Hari ni saya nak kongsi cara buat petai jeruk. Tiba-tiba kan? #tetiber 😂 Agak lama juga saya mencari resepi menjeruk buah ulam kegemaran saya ni. Selama ni suka makan tapi tak tahu cara buat. Memang dasar tahu makan saja kerjanya. 😂
Bukan susah pun nak dapatkan resepi jeruk petai ni, Google kan ada; tapi itulah, selagi entri cara-cara buat tak lalu lalang di newsfeed Facebook atau Instagram (IG) sendiri, selagi itulah saya tak mulakannya. Kebetulan pula ada seorang kakak di IG (@rosehayatie namanya) yang berkongsi video cara buat petai jeruk ni bulan lepas.
Dan kebetulan pula beberapa minggu lalu ada seorang pakcik ni dah dua tiga hari asyik lalu lalang dengan motosikalnya di depan kedai saya sambil membawa berpapan-papan petai! Masa tu saya terfikir adakah ini satu petanda yang aku kena juga cuba buat petai jeruk ni?
Selepas beberapa minit, tiba-tiba saja ada 14 papan petai di tangan saya. Pakcik tu jual 14 papan RM10. Murah atau mahal saya pun tak pasti harga pasaran yang sebenar. Yang penting dah ada bahan utama untuk menjeruk. Masa tu dah terfikir sedapnya petai ni kalau dapat makan dengan nasi panas bersama gulai dan sambal belacan. Fuhhh!
Okey, sambil menjeling-jeling video cara buat di IG, saya cari bekas yang sesuai untuk menjerukkan petai-petai tersebut. Letak saja dulu bekas itu di tepi kerana ada tugas penting yang perlu kita buat sebelum petai-petai tersebut dimasukkan ke dalamnya.
1) Gunting papan-papan petai ini menjadi pendek-pendek; agak-agak muat untuk dimasukkan ke dalam periuk. Bilas dengan air dan kemudian rebuskan ia selama beberapa minit sehingga ia lembut.
2) Angkat dan tapiskan petai tersebut. Biarkan ia sejuk seketika. Bila dah boleh pegang petai tersebut tanpa rasa panas, keluarkan biji petai satu persatu dan masukkan ke dalam bekas berpenutup yang sesuai.
3) Setelah siap mengeluarkan semua isi petai, masukkan asam keping dan cili api. Bilangan asam keping dan cili api yang ingin diletakkan bergantung kepada kuantiti petai. Petai saya sedikit saja, jadi saya cuma letak 1 keping asam dan 2 biji cili api. Sebenarnya, cili api ini tak memberi kesan pada rasa cuma mengikut pendapat kakak di IG berkenaan, ia cuma untuk memberi warna saja; bagi nampak meriah katanya.
4) Kemudian, bancuh garam dengan air masak. Garam ni ikut kesesuaian; rasa-rasalah ia hingga dah cukup masinnya. Tuang air garam tersebut ke dalam bekas berisi petai tadi. Paras air mesti menenggelamkan petai-petai yang dah nampak menyelerakan tu.
5) Tutup bekas rapat-rapat dan simpan petai di tempat yang tidak begitu terdedah kepada matahari. Nak tahan lama simpanlah di dalam peti sejuk. Untuk mendapatkan rasa petai jeruk yang sebenar, biarkan ia selama kira-kira dua minggu atau lebih lama (lebih sedap rasa jeruknya nanti) sebelum kalian menikmatinya bersama nasi dan lauk pauk lain.
Itulah saja cara buatnya. Mudah ke sangat mudah? Haaa..selamat mencuba ya!~❤NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”