Saya terpanggil untuk berkongsi dengan kalian kelebihan-kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW selepas menonton video ceramah Ustaz Haji Husaini di YouTube baru-baru ini.
Banyak rupanya fadhilat berselawat ke atas kekasih Allah ini. Paling istimewa, Allah dan malaikat juga mengucapkan selawat ke atas baginda; jadi siapalah kita untuk tidak melakukannya.
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
Surah Al-Ahzab : 56
Perkataan ‘selawat’ diambil daripada perkataan ‘solat’ yang bererti doa, pujian. Menurut istilah Kamus Dewan Bahasa & Pustaka, ‘selawat’ ditakrifkan sebagai doa kesejahteraan ke atas Nabi Muhammad SAW.
Jujurnya, saya sendiri pun masih struggle untuk mendisiplinkan diri mengirimkan ucapan selawat kepada Rasulullah SAW setiap hari walau tahu banyak kebaikannya.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Ya Allah, berilah selawat kepada Nabi Muhammad dan keluarganya.
Kata orang, dengan selalu membaca, mendengar dan menonton ceramah kisah-kisah dakwah baginda di samping mengetahui ganjaran atau kelebihan berselawat; akan mudah membuka hati kita untuk menyampaikan selawat kepada junjungan besar SAW.
Kelebihan berselawat yang saya ingin kongsi ini saya petik dari isi kandungan ceramah atau kelas disampaikan ustaz ini melalui videonya di sini. Beliau sendiri merujuk dari kitab al-Jauharul al-Mauhub – Permata Pemberian Yang Indah.
Berikut ialah antara intipati 51 kelebihan berselawat yang dinyatakan beliau:
51 Kelebihan dan Keuntungan Berselawat ke Atas Nabi Muhammad SAW
1) Mendapat doa daripada malaikat.
2) Mendapat syafaat daripada Nabi Muhammad SAW.
3) Malaikat yang membawa rahmat akan mengikuti mereka yang berselawat.
4) Mengelak diri daripada menjadi munafik & kufur.
5) Menghapuskan dosa-dosa.
6) Berupaya menjadi asbab bagi mencapai hajat dan keperluan – tercapai semua yang dihajati dengan sebab selawat yang kita amalkan.
7) Zahir dan batinnya bercahaya gemilang.
8) Terlepas daripada huru hara hari kiamat.
9) Dimasukkan ke dalam syurga.
10) Mendapat salam daripada Allah Ar-Rahman.
11) Menjunjung perintah Allah untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW seperti dinyatakan dalam surah Al-Ahzab; ayat 51.
12) Kita bermuafakat & bersama-sama dengan Allah – maksudnya kita berselawat dan kemudian Allah merahmati kita pula.
13) Kita bermuafakat/bersama-sama dengan malaikat – maksudnya kita berselawat dan kemudian malaikat mengucapkan doa sejahtera untuk kita pula.
14) Mendapat 10 selawat daripada Allah pada setiap 1 selawat yang kita lafazkan. Kita selawat 1 kali, maka Allah beri 10 kali rahmat kepada kita. InsyaAllah.
15) Diangkat baginya 10 darjat bagi setiap selawat.
16) Dicatat baginya 10 kebaikan.
17) Dihapus baginya 10 kejahatan atau dosa.
18) Diharap akan kabul doanya berbanding orang yang tak berselawat.
19) Berupaya menjadi sebab untuk mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW.
20) Boleh jadi penyebab bagi keampunan dosa & penutupan aib pada hari kiamat.
21) Boleh menjadi sebab bagi menyampaikan kepadanya perkara yang dicita-citakannya.
22) Menghampirkan seseorang hamba kepada Nabi Muhammad SAW – mendekatkan hati kita dengan baginda.
23) Mendapat pahala sedekah.
24) Boleh jadi sebab tertunainya hajat.
25) Penyebab untuk kita mendapat selawat daripada Allah (rahmat-Nya diberikan kepada kita) dan doa daripada malaikat untuk kita.
26) Sebab bagi mendapat barakah iaitu kebaikan yang bercambah.
27) Mendapat keseronokkan sebagai seorang hamba iaitu diberi-Nya syurga setelah mati.
28) Pelepasan daripada huru hara hari kiamat.
29) Mendapat jawapan salam Nabi Muhammad SAW daripada selawat yang disebut. Apabila seseorang berselawat, Allah kembalikan roh Rasulullah SAW kepadanya untuk baginda jawab selawat kita (ada hadis tentang perkara ini).
