Skip to content
Reflect & Relax
Menu
  • REFLEKSI
  • TIPS
  • MAKAN²
  • JALAN²
  • RAWAK
  • SERVIS
  • HUBUNGI
Menu

5 Cara Manfaatkan Lambakan Kasut Sekolah Putih

Posted on 15/08/201802/09/2018 by Nurhasyima H.

Pengumuman Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik berhubung dengan pelaksanaan pemakaian kasut hitam bagi semua murid sekolah bermula pada tahun hadapan telah mencetuskan pelbagai perdebatan dalam kalangan masyarakat.

Ada pihak yang bersetuju dengan arahan terbaru berkenaan namun ada juga yang berpendapat sebaliknya. Sekiranya arahan tersebut dikuatkuasakan pada tahun hadapan, sudah pasti akan berlaku lambakan kasut sekolah putih sama ada yang masih baru mahupun yang terpakai.

Barangkali ada antara kalian iaitu terutamanya golongan ibu bapa dan peniaga kasut yang bakal terkesan dengan arahan tersebut sehingga mungkin tidak tahu bagaimana untuk memanfaatkan sepatu putih yang baru ataupun yang terpakai namun keadaannya masih lagi elok.

Jangan risau kerana terdapat beberapa cara bagaimana kalian boleh menjadikan kasut putih sesuatu yang masih bermanfaat. Sekurang-kurangnya ada 5 cara seperti yang berikut:

1) Lukis Corak Di Atas Kasut Putih

Pada era ini, semakin ramai anak-anak muda yang kreatif, berbakat dan berani mengekspresi diri mereka melalui aktiviti seni dan kraf. Antara aktiviti itu termasuk menghias kasut kanvas putih dengan lukisan doodle atau corak tertentu.

Jika kalian mempunyai bakat atau ingin cuba mengisi masa lapang dengan melukis, bolehlah membeli kasut putih untuk tujuan itu. Ajak anak-anak kalian bersama untuk mencuba bakat melukis. Bagaimanapun, sebelum membeli, pastikan terlebih dahulu jenis material kasut yang bersesuaian. Biasanya kasut daripada jenis kain kanvas lebih sesuai untuk aktiviti ini.

Kalian boleh lihat perkongsian seorang blogger yang cuba melakukan aktiviti itu di sini untuk kasut sekolah anaknya. Sekiranya kalian rasa tiada bakat dalam aktiviti seni dan kraf atau mahu terus menggayakan sepatu dengan corak yang unik tersebut; beli saja kasut putih yang dijangka berlambak di pasaran kelak dan minta mereka yang menjalankan perkhidmatan melukis atau menconteng corak di atas kasut melakukannya untuk anda atau anak anda.

Untuk mendapatkan perkhidmatan mereka, anda boleh melakukan carian tentang #pencontengkasut di internet atau akaun laman sosial Instagram. Kalian boleh juga lihat di sini untuk inspirasi konsep corak yang dimahukan.

2) Sedekah Kasut Kepada Yang Memerlukan

Jika masih tidak tahu nak buat apa dengan kasut putih baru atau yang masih kelihatan baru, mungkin kalian boleh cari badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh memberikan kasut itu sebagai sumbangan kepada sekolah di luar Malaysia yang pelajarnya masih menggunakan kasut putih sebagai uniform mereka. Tak perlu pergi jauh hingga negara barat kerana masih ramai rakyat dari negara-negara di Asia Tenggara yang tidak berkemampuan untuk membeli kasut sekolah untuk anak-anak mereka.

Sedekahkan sahaja kasut putih yang ada kepada golongan berkenaan atau sampaikan sumbangan kasut tersebut kepada mereka yang memerlukan di negara kita. Kasut putih juga boleh dipakai untuk pelbagai aktiviti lain termasuklah bersiar-siar dan bersukan.

Daripada membazir, lebih baik didermakan kepada mereka yang benar-benar memerlukan kasut. Sekurang-kurangnya ada juga lapik dan penutup untuk melindungi kaki mereka.

