Sejak Ogos lalu, newsfeed di akaun laman media sosial saya asyik ‘menghidangkan’ gambar kek buah pastri (pastry fruit cake). Rupa-rupanya ramai dalam kalangan netizen sedang rancak membuat kek ini sehingga ia menjadi tular. Patutlah newsfeed saya penuh dengan ‘perbincangan’ hangat tentangnya.
Disebabkan tidak tahan melihat gambar kek buah pastri yang nampak sedap, maka saya pun menggigihkan diri mencari resepi dan menyinsing lengan baju untuk cuba membuatnya pada Khamis lalu. Kos untuk membuat kek ini agak tinggi juga dek kerana harga buah-buahan yang digunakan.
Setelah mencari, ada banyak resepi yang lebih kurang sama namun saya terinspirasi untuk mencuba resepi mudah kek buah pastri yang dikongsi seorang pemilik akaun Instagram (IG) bernama kak @mrs.lina.thomas. Kak Lina ialah seorang warga Malaysia yang kini menetap di Amerika Syarikat bersama suami dan anaknya. Beliau rajin memasak dan berkongsi pelbagai tips masakan serta pembuatan kek.
Bagaimanapun, ada bahagian resepi dan cara-caranya yang saya ubah suai sedikit mengikut bahan serta keperluan saya tempoh hari. Berikut saya kongsikan bahan-bahan dan kaedah membuat kek buah pastri:
Bahan-bahan:
100 gram mentega
150 gram gula
2 sudu besar krim masam (sour cream) atau yogurt (saya guna yogurt)
3 biji telur gred A
1 sudu teh esen vanila
1 sudu besar jus lemon & zest dari satu lemon (saya gantikan jus & zest ini dengan jus Sunquick Oren)
210 gram tepung gandum – diayak bersama 1 sudu teh serbuk penaik (baking powder)
Hirisan buah-buahan strawberry, pic & blueberry atau kiwi
Cara-cara:
1) Panaskan ketuhar pada suhu 180°C (350°F). Sapukan sedikit mentega atau minyak masak di bahagian tepi dan bawah loyang.
2) Putar mentega, gula dan krim masam atau yogurt sehingga ringan dan lembut. Kemudian, masukkan telur secara sedikit demi sedikit dan putar hingga sebati.
3) Masukkan esen vanila, jus lemon bersama zestnya (atau jus Sunquick Oren) dan putar hingga sebati.
4) Masukkan tepung serta serbuk penaik dan putar hingga sebati. Selepas itu, tuang adunan ke dalam loyang yang tersedia.
5) Hiris buah-buahan sebelum hias dan susun ia di atas adunan yang sudah diratakan. Jangan tekan buah-buahan ke dalam adunan.
6) Masukkan ke dalam ketuhar (rak di tengah) dan bakar selama satu jam. Pada 15 minit terakhir, tutup bahagian atas dengan kerajang aluminum (aluminium foil) untuk mengelakkan kek menjadi over-browned.)
7) Biarkan kek sejuk di dalam loyang selama kira-kira 5 hingga 10 minit. Keluarkan kek dan pindahkan ke rak dawai untuk disejukkan. Jika suka, guna penapis teh untuk tabur gula aising ke atas kek.
8) Siap dan boleh dihidang untuk makan bersama yang tersayang.
Mudah atau sangat mudah? Selamat mencuba ya!~❤NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”