Skip to content
Reflect & Relax
Menu
  • REFLEKSI
  • TIPS
  • MAKAN²
  • JALAN²
  • RAWAK
  • SERVIS
Menu

Tempat Menarik Di Seoul: Haneul Park – Taman Di Atas Langit

Posted on 27/12/201920/01/2020 by Nurhasyima H.

Haneul Park. Sebuah taman di atas langit yang telah menambah kekaguman saya terhadap penduduk Seoul, Korea Selatan. Kenapa saya katakan begitu? Teruskan membaca…haha.

Haneul dalam bahasa Inggeris bermaksud Sky atau dalam bahasa Melayu, Langit. Kenapa pula ia diberi nama Haneul Park atau Sky Park atau Taman Langit?

Hal itu demikian kerana lokasinya terletak di puncak paling tinggi di World Cup Park, Seoul. Haneul Park berada di dalam daerah Sangam-dong, Mapo-gu dan merupakan satu daripada lima taman di World Cup Park.

Kebiasaannya, untuk pergi ke taman dengan landskap yang cantik, kita terus tuju ke kawasan tanah lapang yang rata namun Haneul Park bukan begitu.

Seperti biasa, pada hari ketiga berada di Seoul, saya dan teman-teman seperjalanan meneruskan kembara jalan kaki di sana. Jika ikut perancangan, kami mahu ke Haneul Park sehari sebelum pulang ke tanah air.

Pada hari Ahad tersebut, kami berkira-kira untuk membeli belah di pasar Namdaemun (Namdaemun Market); 10 minit berjalan kaki dari tempat penginapan kami di Hoehyeon-dong, Jung-gu.

Rupa-rupanya, pasar di sana tak macam di Malaysia yang buka setiap hari dari pagi sampai malam. Haha. Semua kedai dan pasar di Seoul tutup pada hari Ahad. Pada hari biasa pula, mereka tutup awal malam.

Jadi, rancangan kami bertukar. Kami pilih untuk ke Haneul Park untuk melihat apa istimewanya taman ini. Pada awalnya juga, kami hampir memilih untuk tak pergi ke sana kerana beranggapan ia mungkin taman rumput biasa-biasa saja.

Sebelum tu kami ada terbaca tentang berlangsungnya Silver Grass Festival di Haneul Park. Tapi kami masih tak jangkakan ada yang menarik di sana.

Saya berpendapat, sudah alang-alang ke Seoul, baik kita pergi sajalah. Nak tengok juga apalah yang penting sangat hinggakan rumput lalang pun ada festival sendiri.

Lepas bertukar-tukar tren, kami pun tiba di sana. Berduyun-duyun manusia dan kenderaan di sekitar kawasan Stadium World Cup Seoul. Semuanya menuju sebuah bukit yang dikatakan letaknya Haneul Park dan festival tersebut.

Mereka yang pernah ke sana mengatakan ada pilihan sama ada panjat 291 anak tangga atau naik tram berbayar untuk ke taman atas bukit ini. Dan kami dengan yakinnya berjalan laju ke taman itu.

Pada masa sama, masing-masing masih rasa pelik kenapa agaknya ramai amat manusia Korea dan pelancong di sini. Selepas kira-kira 20 minit berjalan dari stesen subway, kami tiba dekat dengan jejantas biru yang menyeberangi ke bahagian tepi bukit Haneul Park.

Dari jejantas biru itu, kami mula terpandang rantaian manusia yang tidak berhenti-henti menuruni tangga di bukit tersebut. Alamak! Super ramai ni. Mampukah kami nak naik?

Perjalanan menuju Haneul Park yang terletak berhampiran World Cup Stadium, Seoul, Korea Selatan.
Dari subway Stesen World Cup, menapaklah sehingga kalian temui simpang empat besar (kanan) dan cari jalan ke arah jejantas biru (kiri). Dari jejantas biru, boleh nampak berduyun-duyun manusia menuruni tangga bukit Haneul Park (anak panah).

Tiba di kaki bukit, semua pengunjung diarahkan naik bukit bertar di sebelah kiri. Ada juga kami terfikir di mana agaknya tram yang dikatakan dalam bacaan sebelum ini. Hmm…mungkin ini jalan ke tempat tram.

Sekali lagi, ada selautan manusia di depan mata. Lelaki, perempuan, tua, muda, kanak-kanak, boyfriend-girlfriend, suami-isteri dan anjing-anjing peliharaan semuanya ada. Wahhh apakah ini?

Kami pun menapaklah perlahan-lahan bersama-sama mereka. Menapak punya menapak tak sampai-sampai juga. Tengok ke depan, steady saja mereka berjalan, mungkin ini dah nak dekat sampai.

Dah lepas 3 selekoh berbukit yang boleh tahan tegak tak juga sampai. Aduh! Apa ni…? Nak turun tapi dah macam separuh jalan. Pada masa sama, kami tak habis-habis kagum dengan orang-orang Korea ni. Tak nampak ada yang semput pun.

Pinggir bukit Haneul Park yang menjadi tempat bermulanya pendakian kami ke taman atas langit (kiri). Beratus-ratus manusia mendaki semata-mata ingin mengunjungi Silver Grass Festival 2019 di Haneul Park (kanan).
Orang ramai berpusu-pusu menuju Silver Grass Festival 2019 di Haneul Park.

