tidak buat semua pilihan amalan atau ibadah yang sudah disenaraikan dalam perancangan saya. Kebanyakan masanya, saya akui lalai, tak cukup waktu atau ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan dalam proses melakukannya.
Tapi Allah Maha Mengetahui segala usaha kita, Maha Pengampun untuk mengampun apa yang sudah kita kesalkan dan Maha Penyayang untuk setiap hambaNya.
Saya doakan kita semua diberi kekuatan untuk menambah amal baru dan memperbaiki kelemahan diri setiap tahun, walaupun bukan setiap hari, dan terus mengamalkannya sepanjang hayat.
Sebelum kita mula cara dan amalan pada bulan Ramadhan yang boleh kita lanjutkan selepas Ramadhan, lakukan 4 perkara ini dahulu dalam keadaan yang tidak terburu-buru, fikiran yang tenang, penuhkan rasa yakin dalam hati untuk menyudahkannya. Tanam semangat waja ketika memulakan amalan mudah tersebut sambil mengingatkan diri tentang manfaat yang bakal diperoleh di dunia dan akhirat kelak.
1) Niatkan kerana Allah
Mulakan dengan berniat untuk melakukan amal ibadah yang dirancang ini semata-mata kerana Allah. Jika pernah berniat sebelum ini, duduk sebentar untuk menilai semula apa yang telah kita niatkan dan perbaiki tujuan sebenar kita.
Niat penting kerana andai kata kita gagal meneruskan apa yang sudah dirancang dek kerana sebab yang tak dapat dielakkan, insyaAllah Allah Yang Maha Baik tetap memberikan ganjaranNya.
2) Berazam dan berdoa dipermudah melakukan amalan
Tekadkan kesungguhan dalam diri mulai sekarang iaitu untuk melakukan amalan-amalan tersebut bermula 1 Ramadhan kelak. InsyaAllah. Pada masa sama panjatkan doa dengan kerap, agar dipermudahkan Allah untuk memulakannya dan meneruskan perbuatan baik tersebut dalam kehidupan seharian sejurus Ramadhan berlalu.
Bagaimanapun, dalam proses melakukannya nanti, jangan terlalu memaksa diri atau memberatkan diri. Memang bukan mudah untuk melakukan perkara yang betul dan baik pada peringkat awal. Jadi, tenang-tenang saja ketika membuatnya. Tenang namun tetap yakin boleh mencapainya.
3) Senaraikan waktu yang sesuai untuk melakukannya
Cuba senaraikan hari dan ruang waktu yang kalian selesa atau bebas untuk melakukan aktiviti ibadah ini. Mungkin ada yang selesa untuk melakukannya setiap kali lepas solat fardu.
Boleh juga pilih waktu-waktu sunyi seperti sebelum masuk waktu solat Subuh atau selesai solat Subuh; jika tidak pun selepas solat Maghrib atau Isyak.
Ketika melakukan kerja-kerja rumah misalnya semasa menyapu, mengemop lantai, lipat kain, memandu (jika berkesempatan keluar ketika Perintah Kawalan Terhad (PKP)), atau duduk di luar rumah sambil menikmati keindahan alam.
Sebelum tidur juga antara waktu yang baik untuk melaksanakan kebaikan. Sekurang-kurangnya kita sudahi hari kita dengan sesuatu yang bermanfaat sebelum kita ‘dimatikan’ sementara.
4) Catat rancangan ini bersama senarai amalan
Nampak remeh tapi sebenarnya penting untuk kalian tulis atau catat senarai perancangan amalan Ramadhan ini. Ia seperti checklist atau to do list apa yang kita mahu buat untuk Ramadhan kita.
Tak kisahlah nak tulis atas kertas dan tampal di dinding, di dalam buku nota peribadi atau dalam telefon bimbit sekali pun; asalkan ia mudah dan berguna untuk kita lihat aktiviti yang sepatutnya kita mulakan pada bulan Ramadhan.
Apabila terbentang di depan mata, InsyaAllah ia akan beri kejelasan fikiran tentang amalan yang benar-benar kita mahu buat pada bulan barakah itu. Ia juga memudahkan kalian semak dan tandakan pencapaian yang sudah dipenuhi.
5 Cara / Amalan Mudah Yang Boleh Diteruskan Selepas Ramadan
Okay, seterusnya jomlah kita lihat 5 amalan mudah yang boleh dimulakan pada bulan Ramadhan dan insyaAllah mampu juga diulang lagi selepas itu; dan sehingga akhir hayat. Ini hanya cadangan amalan; jika ada lagi yang bersesuaian boleh letak dalam ruang komen di bawah ya.
