Baru-baru ini, saya teman nenek di meja makan selepas selesai mengisi perut bersama Ayah. Saya duduk mengadap beliau yang saya panggil Tok.
Sambil tu, Ayah saya yang rajin mengemas sejak pencen pula sudah mula mengangkat pinggan mangkuk kotor ke dapur untuk dicuci. Keletang keletung bunyi di dapur. Hehehe.
Saya melihat mata Tok melirik ke arah dapur. Beberapa saat kemudian, tiba-tiba beliau bersuara, “(Awal-awal) dulu, Tok kalau tengok orang laki mengemas basuh pinggan Tok kesian. Rasa macam nak teriak (menangis).
“Kalau boleh Tok nak tolong basuhkan, la ni dah tak larat. Tak biasa tengok orang jantan cuci pinggan, keja tu biasanya semua orang perempuan yang buatkan.
“La ni, Tok tengok orang laki memang duk buat keja orang perempuan. Ada anak sepupu lelaki sorang tu, Tok tengok dia angkat pinggan pi dapoq basuh sendiri pinggan dia.
“Anak sorang lagi, lelaki jugak, pun cuci sendiri pinggan dia. Mak depa dah ajar lagu tu, basuh sendiri-sendiri, tak gaduh perempuan basuhkan. La dah lagu tu na.”
Saya hanya tersengih sambil mengangguk dan kemudian membalas, “Basuh pinggan bukan susah pun. Pinggan makan sendiri pulak tu. Satu ja, bukan banyak. Malaih sangat tu kalau pinggan sendiri pun orang pompuan basuhkan.”
Tiba-tiba, Mak yang duduk di sofa ruang tamu menyampuk, “Orang laki basuh kereta boleh, basuh motor boleh, cuci bas boleh, takkan basuh pinggan kat rumah sendiri tak boleh kot.”
Huhuhu…okey The Queen has spoken.
Sebenarnya, perbualan seperti ini sudah banyak kali diluahkan Tok. Tapi jawapan saya tetap sama. Beliau sebelum ini bercerita tentang sepupu lelaki saya yang memandikan dan menukar sendiri lampin anaknya. Beliau hairan melihatnya.
Adik lelaki saya juga tidak terkecuali daripada menjadi bahan bualannya; memasak, mengupas bawang, memotong bahan masakan di dapur, memandikan anak kecilnya, menukar lampin, membancuh susu, mencuci pinggan mangkuk, melipat pakaian dan pelbagai kerja orang perempuan dibantunya.
Saya percaya mereka buat semua ini bukan hanya kerana sayang isteri atau takut bini; tetapi kerana sifat gentleman dan semangat berpasukan (sama-sama ingin terlibat dan membantu) dalam diri mereka.
Itu cara didikan yang kami terima; yang lelaki tetap saja perlu cuci pinggan sendiri dan baju masing-masing (bukan basuh guna tangan pun, mesin basuh yang cucikan. Takkan itu pun nak harapkan Mak / orang perempuan juga. Tak gitu?)
Kadang-kadang ada saja tugas orang lelaki di rumah yang saya buat (ini pun hasil didikan Mak saya juga); saya tak mahu dedahkan tugas-tugas itu di sini, bimbang ada yang ambil kesempatan untuk mengelak dari ambil tanggungjawab tersebut nanti. Hahaha !
Dalam hal Tok ini, saya anggap ia perbezaan pemikiran dan gaya hidup antara generasi lama dan baru. Tok saya sudah mencecah umur lebih 90 tahun berbanding usia saya yang baru nak kenal hidup.
Sudah pasti kebanyakan wanita zamannya dahulu lebih fokus untuk menjadi suri rumah tangga yang ‘berjaya’ – iaitu mampu melakukan semua kerja rumah tanpa bantuan lelaki. Zaman ini, wanita dan lelakinya sama-sama keluar bekerja dan sibuk membina profesion masing-masing.
Kedua-duanya apabila balik dari kerja, mengeluh penatnya tidak terkira; dan seharusnya pemikiran lelaki era moden ini lebih kuat empati, timbang rasa dan sifat gentlemen mereka dek kerana persamaan rasa penat tersebut. Sama-sama rasa penat, jadi sama-sama juga saling membantu di rumah.
Seharusnya begitulah kan? Ehemmm…pemikiran dan persekitaran dah moden katanya, takkan kerja orang perempuan yang dikatakan mudah-mudah sahaja tu tak boleh nak tolong kan?
Berbalik kepada Tok, saya rasa beliau sudah semakin boleh menerima kenyataan bahawa zaman sudah pun berubah. Harapnya pemikiran kebanyakan kaum lelaki juga begitu.
Apa pun, Rasulullah SAW ialah sebaik-baik insan inspirasi dan teladan dalam meringankan tugas isteri di rumah. Baginda juga yang mengangkat martabat wanita secara amnya.
Baginda berbuat demikian bukan pada zaman serba canggih ini tapi ketika lebih 1400 tahun hijrah dahulu. Mentaliti baginda yang tidak kisah untuk membantu kerja-kerja rumah dilakukan wanita begitu saya kagumi.
Semoga setiap lelaki mahupun wanita sama-sama mampu untuk saling memahami kekuatan dan kelemahan diri masing-masing; mampu jua untuk kedua-duanya saling membantu mengikut keupayaan.
Pada akhirnya, sekecil atau seremeh mana pun kebaikan yang kita lakukan, insyaAllah akan diberikan ganjaran setimpal daripada Yang Maha Baik dan Yang Maha Adil.~❤NH
#mudahnyatugasorangperempuankan
#beagentlementhen
#nooffense
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”