30) Mengelakkan diri kita daripada lupa kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sebenarnya rindukan kita (iaitu mereka yang tak pernah berjumpa dengan baginda tetapi tetap percaya dan yakin dengan ajaran baginda. Mereka yang tak pernah melihat Rasulullah SAW ini, baginda anggap sebagai saudaranya manakala orang-orang pada zaman beliau, hanya dianggap sebagai sahabat).
31) Menghilangkan kepapaan.
32) Mengharumkan tempat perhimpunan. Mulakanlah dengan berselawat dalam setiap majlis.
33) Menafikan sifat bakhil. Rasulullah SAW berkata siapa yang tak berselawat kepadanya ketika nama baginda disebut, inilah sebakhil-bakhil manusia.
34) Menghilangkan hina seorang hamba. Hina di sini bermaksud tidak mendapat rahmat, susah hendak taat kepada kebaikan dan tidak mendapat hidayah dari Allah.
35) Membuka jalan ke syurga.
36) Terlepas daripada busuk majlis kerana tiada selawat. Di sisi malaikat, majlis yang tak berselawat dianggap busuk.
37) Menyempurnakan kalam puji-pujian. Contohnya, dalam majlis kita selalu puji Allah terlebih dulu kemudian diikuti dengan berselawat; ini menunjukkan kalam pujian itu telah disempurnakan atau lengkap.
38) Mendapat kemenangan semasa melintasi titian sirat. Boleh lintas dengan baik dan lancar.
39) Sebagai sebab untuk berjumpa Nabi Muhammad SAW. Baginda menyebut orang yang dekat dengannya ialah orang yang banyak berselawat kepadanya.
40) Mendapat rahmat Allah.
41) Mendapat barakah dalam kehidupan.
42) Kasih Nabi Muhammad SAW kepada kita berkekalan.
43) Selawat yang konsisten akan mendatangkan rasa kasih kita kepada Nabi Muhammad SAW.
44) Allah SWT beri petunjuk pada hatinya.
45) Hatinya hidup dalam iman.
46) Sebab bagi tetap imannya. Iman tak berbolak balik.
47) Tanda syukur sebagai umat Muhammad SAW.
48) Selawat juga dikira juga sebagai zikrullah.
49) Ia juga dikira sebagai doa untuk diri mereka yang berselawat.
50) Menjadi orang yang mulia pada rupa dan pada hatinya.
51) Menghampiri kepada syurga, bidadari syurga dan mahligai syurga.
InsyaAllah ameen. Mudah-mudahan kita semua dipermudahkan untuk berselawat. Biar jumlahnya sedikit tetapi konsisten setiap hari.
Cubalah dulu 100 kali setiap hari; selawat nabi yang ringkas pun tak apa seperti mana yang saya kongsikan di bawah. Set waktu yang tetap setiap hari dan mulakan!~❤NH
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Ya Allah, berilah selawat (pujian dan doa) kepada Nabi Muhammad dan keluarganya.
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”
Alhamdulillah, Terima Kasih untuk Perkongsian
Alhamdulillah, sama-sama. Semoga bermanfaat. InsyaAllah. 🙂
Alhamdulillah ..terima kasih atas perkongsian ni.. Sgt2 berguna n bnyk info baru yg saya tak tahu dapat ilmu baru harini.. Semoga Allah merahmati penulis n keluarga serta kita semua aamiin3
Alhamdulillah. Terima kasih atas doa dan kesudian Puan membaca entri ni. InsyaAllah harapnya ada manfaat untuk Puan. Semoga Allah merahmati Puan sekeluarga jua. Ameen. ❤️
Info yang berguna untuk rutin selawat setiap hari.
Alhamdulillah terima kasih. InsyaAllah semoga jadi motivasi & sama-sama istiqomah. 🙂
Alhamdulillah…saya husaini..penceramah dalam video tu…muga kita sama sama perbanyakkan selawat..
Alhamdulillah terima kasih Ustaz singgah blog saya yang tak seberapa ni. Kurang lebih saya mohon izin dan maaf kalau ada kekurangan berkaitan entri ini. Terima kasih kepada Ustaz kerana sampaikan ilmu tentang kelebihan berselawat. Cuma terkilan sebab nampaknya video tu dah dipadam oleh pihak YouTube. InsyaAllah semoga Ustaz sentiasa dimewahkan rezeki berkat dan dipermudahkan urusan di dunia dan akhirat. InsyaAllah juga sama-sama istiqomah berselawat.