Kedai / Gerai Makan Tepi Jalan (Berhampiran Stesen Keretapi Hat Yai)
Kalau dah namanya orang Malaysia, tetaplah juga mahu mencari nasi berlauk di mana jua berada. Mujur Thailand khususnya di Selatan Thai masih mempunyai makanan ruji ini.
Jadi, hari kedua di Hat Yai, kami sempat mencuba makanan di kedai makan lauk campur dan gerai tepi jalan. Hmm..Okey cadangan tempat makan mungkin hanya sesuai untuk mereka yang tak kisah lepak makan di gerai tepi jalan ya.
Misi kami ke Hat Yai adalah untuk jalan-jalan cari makan (JJCM) dan antaranya mahu mencuba untuk merasai makanan tulen komuniti di Thailand dan mengalami sendiri budaya makan harian masyarakat marhaen di sini.
Ada beberapa kedai dan gerai Muslim yang begitu di bandar Hat Yai. Jika terjumpa, pilihlah persekitaran kedai yang diyakini kebersihannya. Perkara ini mungkin subjektif dan bergantung kepada standard kebersihan kalian ya. Haha..
Kedai pertama yang kami tuju untuk ‘brunch’ (breakfast & lunch) kami ialah kedai makan kecil betul-betul berhadapan dengan Stesen Keretapi Hat Yai di Rotfai Road (boleh cari di Google Map).
Ada dua kedai di deretan tersebut. Satu daripadanya ada papan tanda kecil bertulis Dapur Muslim bersama logo halal dan begitu juga kedai bersebelahannya. Kami memilih ke kedai sebelah Dapur Muslim kerana pilihan makanan nampak lebih memikat hati.
Di lokasi ini, tak silap saya hanya dua kedai ini yang dikendalikan peniaga Muslim. Jangan tersilap masuk kedai ya kerana ada kedai di deretan itu yang menjual hidangan tidak halal yang digantung-gantung di luar kedai.
Hidangan di kedai yang kami makan menyediakan nasi dengan menu lauk campur Thai. Ada lebih 10 jenis masakan yang boleh dipilih. Antaranya, ikan masak kengsom, padprik ayam, pad kra pao, telur ikan goreng, sayur rebung ayam masak lemak, hirisan ayam goreng cili manis, daging masak merah, tomyam dan lain-lain. Kalau tak mahu makan nasi campur, ada juga disediakan mi celup.
Oleh sebab kami nak merasai masakan Thai yang dimasak sendiri orang tempatan di sini, kami ambil antara dua hingga tiga lauk seorang. Jumlah harga keseluruhan makan dan minum kami berempat di kedai ini ialah 240 baht (kira-kira RM31) sahaja.
Cubalah rasa jika berpeluang ke Hat Yai. Tak rugi mencuba masakan orang tempatan (hanya yang halal sahaja). Saya sendiri jarang bawa bekal sambal kering ikan bilis, pek makanan segera atau mi segera ketika melancong mahupun mengembara. Merasai sendiri masakan di tempat orang antara satu daripada cara untuk mengenali cara hidup masyarakat di negara asing di samping mengukuhkan lagi rasa cinta kita kepada budaya di tanah air sendiri.
Jangan lupa order teh ais Thai yang rasa tehnya pasti lebih original di negara asalnya di sini. Kami pulun minum teh ais sahaja sepanjang berada di sini. Sungguh terlajak sedap, diet pun ke laut la nampaknya!~❤️NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”