Hidup ini sudah ditetapkan bahagian ujian masing-masing. Ada yang diuji dengan sakit, masalah rumahtangga, masalah keluarga, orang sekeliling, kemiskinan, limpahan harta yang banyak, kelebihan ilmu berbanding orang lain dan seribu satu ujian lain.
Kira-kira dua minggu lalu saya menerima berita tentang isteri pakcik saya dimasukkan ke hospital dan tidak sedarkan diri dipercayai akibat strok ketika dialisis susulan penyakit hati yang dialami. Pakcik atau kami panggil beliau Pak Chaq adalah abang sulung Ayah.
Rupa-rupanya makcik saya itu menerima rawatan sejak awal bulan September namun saya mendapat tahu tentangnya agak lewat. Mungkin pakcik dan anaknya tidak mahu menyusahkan saudara-mara yang lain. Namun, perkara itu disampaikan kepada kami selepas doktor memaklumkan keadaan makcik sudah kritikal dan terpaksa ‘direhatkan’.
Jika begitulah yang sudah diaturkan Allah, pasti ada hikmahnya. Apa yang ingin saya kongsikan adalah bagaimana pakcik saya berhadapan dengan situasi isterinya yang ketika itu dikatakan kritikal oleh doktor dan sedang ‘direhatkan’. Pakcik atau kami panggil beliau Pak Chaq adalah abang sulung Ayah saya.
Untuk pengetahuan, makcik atau lebih mesra dipanggil Mak Bee atau Mak Chaq adalah wanita kedua yang dikahwini oleh pakcik saya selepas beliau kematian cinta hatinya yang pertama kira-kira 10 tahun lalu.
Isterinya yang pertama meninggal dunia kerana penyakit hampir serupa iaitu komplikasi hati. Saya ingat-ingat lupa tentang hari tersebut dan bagaimana pakcik berdepan dengan ujian kehilangan cinta hatinya itu.
Yang pasti, sehingga sekarang saya dan sepupu sepapat lain masih merindui makcik kami yang pertama itu yang juga mesra kami panggil Mak Chaq dek kerana ketika hayatnya kami menggemari masakan arwah terutama gulai nenas ikan masinnya yang sedap.
Kali ini, selepas mendapat khabar tentang Mak Bee, saya bergegas seorang diri ke hospital pada keesokkan hari. Biasanya, saya akan bersama-sama dengan Mak dan Ayah menziarahi saudara mara tetapi ketika itu mereka masih berada di Mekah kerana urusan haji dan umrah.
Walaupun tiba lewat kerana kesesakan jalan raya yang dipercayai berpunca daripada kemalangan, Alhamdulillah mudah sahaja saya mendapat tempat letak kereta yang paling hampir dengan lobi hospital. Waktu melawat pula hanya berbaki kira-kira 40 minit sahaja lagi.
Saya berjalan laju menuju wad. Sejurus tiba, saya lihat pakcik yang saya panggil Pak Chaq sedang duduk di tepi katil berbual dengan saudara makcik yang turut menziarahi. Wajah pakcik kelihatan tenang sahaja, tetapi siapalah kita untuk tahu keresahan hatinya melainkan Allah. Saya mendapat peluang berbual dengan beliau apabila kerusi di sebelahnya dikosongkan saudara tadi.
Beliau lalu bercerita tentang bagaimana mereka berdua sebenarnya datang ke hospital untuk menjalani rutin biasa pemeriksaan darah sama seperti bulan-bulan sebelum ini. Bagaimanapun, doktor tiba-tiba perasan yang wajah dan kulit makcik saya kelihatan kuning menyebabkan pihak hospital terpaksa menahannya untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, doktor mendapati hati makcik mempunyai ketumbuhan kecil selain keadaan buah pinggang yang kurang normal menyebabkan prosedur cuci darah atau dialisis terpaksa dilakukan. Namun begitu, makcik diserang strok pula ketika prosedur tersebut. Untuk mengelakkan makcik resah dan banyak bergerak, doktor kemudian ‘merehatkan’ beliau dengan pada masa sama merawat penyakit yang ada.
Ketika rehat inilah, muka, tangan dan badan makcik membengkak mungkin akibat rawatan dan komplikasi penyakit yang sedang dihidapi beliau. Saya lihat pakcik saya yang sudah berusia 78 tahun itu tenang saja bercerita sambil melihat jururawat menukar beg platlet darah isterinya.
