Penafian: Entri ini bukan bertujuan untuk menceritakan kelebihan saya memperoleh waktu untuk berqiyamulail dari Allah; tetapi untuk saya berkongsi ujian yang Allah turut berikan pada ketika yang sama Dia kurniakan rezeki tersebut kepada saya yang kerdil ini. Maaf jika ada yang kurang senang.
Segala puji bagi Allah kerana beri saya kesempatan untuk berqiyamulail pada 10 malam terakhir di sebuah masjid berdekatan dengan rumah Mak & Ayah saya pada Ramadan lalu.
Walau jumlahnya tak sebanyak tahun lepas, tapi rezeki masa yang diberikan Allah meskipun sedikit, saya cuba semampu daya dengan bantuanNya untuk penuhi dengan sesuatu yang Dia sukai.
Hal ini kerana tiada siapa yang tahu bila titik noktah akhir kita, justeru, setiap peluang melakukan kebaikan yang dihalakan kepada kita, ambil dan kemudian bersyukurlah kepadaNya – kerana kita hanya hambaNya.
Bersyukur kerana Dia memilih kita untuk berbuat yang baik. Laa Hawla Walaa Quwwata Illa Billah – Tidak ada daya upaya & kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.
Apatah lagi peluang itu diberikan pada bulan Ramadan; yang mana belum tentu lagi sama ada kita akan direzekikan bulan yang sama pada tahun hadapan.
Seperti Ramadan tahun lepas, saya dan rakan ambil kesempatan untuk menghabiskan masa di masjid selepas selesai solat Isyak. Sementara menantikan solat malam berjemaah pada jam 3.45 pagi, kami lakukan beberapa aktiviti sebelum tidur.
Bukan kami sahaja yang menjadi ‘penghuni’ sementara masjid dalam tempoh 10 malam terakhir tersebut, ada juga beberapa keluarga, warga asing dan pelajar universiti.
Masing-masing buat hal masing-masing; ada yang mengaji al-Quran, berzikir, mengulangkaji pelajaran, membaca terjemahan al-Quran, bersolat sunat atau tidur.
Ketika malam-malam awal qiyamulail, saya cuba sedaya upaya jaga kelakuan dan hati ketika melakukan sebahagian aktiviti tersebut di masjid.
Bagaimanapun, pada malam ketiga, saya mula diujiNya. Masa tu, seperti biasa, ia tindakan spontan dan saya tak sedar yang saya sedang dinilai Allah bila Dia temukan saya dengan seorang jemaah wanita warga asing (bukan wanita Arab dan dari perwatakan serta gayanya, bukan juga seorang pelajar) ini.
Wanita ini ada buat perkara yang ketika itu saya anggap mengganggu aktiviti ibadah jemaah lain secara tidak langsung. Sebelum ini, saya perhatikan beliau datang ke masjid untuk tidur dan kemudian bangun untuk solat qiyamulail saja. Saya tak perasan dia mengaji atau ada buat aktiviti lain.
Apa yang berlaku, pada malam tersebut iaitu kira-kira jam 10.45 malam, saya lihat beliau cuba tutup buka suis lampu beberapa ruang solat wanita.
Saya jadi hairan dan terdetik dalam hati kata-kata, “dah kenapa kau suka-suka nak tutup buka suis dan ganggu aktiviti jemaah lain.”
Beliau sebenarnya cuba tutup suis lampu di ruang yang menjadi tempatnya dan rakan tidur; sedangkan di sekitar kawasan tersebut masih ada jemaah yang sedang khusyuk membaca al-Quran.
Saya hampir naik angin dan menyuarakan rasa tak puas hati kepada sahabat saya di sebelah. Sahabat saya seperti biasa, hanya buat tak tahu dengan rungutan saya. Dia minah cool berbanding saya yang cepat memberi reaksi. Huhuhu… #jangantiruperangaisayaini
Saya kemudian bingkas bangun menekan buka suis lampu berhampiran untuk terangi ruang tempat kami duduk.
“Hah puas hati aku,” getus hati saya sambil memandang wanita itu dari jauh. Beliau kemudian pergi ke arah rakannya yang duduk tidak jauh dari tempat kami.
Saya pula mula merungut dalam nada agak kuat mengenai hal tersebut sambil pandang sahabat saya, kononnya mahu wanita itu dengar rungutan saya tentang dia. Saya pun tak pasti beliau dengar atau sebaliknya. #sekalilagijangantiruperangaiini
Seketika selepas itu, kebetulan saya berselisih dengannya ketika ingin turun mengambil wuduk. Saya nampak beliau renung saya sambil jegilkan matanya dan saya pula balas dengan jelingan.
Haihhh teruk benar rasanya bila ingat semula tapi saya ingin kongsikan juga; moga ada yang boleh diambil iktibar. Mudah-mudahan Allah sentiasa tundukkan hati kita menjadi hamba yang sentiasa bersangka baik sesama manusia. InsyaAllah.
