Dah sampai Hat Yai tapi masih tak tahu nak cari lokasi makanan halal, kalian boleh cuba datang ke Medan Selera (food court) Asean Night Bazaar.
Asean Night Bazaar ni lebih kurang sama dengan bazar-bazar biasa cuma tempat ni kelihatan baru, tak panas dan lebih selesa untuk beli belah serta paling penting boleh makan-makan.
Macam biasa, pelbagai barangan seperti t-shirt, baju lelaki dan wanita, seluar, beg, aksesori telefon, aksesori kereta, servis manicure, barangan kraftangan dan cenderahati boleh dibeli pada harga yang berpatutan di sini (jika kalian ada skil tawar menawar yang hebat, boleh cuba di sini). 😉
Yang menariknya bazar ni ada dua tingkat. Tingkat bawah dikhususkan untuk jualan barangan yang saya sebutkan tadi manakala di tingkat atas menempatkan medan selera.
Dah berpusing-pusing di dalam bazar tu, tak tahu pula bagaimana mahu ke tingkat atas. Cuba cari tangga di bahagian tepi bazar yang mengadap ruang lapang tempat orang melepak dan silalah naik ke tingkat atas. Di atas ni, ada lebih 20 gerai-gerai kecil menjual pelbagai jenis makanan.
Saya suka lihat gerai-gerai ini terang sekali dengan cahaya lampu bagai menggamit pelanggan untuk mencuba setiap jenis makanan di situ. Tapi hati-hati ya, pastikan kalian cari gerai yang mempunyai logo halal atau yang ada papan tanda Bismillah jika tidak mahu merasa was-was.
Banyak juga pilihan yang ada sampai rambang mata dibuatnya – nasi biryani ayam bakar, tomyam seafood dan pelbagai jenis mi tomyam; pulut mangga, minuman jus buah-buahan segar, air kelapa, penkek pisang berselimut coklat dan susu pekat manis (ini sedap!).
Selain itu, ada teh ais Thai, pelbagai jenis kerabu, somtam, nasi goreng Pattaya atau namanya di sini omelette over rice; udang sungai goreng, mi pad Thai oyster omelette, sushi dan macam-macam lagi makanan yang tidak terlalu berat untuk perut kalian.
Saya tak mampu nak rasa semuanya kerana masih terlalu kenyang dengan makanan barbeku di Khlong Hae Halal Seafood sebelum itu. Tapi semuanya nampak menyelerakan di sini dan saya kongsikan saja gambar-gambar makanan yang ada di situ.
Kalian boleh makan di sini atau bawa pulang. Meja makan banyak disediakan dan terletak di bahagian tepi kawasan gerai. Ada meja yang mengadap bazar di bawah; ada pemandangan kawasan lapang tempat orang melepak atau nak duduk di tengah-tengah pun boleh.
Harga juga agak berpatutan dan mungkin slightly higher kerana ia kawasan tumpuan. Roti ala penkek pisang bersalut coklat yang saya nikmati berharga 30 baht bersamaan dengan kira-kira RM3.70. Teh ais 20 hingga 25 baht (lebih kurang RM2.50); pulut mangga 50 baht (kira-kira RM6.25). Semua harga ini mengikut kadar tukaran wang pada masa itu.
Singgahlah kalau nak shopping dan kemudian teringin pula nak merasa street Thai food yang enak. Semuanya di bawah satu bumbung. Tak payah dah pening-pening cari tempat makan yang lain.~❤️NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”