Kedai / Gerai Makan Tepi Jalan (Berhampiran Hospital Hat Yai & Stadium Jiranakorn)
Ini entri sambungan dari bahagian sebelum ni..masih lagi berkisar tentang kedai atau gerai makan di tepi jalan. Lepas mencuba makanan tengah hari di kawasan berhampiran Stesen Keretapi Hat Yai, saya, adik-adik dan sahabat merayau di sekitar bandar Hat Yai sementara menunggu petang untuk ke Khlong Hae Floating Market.
Tapi saya tak mahu cerita banyak tentang pasar terapung ni sebab rasanya kebanyakkan orang sudah tahu. Lagipun tempat tu dah terkenal dalam kalangan pelancong. Jadi, tak perlu kot nak ulas banyak. Cuma saya rekomen juga kalian pergi ke Khlong Hae Floating Market sekiranya mahu merasai kelainan suasana penyediaan dan jual beli makanan di sana.
Selesai mengisi perut di pasar terapung, kami singgah sekejap di Greenway Night Market. Cadangan awal mahu cuba makanan di sini tapi pilihannya kurang memberangsangkan untuk tekak kami. Makanan halal di situ teramat sedikit.
Seterusnya, kami ambil keputusan untuk ke sebuah gerai di bahu jalan di bandar Hat Yai. Okey sebelum tu, sekali lagi diingatkan yang lokasi makan seterusnya hanya sesuai untuk mereka yang tidak cerewet dan tidak kisah melepak makan di gerai tepi jalan ya.
Misi kami ke Hatyai adalah untuk jalan-jalan cari makan dan antaranya cuba merasai makanan tulen Thai dan mengalami sendiri budaya makan harian masyarakat marhaen di sini.
Ada beberapa kedai dan gerai Muslim yang begitu di bandar Hatyai. Pilih persekitaran gerai yang diyakini kebersihannya. Perkara ini mungkin subjektif dan bergantung kepada standard kebersihan kalian ya. Haha..
Gerai kaki lima di tepi jalan yang kami tuju ini terletak di Jalan Nipatsongkrew 1. Jalan ini berhampiran dengan bulatan besar berdekatan Hotel Presiden dan gerai ini terletak satu jalan dengan Family Practice Clinic Hat Yai Hospital (boleh cari dalam Google Map).
Kami ternampak gerai yang bernama Kedai Makan Kak Sah Somtam ini ketika hari pertama sampai di Hatyai. Untuk pengetahuan, kedua-dua belah jalan ini ada beberapa gerai Muslim. Kedai Makan Kak Sah Somtam ini kelihatan baru dan terletak di sebelah kanan jalan (ini jika kalian datang dari bulatan besar tersebut).
Okey di sini, kalian kena cuba menu istimewanya iaitu ikan bakar garam atau dalam bahasa Thainya, miang pla pao. Ikan bakar garam ini seperti namanya, disalut dengan garam kasar yang tebal dan kemudian dibakar. Ia adalah antara makanan istimewa di Hat Yai.
Cara makan hidangan ini serupa dengan snek Thai yang pernah (masih?) tular di media sosial sebelum ini iaitu miang kham yang kalian gemar makan sangat tu. Makan isi ikan ini bersama bihun celur dengan cara meletakkan kedua-duanya di dalam salad/daun ulam dan perasakan dengan sos cicah cili kering atau sos hijau cili api limau.
Isi ikan itu boleh saja dimakan begitu saja kerana rasanya yang ‘manis’ dek kerana kesegarannya. Kulitnya kami tak makan kerana berkerak dengan garam yang tebal.
Kami juga cuba daging dan ayam perap bakar di sini. Sedap juga rasanya manis-manis berempah. Selain itu, mi celup daging dan tomyam seafood saiz besar turut jadi pilihan kami di sini. Semuanya tidak terlalu mengecewakan, paling best ialah mi celup dan ikan bakar garamlah.
Ada banyak menu Thai lain termasuklah pelbagai jenis kerabu tempatan, menu goreng-goreng dan tomyam yang boleh dicuba di kedai ini. Buku menunya saja lebih besar daripada saiz kertas A4. Jadi bayangkan pilihan makanan yang boleh kalian cuba di sini. Oleh sebab kami dah menjamu selera di Khlong Hae Floating Market sebelum itu, jadi di sini kami makan yang ringan-ringan sahaja.
Duduk makan di kedai ni macam kalian lepak di gerai makan tepi jalan di Malaysia saja. Pelayan wanita yang ambil order kami pun ramah orangnya. Beliau yang mencadangkan semua makanan di atas; siap tunjukkan kami cara makan ikan bakar garam bersama ulam selain bantu bawa saya ke gerai mi celup dan mencadangkan beberapa isi tambahan untuk mi saya.
Jangan lupa cuba cari tempat ni untuk suasana lepak makan yang lebih santai.
Akhir sekali, untuk semua makanan tersebut (tanpa nasi) termasuk minuman teh ais, jus limau nipis ais, teh o ais limau dan jus oren; nilainya ialah 490 baht (kira-kira RM62).
Dan dengan itu, tamat sudah misi kami untuk JJCM di Hat Yai yang boleh dikatakan tercapai. Sebenarnya ada banyak tempat makan lagi, tapi kekangan waktu menyebabkan kami tak sempat nak pi.
Terima kasih kepada semua yang sudi membaca hingga bahagian akhir ini. Kalian memang awesome!~❤NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”
2 thoughts on “Tempat Makan Menarik di Hat Yai (Part 4/4)”