Hujung minggu lalu, sekali lagi saya dan Mak serta Ayah kembali mengunjungi sebuah kedai makan di Tikam Batu, Kedah ini. Sebelum ini, saya dan Ayah dah beberapa kali menyebut tentang durian dan tempat tersebut.
Hal itu demikian kerana ada beberapa kawan kami yang bertanyakan tentang lokasi makan durian di Pulau Pinang di kala ini. Kata mereka, durian sedang elok berbuah sekarang ni dan tentunya negeri di utara ni tak ketinggalan ‘meraikannya’. Haha.
Hairan juga kami sebenarnya sebab tak ada pula nampak peniaga durian bersepah-sepah di tepi jalan seperti kebiasaan musim durian. Ada juga yang kata harga durian Musang King pun sudah turun ekoran berlaku lambakan buah yang gagal dieksport ke China kerana wabak virus COVID-19.
Hmm…mungkin juga di Balik Pulau yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai ketika musim raja segala buah itu meriah dengan durian ketika ini. Kami tak pasti, kami belum sampai tahap nak meronda ke sana semata-mata nak pastikan perkara itu. Haha.
Okey apa pun, perkongsian kali ini tentang kedai makan yang agak lain daripada tempat lain. Kedai ini menyediakan variasi pulut dan durian sebagai menu utama. Kafe Milla Hana Pulut Kedah namanya.
Ringkas saja menu kedai makan di Tikam Batu ini, namun cukup untuk memuaskan hati yang mahukan hidangan yang mampu menyejukkan tekak terutama di kala musim panas.
Kami ke sana pun kerana satu, kami dah lama tak makan durian. Dapat makan sikit pun jadilah. Kedua, nak makan sesuatu yang manis-manis dan sejuk-sejuk walaupun masa tu waktu makan tengah hari. Perut pun belum lapar sangat lagi.
Menu paling hit di kedai Kafe Milla Hana Pulut Kedah ini ialah pulut durian dan pelbagai variasi cendol.
Bagi saya yang sudah beberapa kali ke sini, rasa pulutnya sedang-sedang saja, tidak terlalu berlemak dan tidaklah manis sangat. Pilihan durian pula ada pelbagai bergantung kepada musim buah tersebut.
Ada jenis durian kampung dan ada jenis durian kahwin. Jika bernasib baik, kalian dapat jenis durian kahwin yang berisi tebal seperti D24, D88, D101, Udang Merah atau Musang King. Semua bergantung kepada musim dan stok durian di kedai tersebut.
Jika kalian order menu pulut durian ini, ia sudah sedia dicurah dengan santan pekat di atas pulut durian. Nak rasa lebih lemak manis, tambahkan santan cair yang turut diberikan dalam bekas berasingan.
Itu hidangan yang Mak dan Ayah pesan setiap kali makan di Kafe Milla Hana Pulut Kedah ini. Sememangnya makanan tradisional tempatan yang masih belum dilupakan.
Jika kalian tak mahu pulut durian, boleh saja pesan Pulut Mangga atau Pulut Sekaya Durian. Kadar harga menu pulut mangga dan pulut durian ini bermula dari RM3 hingga RM15 ke atas.
Saya sebenarnya kurang gemar makan pulut, kecuali pulut kuning yang dimakan dengan kuah kari daging. Haha.
Seperti biasa saya pesan cendol. Kali ni Cendol Kombo Pulut Mangga dan Durian Kahwin menjadi pilihan. Hmmm…sebaik saja air cendol mengalir masuk ke dalam mulut, terasa benar sejuknya tekakku ini.
Kemudian kaut sekali mangga, isi durian dan pulut, hirup sekali air cendolnya, sedapnya la haiii…gabungan rasa sejuk masam manis mangga, rasa lemak durian dan pulut serta manisnya air cendol begitu mengujakan deria rasa.
Sebelum ini, saya pernah pesan Cendol Durian Kampung. Sedap juga rasanya. Kebetulan masa tu, memang cuma ada stok durian kampung sahaja, jadi itu sahaja jenis durian yang boleh dipesan. Cendolnya tidaklah terlampau manis seperti sesetengah cendol yang pernah saya nikmati. Boleh dikatakan sesuailah dengan selera saya. Huhu.
Menu cendol di Kafe Milla Hana Pulut Kedah ini bukan setakat dua jenis tu saja ya, kalian boleh juga pesan Cendol Biasa, Cendol Pulut, Cendol Mangga, Cendol Pulut Mangga dan Cendol Pulut Durian. Ikut citarasa kalian. Harga pula antara RM3 hingga RM10.
Selain itu, kalau kalian nak seimbangkan rasa sejuk dan rasa lemak durian serta pulut, boleh pesan pula cempedak goreng panas! Hmm…memang ngamlah.
Ada menu sampingan lain juga yang dibuat berasaskan durian dan mangga seperti Durian Crepe, Cheese Cake Mangga, Cheesekut Durian, Cheese Cake Durian, ais krim durian dan ais krim mangga.
Jika kena pada musim durian, kalian seisi keluarga atau bersama rakan-rakan boleh nikmati durian beramai-ramai di sini. Pesan sekali pelbagai minuman jus buah-buahan dan minuman sejuk atau panas lain yang turut dijual di sini.
Kedai ini ada dua ruang makan yang luas iaitu kawasan terbuka berbumbung dan satu lagi ruang yang berpendingin hawa. Jadi tak perlu risau tak cukup tempat duduk.
Oleh sebab menunya ringan dan santai, tak hairanlah ramai pihak yang pilih tempat ini sebagai lokasi untuk sesi berkumpul atau majlis istimewa.
Lokasi dan Waktu Operasi Kafe Milla Hana Pulut Kedah
Alamat: 128H Jalan Berapit Tikam Batu, 08600 Sungai Petani, Kedah.
Waktu Operasi: 10 pagi hingga 10 malam / Selasa hingga Ahad (Tutup: Isnin)
Lokasi kedai makan ini adalah di Tikam Batu, Kuala Muda, Kedah. Tikam Batu letaknya berhampiran sempadan Pulau Pinang dan Kedah. Jika kalian dari Kepala Batas, Pulau Pinang atau Sungai Petani, Kedah ia akan ambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit untuk ke sana.
Dari bahagian pulau Pulau Pinang untuk ke Tikam Batu pula menelan masa kira-kira sejam. Tidaklah terlalu jauh kan? Kalau betul-betul teringin nak makan durian bukan pada musimnya, hendaklah seribu daya kan? Hehe.
Kalau kalian dari Kepala Batas menghala ke pekan Tikam Batu, cari Balai Polis Tikam Batu dan papan tanda ke Pantai Merdeka di sebelah kiri jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat. Masuk susur kiri tersebut dan kemudian belok ke kanan simpang besar yang pertama.
Teruskan perjalanan sehingga berjumpa dengan kafe ini di sebelah kanan jalan. Kedai pulut durian ini terletak betul-betul di depan Pasar Awam Tikam Batu. Boleh letak kereta di luar pasar tersebut.
Kalau tak jumpa juga, boleh taip saja nama kedai ini di Google Map untuk tunjuk arah yang lebih jelas.
Apa lagi, jika ada peminat durian atau pulut durian atau cendol durian di sekitar Sungai Petani, Kedah atau Pulau Pinang atau dari mana-mana sekali pun yang tiba-tiba teringin nak makan menu pencuci mulut yang saya kongsikan ni, bolehlah ke sini.
Mana tahu kalau ia boleh jadi pilihan kedai makan sedap di Tikam Batu untuk kalian. Hehe. Okay, selamat bercendol pulut durian ya!~❤️NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”