1) Berdoa
Senaraikan dan pilih 3 doa yang ingin dihafal atau dihafaz pada bulan Ramadhan ini.
Mungkin ada doa kegemaran yang selalu kita ikut baca atau dengar di televisyen atau media sosial, namun belum ada kesempatan untuk menghafaznya. Inilah masanya untuk menghafal dan mengamalkannya selepas itu.
Doa-doa ini boleh jadi doa ringkas untuk kehidupan harian (Cth. doa makan, doa masuk tandas, doa sebelum tidur, doa keluar rumah, doa menaiki kenderaan, doa selepas berwuduk dan lain-lain).
Ataupun doa dan zikir selepas solat; doa selepas azan; doa perlindungan daripada pelbagai perkara tidak elok; doa memohon kebaikan dunia dan akhirat; doa sebelum dan selepas baca al-Quran; doa Penghulu Istighfar dan bermacam-macam doa lagi yang boleh dibaca terutama selepas solat.
Terlalu banyak pilihan doa yang disarankan oleh para ustazah dan ustaz yang boleh kita hafaz dan amalkan. Pilih saja sekurang-kurangnya 1 doa dan ia pasti berguna dalam apa jua keadaan selepas ini.
2) Menghafaz surah dalam al-Quran
Pilih 3 surah daripada al-Quran yang ingin dihafal.
Teringat pesanan arwah Atuk dulu yang menyarankan supaya hafazan surah mudah dimulakan dengan surah-surah lazim bermula daripada surah ad-Duha dan ke bawah (sehingga surah an-Nas).
Bila dah mahir dan mempunyai daya kekuatan, bolehlah cuba hafaz surah-surah yang lebih panjang.
Sebagai permulaan, pilih saja mana-mana surah daripada bahagian itu. Ada 22 surah ringkas dan tidak terlalu panjang bermula dari ad-Duha dan ke bawah untuk dihafal. Selepas berjaya hafal, kita boleh saja mula membacanya dalam solat semasa Ramadhan dan selepas bulan tersebut.
Ketika kita berusaha melakukan hafalan secara berulang-ulang itu, sudah berapa banyak ganjaran yang insyaAllah Allah berikan, terutama ketika bulan Ramadan nanti. Satu huruf bersamaan dengan ganjaran 10 kebaikan; bukannya satu ayat, 10 kebaikan. Satu huruf yang dibaca, 10 kebaikan yang kita peroleh. InsyaAllah.
Jika tidak mampu untuk mengingat 3 surah, boleh saja mula dengan 1 surah sahaja. Yang penting, ia pasti boleh diamalkan selepas Ramadhan. InsyaAllah.
3) Mula lakukan tabiat atau kebaikan yang baharu
Pilih 3 perkara atau tabiat baik yang ingin dimulakan pada bulan Ramadhan.
Tak perlu fikir perkara yang terlalu kompleks atau sukar dilakukan. Cukup sekadar tabiat itu mampu untuk kita istiqamah amalkan walaupun selepas bulan puasa. Biar kecil tetapi konsisten; itulah juga yang disarankan oleh Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.
Misalnya, jom kita berazam untuk berselawat 100 kali setiap hari. Ataupun kita bersedekah RM1 sehari, jika ada rezeki lebih, boleh tambah jumlahnya. Sekiranya tak mampu setiap hari, tetapkan hari yang kita selesa, contohnya setiap Jumaat, kita mesti bersedekah.
Nak mula baca al-Quran dua muka surat sehari pun boleh juga. Atau dua muka surat seminggu pun boleh, asalkan tidak tinggal langsung bacaan pada minggu tersebut.
Seterusnya, boleh peruntukkan masa untuk mengajar atau menyemak bacaan al-Quran atau Iqra’ anak-anak atau ahli keluarga terdekat kita. Ia berguna walaupun selepas bulan puasa berakhir.
Boleh juga mula lakukan amalan menghubungi ibu dan ayah atau adik-beradik kita secara berkala mengikut hari dan waktu yang sesuai dengan kita. Jika sebelum ini, kita jarang bercakap dengan mereka, bulan puasa kali ini dan seterusnya, kita peruntukkan satu masa khusus untuk mereka.