Sebenarnya, pada malam sebelumnya, iaitu ketika sahur, wanita ini telah cuba potong barisan semasa saya beratur mengambil makanan. Tapi, saya terus ke depan dan tak bagi peluang untuk beliau potong; pun begitu tetap juga beliau potong barisan orang di belakang saya.
Hah, rentetan dari itu, saya perhati dia kecil besar kecil besar saja sepanjang malam tersebut. Saya cop beliau sebagai orang yang kurang sivik. Judgementalnya saya masa tu. Astaghfirullahal’azim.
Boleh jadi mungkin dia terlalu lapar sampai cuba langkau barisan atau saya sepatutnya tegur beliau dengan cara yang baik (sebenarnya muka dia nampak cengil, jadi saya tak mahu ambil risiko kena marah/bergaduh dengan beliau). Huhuhu…
Keesokan malamnya, ketika jemaah mula berkumpul untuk solat malam bersama imam, saya terdengar sedikit ‘kekecohan’ di sebelah kanan saya. Saya kalih dan lihat wanita itu lagi. Perkara apalah lagi yang dia cuba timbulkan kali ni?
Rupa-rupanya, dia bertanya seorang daripada jemaah di situ mengenai solat malam yang bakal ditunaikan sebentar lagi. Beliau ingin pastikan solat apa, berapa rakaat dan bagaimana niat untuk mengerjakannya.
Mungkin malam-malam sebelum ini beliau hanya mengikut solat tanpa kepastian tentang semua hal itu. Dan pada detik itu juga, hati saya tiba-tiba tersentak…
Imam baru sahaja mengangkat takbir, saya cuba bertenang menghadam rasa sentakan di hati selepas melihat dan mendengar apa yang ‘dikecohkan’ oleh wanita tersebut.
Saat itu, apa yang saya rasa ialah Allah seolah-olah telah kejutkan saya supaya menurunkan ego diri ketika itu.
Tidak sepatutnya saya pandang serong terhadap wanita tersebut kerana saya juga pendosa; pernah melakukan salah dan silap; menyakiti hati orang lain; kurang sabar; bersangka buruk dan macam-macam lagi perangai tak elok yang lain.
Saya tekad tidur di masjid dan gagahkan diri untuk bangun pada sepertiga malam bagi mengadapNya; merayu ampun dari Yang Maha Tinggi sama seperti wanita tersebut.
Meskipun ada sikapnya yang tidak disenangi, tapi Allah tetap berikannya kemahuan untuk bersolat malam dan mengambil tahu tentang ibadah tersebut.
Saya tersedar; begitulah juga saya. Allah pilih dan beri peluang itu kepada saya; justeru apalah hak saya untuk menelah dan memandang buruk wanita tersebut.
Saya juga pendosa yang ingin ke syurgaNya. Air mata mengalir sepanjang solat pada malam itu. Hinanya rasa ketika itu di hadapanNya. Sedang Allah tetap membimbing meski bahu kiri bertimbun dosa.
Sejak hari tersebut, hati saya ‘berdamai’ dengan wanita itu walaupun mungkin beliau tidak tahu ‘peperangan’ yang berlaku. Walau gementar, saya cuba solat berdekatannya dan memasang niat untuk memohon maaf.
Pada malam terakhir, saya berkesempatan salam dengan beliau tapi mulut saya terkunci. Sebenarnya, saya masih takut kerana wajahnya yang cengil. Huhuhu…
Saya tak pasti sama ada dia perasan saya atau tidak kerana suasana kelam di dalam masjid. Selepas kembali ke tempat ‘lepak’ saya dan waktu beransur siang, saya perasan beliau agak terkejut bila terpandang saya.
Mungkin dia baru perasan yang saya ada bersalaman dengannya selepas solat Subuh tadi. Masa itu, saya cuma doa dalam hati agar dia tak simpan rasa marah terhadap saya.
Refleksi
Begitulah kisah 10 malam Ramadan terakhir saya tahun ini. Adakalanya ilmu dan keyakinan diri yang kononnya dirasakan tinggi boleh membuatkan seseorang menjadi lupa diri.
Jika tiba-tiba kita merasakan diri lebih daripada orang lain atau memandang kekurangan orang hingga menimbulkan rasa gah dalam hati; berhentilah sejenak untuk muhasabah diri.
Boleh jadi mereka yang tampak lekeh itu lebih mulia di sisiNya. Ingatkan diri bahawa apa yang kita ada hari ini semata-mata kurniaan daripada Allah SWT – Pemilik segala ilmu dan kekayaan.
Harapan saya agar saya dan juga yang membaca entri ini, disuburkan Allah dengan sifat kerendahan hati dan berbaik sangka selalu.
Saya juga doakan semoga wanita itu dan kita semua tetap dibimbing Allah pada jalanNya; sama ada ketika di laluan berliku mahupun lurus. Ameen Ya Rabb.~❤️NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”