Salah satu kuih kegemaran saya ialah karipap. Saya gemar akan karipap biasa berbanding karipap pusing. Hal ini demikian kerana kulit karipap pusing yang lebih tebal berbanding karipap biasa, membuatkan saya cepat muak.
Bagi saya, karipap yang sedap bergantung kepada tekstur kulitnya dan inti di dalamnya. Tekstur kulit karipap yang gebu, lembut dan sedikit garing menjadi pilihan saya.
Intinya pula wajib mempunyai campuran rasa rempah terutama kari yang digaul serasi bersama bahan lain seperti kentang atau keledek; daging dan bawang besar. Ada juga inti karipap yang tidak menggunakan kentang atau keledek sebagai kandungan asas inti tetapi yang penting bagi saya ia mesti berperisa kari.
Intinya juga mesti penuh kerana saya paling pantang bila peniaga menjual karipap oksigen. Karipap oksigen ialah karipap yang intinya sangat sedikit dan tidak penuh sehingga ada rongga kosong dalam karipap. Sudahlah ringan isinya, harga pula sama seperti karipap penuh.
Ada satu gerai karipap di pekan lama Kepala Batas, Pulau Pinang yang menjual kuih itu menepati ciri karipap yang saya suka. Saya gelarkan gerai karipap itu ‘Gerai Karipap Makcik Garang’ kerana penjualnya yang nampak cengil. Saya pernah terkejut disergah dengan suaranya yang garang dan wajahnya yang cengil ketika sedang tercegat berdiri menunggunya menyiapkan gerai. Kebetulan pada masa itu, saya tiba awal sebelum dia mula menggoreng kuihnya.
Oleh kerana saya sukakan karipap beliau, jadi saya buat tak tahulah dengan ‘kegarangannya’ itu. Hahaha. Saya lihat beliau jarang tersenyum dengan pelanggannya mungkin kerana beliau sedang menahan cuaca panas berniaga pada waktu petang.
Tak apalah, yang penting karipapnya sedap dan kuih muih dijualnya tetap laku dek kerana keenakkannya.
Apa yang best sangat tentang karipap makcik ini? Intinya padat memenuhi ruang dalam karipap. Bahan untuk intinya terdiri daripada ubi keledek yang dilenyek; kaya dengan rasa rempah enak dengan bahagian kelim karipap terasa garing kala dikunyah namun tetap lembut dan gebu di bahagian dalam.
Beliau akan menggoreng kuih muih di gerai kecilnya. Biasanya tak sampai lima minit selepas gorengan diangkat, karipap panas-panas ini akan ‘disambar’ pelanggan. Ada yang beli untuk makan sendiri seperti saya! Ada juga yang beli untuk jamuan kecil di pejabat dan tidak kurang yang mendapatkannya untuk dimakan bersama keluarga.
Pelbagai bangsa datang membeli. Tak salah saya inti karipapnya tidak mengandungi daging dan justeru itu sesuai dimakan oleh semua. Jika saya tersilap, betulkan ya atau kalian boleh bertanya dahulu makcik tersebut sebelum membelinya.
Makcik ini juga menjual popia. Pelanggan boleh pilih sama ada mahu popia basah atau popia goreng. Beliau akan menggoreng karipap dan popia berselang-seli mengikut permintaan. Jadi, pelanggan terpaksa jua beratur menunggu jika salah satu kuih habis.
Kuih popia beliau yang berinti hirisan lobak merah, sengkuang, taugeh dan udang kering juga tidak kalah sedapnya selain penuh isinya. Kuah kacang yang saya pasti mengandungi resepi istimewa kerana rasanya yang unik dan pedas-pedas manis akan disapu di atas popia bersama taburan bawang goreng. Sedap !
Memang berbaloi menunggu untuk mendapatkan kedua-dua jenis kuih makcik ini. Sedap betul jika dapat menikmati karipap dan popia goreng yang rangup ini, disulami pula dengan minuman kopi atau teh tarik panas di kerusi taman di laman rumah sambil angin sepoi-sepoi bahasa menampar-nampar muka.
Lokasi
Untuk yang mahu mencuba rasa karipap dan popia makcik ‘garang’ ini boleh mencari lokasi gerai beliau yang terletak di tepi jalan (di atas laluan pejalan kaki) betul-betul berhampiran lampu isyarat di tengah pekan lama Kepala Batas, Pulau Pinang.
Jika kalian keluar dari Tol Bertam, belok ke kanan dan terus sehingga sampai ke pekan lama Kepala Batas. Gerai makcik ini terletak di sebelah kanan lampu isyarat berkenaan (Lampu isyarat ini selepas kuil). Kalian perlu membuat pusingan U di lampu isyarat tersebut jika datang dari arah Tol Bertam.
Beliau beroperasi hampir setiap hari bermula jam 3 petang ke atas.
Bagi mereka yang dah merasai kuih dari gerai makcik ini, boleh tolong kongsikan rasanya di sini? Manalah tahu kalau deria rasa saya tersilap mengatakan ia enak. ~❤️NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”