Jika sejenis tak tahu nak cakap apa, boleh saja sekadar bertanya khabar – dah makan atau belum, masak apa hari ini, buat apa hari ini, sihat atau tidak, kongsi juga aktiviti kita – pun sudah cukup sebagai tanda ingatan kita kepada mereka. Saya pasti mereka juga akan gembira mendengar suara kalian walau hanya seminggu sekali.
Perkara kebaikan lain termasuk mula bersolat tahajud, mula membaca tafsir al-Quran, mula membaca hadis. Lakukan ikut waktu yang kita selesa tetapi konsisten. Macam mana setakat ini, sudah ada terfikir tabiat baru yang ingin dimulakan?
4) Memperbaiki solat
Semak balik gerakan dan sebutan bacaan atau lafaz yang wajib dalam solat kita.
Bila kali terakhir kita belajar bersolat? Sewaktu ustaz dan ustazah kita mengajar tentangnya di sekolah rendah atau sekolah menengah?
Sudah banyak video kelas atau ceramah ustaz serta ustazah yang mengulas dan mengajar tentang gerakan dan sebutan bacaan atau lafaz yang betul dalam solat. Seeloknya ikut dan perbaikilah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.
Solat lima waktu bukan saja dilakukan ketika Ramadhan bukan? Solat yang sudah diperbetulkan dan insyaAllah sah ini akan tetap diamalkan sampai akhir hayat kita. Semoga dipermudahkanNya.
5) Ajar atau beri inspirasi kepada orang di sekeliling untuk lakukan kebaikan yang sama
Lihat di sekeliling kita, siapa yang paling kita sayang dan mahu kebaikan serta ganjaran itu diperoleh bersama-sama dengan kita. Siapa orang yang kita mahu bersama-sama dengan kita di syurga kelak? InsyaAllah.
Suami, isteri, anak-anak, ibu dan ayah, adik-beradik, saudara-mara, kawan-kawan rapat, kawan-kawan Facebook, atau sesiapa sahaja misalnya.
Kita boleh mula memberi inspirasi kepada orang di sekeliling melalui contoh perbuatan sendiri. Kadang kala tak perlu banyak berkata-kata, hanya sekadar buat secara konsisten. InsyaAllah mungkin ada yang melihat dan mencontohi.
Jika mahu mengajak atau mengajar secara terbuka, itu lebih baik lagi. Tambahan pula, ketika waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini, mungkin lebih mudah untuk kita mengajak atau mengajar ahli keluarga terdekat untuk sama-sama melakukan perubahan ke arah kebaikan.
InsyaAllah jika bermanfaat mereka akan turut serta melakukannya secara berterusan selepas ini dan Allah jua sebaik-baik pemberi ganjaran untuk setiap usaha.
Kesimpulannya, pilihlah amalan yang kalian suka nak buat dan mulakan pada Ramadhan ini dengan niat kerana Allah. Sekurang-kurangnya satu amalan yang boleh dibawa sehingga lepas Ramadhan dan sehingga ke akhir hayat.
Yang penting, mulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu. Kemudian cuba kongsikan kebaikan yang sama tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Menyampaikan mungkin tugas kita, tetapi yang membuka hati seseorang untuk ikut serta dan mengamalkannya – hanya Allah SWT.
Diriwayatkan daripada Aisyah, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Selamat menyambut Ramadhan! Ramadhan tahun ini kita akan berpuasa dalam keadaan yang sangat berbeza daripada tahun-tahun yang lepas. Pertama kerana kita masih lagi dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Oleh itu, dukacitanya tahun ini tiada kesempatan untuk bersolat terawih dan berqiyamulail secara berjemaah di masjid. Semua aktiviti ibadah perlu dilakukan di rumah. Semoga dipermudahkan oleh Allah.
Keduanya kerana kita sendiri yang mahu ia berbeza lebih baik berbanding yang dahulu walau hanya di rumah. Laa hawla wa laa quwwata illa billah.
Sempena kedatangan Ramadhan ini, saya mohon maaf jika sepanjang penulisan ada terkasar bahasa atau menyinggung sesiapa. Semoga semua amalan puasa dan ibadah kita pada bulan penuh barakah ini diterima Allah. Ameen Ya Rabb.~ā¤ļøNH
Jom baca juga: http://reflectandrelax.com/senarai-semak-amalan-ramadhan-ramadhan-activity-checklist/
Kredit Gambar: MĆ¼cahit Yıldız from Pixabay
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”