3) Gayakannya Sebagai Fesyen

Warna putih mungkin kelihatan biasa pada penglihatan sesetengah orang, namun jika pandai menggayakan pakaian atau aksesori dari rona tersebut, gaya daripada tema tersebut boleh menarik pandangan khalayak.

Apa kata kalian ajak anak-anak kalian menjadi trend setter dalam menggayakan kasut sekolah putih ketika bersiar-siar atau melakukan aktiviti bersesuaian. Kongsikan di laman sosial sebagai tanda menyokong pemakaian kasut putih tanpa mengira waktu sekolah ataupun tidak. Mungkin nanti ada yang akan mengikut jejak langkah kalian.

Lebih elok jika kasut yang ada dipakai berbanding dibiarkan begitu saja. Ramai juga selebriti yang menjadikan kasut putih sebagai pelengkap gaya mereka di luar. Jika tak pasti cara untuk menggabungkan pakaian tertentu dengan sepatu putih, kalian boleh tiru saja gaya mereka.

Klik di sini dan di sini untuk melihat bagaimana selebriti luar negara dan kaum wanita menggayakan kasut putih atau sniker mereka. Mungkin boleh menjadi inspirasi buat kalian selepas ini.

Oleh itu, janganlah pula malu memakainya. Memang kasut sekolah putih akan tinggal kenangan mulai tahun hadapan tetapi orang kata, yang jadi kenangan itulah yang paling mahal nilai sentimentalnya.

4) Pasarkan Kepada Pekerja Beruniform

Peniaga yang menjual kasut sekolah putih mungkin sudah berfikir tentang strategi jualan mereka selepas susulan isu pemakaian kasut putih yang akan ditukarganti dengan kasut berwarna hitam. Peniaga mana yang mahu rugi terutama apabila mereka sudahpun menempah lebih awal stok kasut berkenaan sebelum sesi persekolahan bermula tahun depan.

Walaupun dipanggil ‘kasut sekolah’, namun mereka yang membeli kasut jenis ini tidak semestinya dalam kalangan pelajar sekolah sahaja. Peniaga mungkin boleh mencari peluang atau cara untuk mendekati mereka yang memerlukan kasut putih dalam sektor pekerjaan beruniform. Misalnya jururawat; pekerja kilang; sukarelawan beruniform dan lain-lain.

Golongan ini masih perlu mencari kasut putih sebagai mematuhi peraturan di tempat kerja masing-masing. Mungkin penjualan kasut putih tidak akan lagi menjadi serancak ketika sebelum pembukaan sesi persekolahan baru, namun kasut putih masih dikehendaki oleh golongan pekerja dalam sektor tertentu.

5) Kitar Semula Atau Tukar Fungsi Kasut

Kasut sekolah putih yang sudah tidak mahu disarung boleh ditukar fungsinya kepada pelbagai kegunaan. Mereka yang kreatif akan berfikir cara untuk tidak membazir barang terpakai yang masih elok dan boleh digunakan. Kasut juga boleh dikitar semula kepada sesuatu yang berguna dan unik.

Antaranya, kalian boleh mengubah kasut terpakai menjadi pasu bunga. Isi tanah di ruang dalam kasut dan semai biji benih pokok yang ingin kalian tanam. Apabila pokok sudah tumbuh dan membesar sedikit, bolehlah alihkannya ke dalam pasu sebenar. Boleh tonton contoh kasut yang ‘menumbuhkan’ pokok di sini.

Kalian boleh juga mempelajari cara terbaik menanam pokok di dalam kasut di laman ini dan juga di sini. Menanam pokok di dalam kasut bukan saja satu daripada cara unik untuk kitar semula malah teknik ini berupaya memberi kelainan kepada laman rumah kalian.