Katanya, dia tidak pasti punca badan makcik semakin membengkak sejurus ‘direhatkan’ doktor. Saya pula tidak mahu memberikan pendapat atau andaian yang saya sendiri tidak pasti walaupun sebelum ini saya pernah mendengar rakan bercerita keadaan sama terjadi kepada seorang daripada ahli keluarganya selepas doktor ‘merehatkan’ saudaranya itu.
Saya lihat pakcik kemudian merenung lama keadaan makcik yang terlantar dan tidak mampu lagi berbicara itu. Perlahan-perlahan beliau mengalih pandangannya ke arah saya dan berkata, “Ini mungkin tak seteruk mana kan? Mak-mak saudara sebelah Mak Syima mungkin lebih teruk keadaan depa (mereka). Ada yang hampir kena potong kaki…ada juga yang dah kena potong kaki sebab kencing manis kan?”
Allahu. Saya sedikit tersentak mendengar kata-kata pakcik. Dalam keadaan begitu pun pakcik masih mampu bersyukur dan bersangka baik dengan memikirkan nasib serta keadaan orang lain yang pada pandangannya lebih berat penderitaan mereka.
Ya memang betul tiga ibu saudara sebelah Mak saya mengidap penyakit kencing manis yang kronik, dua daripada mereka sudah meninggal dunia manakala seorang lagi terpaksa dipotong kaki akibat komplikasi daripada penyakit tersebut.
Mungkin juga cakapnya itu untuk menyedapkan hati selepas melihatkan keadaan isterinya yang sudah tidak berdaya. Namun jika saya berada di tempatnya, butir kata seperti itu mungkin tidak mampu saya luahkan walaupun sekadar untuk menyedapkan hati. Saya mungkin perlu mencari kekuatan sebelum boleh merasakan penderitaan saya lebih ringan berbanding orang lain. Mungkin juga seseorang perlu menyedarkan saya tentang perkara itu.
Saya teringat kata-kata ini yang rupa-rupanya adalah daripada sebuah hadis riwayat Muslim dan Bukhari:
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Lihatlah kepada yang di bawah kalian dan janganlah kalian melihat yang di atas kalian, sesungguhnya hal ini akan menjadikan kalian tidak merendahkan nikmat yang Allah berikan kepada kalian.”
Satu daripada cara untuk mensyukuri nikmat dan rezeki yang Allah kurniakan meskipun kalian merasakan jumlahnya sedikit adalah dengan melihat mereka yang jauh lebih kekurangan berbanding apa yang kalian ada. Benar apa yang dikatakan Rasulullah SAW, apabila kita berusaha fokuskan pandangan kita terhadap golongan yang lebih susah berbanding kesempitan hidup yang sedang kita alami, secara tidak langsung kita menjadi orang yang lebih bersyukur.
Saya berharap Allah membuka hati kita untuk sentiasa beringat dan mengamalkan sikap serta pemikiran sebegini. Semoga suatu hari nanti kita berjaya membuatkan hati masing-masing sentiasa merasa cukup, menghargai dan bersyukur dengan apa yang diberikan-Nya walau berapa pun jumlahnya.
Dugaan yang Allah berikan kepada pakcik saya tidak terhenti di situ. Pada hari Sabtu lalu (29 September 2018), kami menerima berita makcik telah menghembuskan nafas terakhirnya selepas dipercayai mengalami komplikasi pembedahan saluran pernafasan. Maka, hilang lagi suri hidupnya buat kali yang kedua. Dengan rendah hati jua, saya mohon kalian sedekahkan doa dan bacaan al-Fatihah buat arwah.
Saya belum sempat bertanya khabar dengan pakcik namun sebelum pengebumian, saya lihat beliau nampak tenang. Boleh jadi tiada siapa yang tahu isi hatinya yang sebenar iaitu terutama selepas dua kali melalui takdir kehilangan dua isteri tersayang.
Semoga Allah mudahkan pakcik dan keluarga termasuk seluruh ahli keluarga anak-anak arwah makcik untuk tabah dan kuat menerima pemergian abadi ini. InsyaAllah saya doakan Mak Chaq atau Mak Bee ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Arwah pasti akan dirindui selalu. Terima kasih kerana sudi menjadi pengganti dan teman hidup Pak Chaq walaupun cuma seketika.~❤NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”