Labu siam ialah antara sayur kegemaran Mak saya. Kebiasaannya, apa yang menjadi kesukaan Mak, berkemungkinan juga menjadi kegemaran seluruh ahli keluarga. Hal ini demikian kerana apa saja yang Mak masak dan hidangkan di rumah, kami hanya makan saja. Tak boleh memilih-milih. Paling tidak pun, menjamah masakannya sedikit walaupun kurang gemar dengan apa yang dihidangkan.
Begitulah cara Mak mengajar kami untuk mencuba apa saja makanan asalkan ia halal. Semuanya bermula dari rumah dan disebabkan inilah Alhamdulillah, saya dan adik beradik tidak cerewet soal makanan walaupun berada di negara asing. Cuma apa yang sering menjadi ‘masalah’ buat saya ialah saya tidak tahu nak makan di mana atau nak makan apa; mungkin kerana terdapat terlalu banyak pilihan. Syukur. Hahaha.
Berbalik kepada labu siam, berdasarkan pemerhatian saya, sayur ini tidaklah sepopular sayur lain. Orang mungkin lebih biasa mendengar dan makan kangkung, bayam, lobak merah atau kailan berbanding labu siam yang boleh juga dikategori sebagai buah ini.
Labu siam mempunyai isi yang keras dan kaya dengan serat, antioksidan, zat besi, fosforus, potassium, vitamin B1, B2, B6, dan vitamin C. Oleh sebab itu, labu siam dikatakan mempunyai pelbagai khasiat kesihatan. Antara khasiat labu siam ialah ia dikatakan mampu untuk mengurangkan kolestrol dan berat badan, mengawal tekanan darah tinggi selain mengatasi anemia jika dimakan selalu.
Sayur ini tidak pahit; rasanya manis-manis sayur. Jika memasaknya, tidak perlu terlalu lama sehingga menjadi lembik kerana ia lebih enak dimakan ketika masih rangup (bukan keras).

Cara masaknya ada pelbagai; ada yang gemar hanya masak secara tumis air sahaja. Ada juga buat masak lemak santan seperti lodeh atau masak lemak putih. Saya pula lebih gemar membuat masakan labu siam goreng. Jika berminat, boleh cuba resepi di bawah. Ringkas saja cara masak labu siam goreng ini, sesiapa pun boleh memasaknya.
Bahan-bahan:
1 biji labu siam
4 ulas bawang putih
1 sudu kecil udang kering / udang kecil
1 sudu kecil perencah sup sayur
Bebola ikan (dibelah empat)
Lada hitam
Lada sulah
Garam
Cara-cara:
1) Labu siam dibuang kulit kemudian belah dua dan buang bijinya. Basuh dan hiris sayur itu dengan ketebalan sederhana nipis.
Untuk mereka yang pertama kali mahu mencuba sayur ini, kalian jangan panik pula bila tangan kalian melekit-lekit atau melekat-lekat seperti terkena gam gajah ketika membuang kulit labu ini. Cuma perlu cuci tangan dengan air seperti biasa selepas selesai dan getah labu akan tanggal sedikit demi sedikit.
2) Tumis bawang putih, udang dan bebola ikan hingga naik bau serta sedikit kekuningan.
3) Masukkan labu siam yang sudah dihiris dan kacau rata.
4) Taburkan perencah sup sayur, lada hitam, lada sulah mengikut kepedasan yang dikehendaki. Saya kurang gemar jika ia terlalu pedas namun ia terpulang kepada citarasa masing-masing.
5) Kacau masakan kalian sehingga sebati dan kemudian tutup kuali kira-kira 2 minit untuk melembutkan labu siam. Pastikan api tidak terlalu besar. Jika kalian suka ia berkuah, boleh tambahkan sedikit air dan sesuaikan rasa garamnya.
6) Kacau dan kemudian rasa sedikit sama ada ia masih keras atau sudah masak (rangup dan jika boleh tidak terlalu lembik). Jika masih keras, kacau dan kemudian tutup kuali kira-kira 1 minit lagi.
7) Rasa sedikit dan sekiranya sudah sesuai dengan citarasa kalian, bolehlah diangkat dan dihidangkan.
Untuk makluman, gambar yang saya kongsikan ini ialah gambar ketika saya masak secara ringkas tanpa bebola dan udang. Saya terlupa nak ambil gambar masakan saya untuk resepi yang dikongsikan ini tapi rupa masakannya lebih kurang sama saja. Nampak ringkas dan mudah memasaknya.
Selamat mencuba ya! ~❤NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”
Thank you. I like labu siam omelette but your recipe is easy. I’ll try your recipe. This labu can keep in the fridge for a long time so I like to buy and keep.
You’re welcome. I’m glad that you find this recipe easy. I learn from my mother. So, have you tried cooking it? I hope you like the taste. Yes true, we can keep it in the fridge for a long time. Also, not much hassle to cook it and don’t have to wait for so long for it to softened during cooking. Thank you for visiting! 🙂