Selain daripada itu, kasut juga boleh dijadikan penyendal pintu (bergantung kepada jenis pintu). Cuci kasut yang sudah tidak mahu dipakai sehingga bersih terlebih dahulu kemudian masukkan pasir atau batu ke dalamnya sehingga penuh. Jika tidak mahu pasir atau batu tersebut berterabur, boleh juga letakkan kedua-duanya ke dalam plastik terlebih dahulu sebelum menyumbatnya ke dalam kasut.

Nah! Sekarang kalian sudah ada beberapa cara untuk memanfaatkan kasut sekolah putih sama ada yang baru mahupun yang masih ada dalam simpanan anak-anak.~❤️NH

 

 

 

 

Nurhasyima H.
Nurhasyima H.

Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”

Kongsikan Di:

  • Click to share on Facebook (Opens in new window) Facebook
  • Click to share on X (Opens in new window) X
  • Click to share on WhatsApp (Opens in new window) WhatsApp
  • Click to share on LinkedIn (Opens in new window) LinkedIn

Like this:

Like Loading...

Related

Hai! Sila Tinggalkan Komen Anda Di Sini :Cancel reply

SALAM KENAL

Nurhasyima H.

Nurhasyima H.

Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Eks-jurnalis. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.” Right now, positivity and joy are my priorities. ❤🎈 _ Untuk sebarang pertanyaan, usahasama, ulasan produk, cadangan atau cerita yang ingin dikongsi boleh e-mel di hello.reflectandrelax@gmail.com.

View Full Profile →

PETI SURAT

hello.reflectandrelax@gmail.com
Untuk sebarang pertanyaan, usahasama, ulasan produk, cadangan atau cerita yang ingin dikongsi. 🙂

Titipan Terbaru

  • Pembetulan Ayat Bahasa Melayu Bertulis: Kenapa Ia Penting?
  • Resipi dan Cara Masak Gulai Ikan Masin Tumis Darat
  • 7 Jenis Kesalahan Dimaafkan Allah Yang Maha Pemaaf

TITIPAN HOT

  • Resepi Nasi Goreng Udang Kering Cili Hidup Mudah & Sedap
    Resepi Nasi Goreng Udang Kering Cili Hidup Mudah & Sedap
  • Tempat Makan Menarik Di Pulau Pinang: Rumah Cafe
    Tempat Makan Menarik Di Pulau Pinang: Rumah Cafe
  • 7 Jenis Kesalahan Dimaafkan Allah Yang Maha Pemaaf
    7 Jenis Kesalahan Dimaafkan Allah Yang Maha Pemaaf

TITIPAN LALU

KATEGORI

  • JALAN² (7)
  • MAKAN² (17)
  • RAWAK (2)
  • REFLEKSI (5)
  • SERVIS (2)
  • TIPS (11)

Tags

#Allah #alquran #bertam #checklist #halal #hatyai #inspirasi #islam #jalanjalan #jjcm #jurnalseoulsisters #karipap #kedah #kembaramusimluruh #kepalabatas #koreaselatan #kuih #pulaupinang #makanmakan #muhammadsaw #puasa #ramadan #ramadhan #rawak #refleksi #resepi #seafood #seoul #tempatmakan #tempatmenarik #thailand #tok australia ibadah inspirasi membawang poskad r&r reflect sedekah solat surau sydney syukur timbangrasa tips

NAK CARI APA TU?

JEJAK

  • 73,529 hits

TRANSLATE THIS BLOG

PENAFIAN

Isi kandungan dalam weblog Reflect & Relax ini hanya penulisan santai berdasarkan pengalaman & pendapat peribadi penulis.

Penulis tidak akan bertanggungjawab ke atas kesan & akibat yang berlaku ke atas pembaca yang menggunakan mana-mana maklumat & perkongsian yang diambil daripada weblog ini.

Sebarang maklumat yang diambil daripada weblog ini untuk tujuan penerbitan rasmi dalam mana-mana medium perlu dimaklumkan kepada penulis terlebih dahulu dan/atau mesti diletakkan kredit serta pautan asal weblog ini.

Terima kasih.

Reflect&Relax

  • X
©2025 Reflect & Relax | Design by Superb
 

Loading Comments...
 

    %d