Lepas 5.5 kilometer dan 30 minit kemudian, sampai juga kami ke puncak taman langit ini. Fuh! Berpeluh juga lah. Seperti dijangka, lebih ramai manusia di atas bukit. Macam pesta. Ini festival rumput lalang dan bukan festival makanan ya!

Kiri dan kanan, semuanya sibuk bergambar dengan rumput lalang. Begitu, begini gayanya. Ramai tak terkira juga yang beratur tunggu giliran bergambar di spot menarik yang disediakan di celah-celah rumput lalang.

Paling cantik, rumput lalang jenis Pink Muhly Grass! Pertama kali lihat rumput berwarna. Warna merah jambu pula. Cantiknya, Subhanallah.

Pink Muhly Grass ni tumbuh renek dan halus-halus saja tapi bila merimbun jadi cantik kerana teksturnya yang keras dan kasar. Bila kumpul rendang begitu, lebih terserlah warnanya.

Rumput lalang merah jambu! Pink Muhly Grass. Subhanallah cantik!
Rumput lalang merah jambu! Pink Muhly Grass. Subhanallah cantik!
Di celah laluan rumput lalang perak, Silver Grass (atas, kiri).

Saya tak sangka semua jadi ‘gila’ kerana rumput lalang ni. Semua sanggup naik bukit tinggi tadi untuk ke puncak. Semua sanggup bersakit kaki menapak demi rumput ni.

Tak kisahlah sama ada mereka ini datang untuk menghayati alam semulajadi atau sekadar untuk mengambil gambar bersama rumput lalang; paling penting, semuanya beria-ia usaha untuk sampai ke ‘langit’ ini. Saya sungguh kagum!

Hmm…lepas bergambar dengan berpuluh-puluh gaya…ooopss haha. Kami pun gilakan rumput ni bila melihatnya; dah sampai, dah penat daki macam tak perlu pergi senaman sebulan, takkan mahu lepaskan peluang seumur hidup ni.

Okay, lepas dah puas berfoto dengan rumput merah jambu, kami beralih ke kawasan lebih luas yang ditanam dengan lalang jenis Silver Grass. Sekali lagi untuk posing kenangan di celah-celahnya pula. Lalang Silver Grass ni lebih tinggi daripada saya. Haha. Tumbuhan ni memang berwarna perak pada bahagian atasnya.

Rumput lalang perak. Silver Grass! Kagum dengan peminat festival ini.

Pada masa sama, di sekeliling kami, manusia masih berpusu-pusu dan ramai. Lebih dua jam kami berada di taman atas langit ini. Semasa kami turun untuk pulang ketika matahari hampir terbenam; jumlah pengunjung masih belum surut, malah ada yang baru tiba.

Sedikit info tentang Haneul Park dan Silver Grass Festival 2019. Menurut laman web Seoul Metropolitan Government (SMG), festival kali ke 18 ini berlangsung dari 18 Oktober hingga 24 Oktober 2019.

Kebiasaannya, Haneul Park dibuka sehingga pukul 6 petang sahaja namun sempena acara itu, taman berkenaan dibuka sehingga pukul 10 malam. Kemasukkan adalah percuma. Jadi, jangan silap faham ya, taman ini tetap dibuka walaupun festival sudah berakhir.

Oleh sebab bulan Oktober ialah waktu rumput Silver Grass tumbuh paling cantik dan mekar, maka festival berkenaan dianjurkan dalam tempoh tersebut. Ketika ini turut menandakan musim luruh di Seoul sudah pun bermula.

Jika kalian berkunjung ke Haneul Park di luar waktu festival berlangsung atau bukan dalam awal atau pertengahan musim luruh; rumput lalang ini mungkin sudah tidak begitu mekar atau belum mekar sepenuhnya. Jadi, rancanglah kembara kalian ke taman ini mengikut waktu yang sesuai.

Menurut laman web SMG lagi, taman di atas langit tersebut sebelum ini merupakan tapak pembuangan sampah. Ia kemudian diubah suai menjadi landskap taman tumbuhan tersebut pada tahun 2002. Tujuannya adalah untuk memulihara, membaiki semula dan menjaga ekosistem alam sekitar di kawasan tersebut.

Begitu sekali cara mereka menjaga dan menghargai alam. Festival rumput lalang pun boleh dapat sambutan! Masih banyak perkara yang perlu dipelajari rakyat Malaysia dengan negara maju seperti ini.

Perkara pertama yang perlu rakyat Malaysia belajar ialah jangan sesuka hati membuang sampah di merata-rata tempat. Di Seoul, hampir tiada langsung disediakan tong sampah di tempat awam, namun persekitarannya tetap bersih.

Jika kesedaran untuk tidak buang sampah merata-rata ini boleh dipupuk, saya pasti penyelesaian isu-isu alam sekitar dan projek mengindahkan kawasan mudah mendapat sokongan padu rakyat. #donebebel

Cara Ke Haneul Park, Seoul, Korea Selatan

Seperti biasa, kalau kalian makan angin tanpa pakej pelancongan dan ingin jimat duit, boleh naik subway ke sana.

Pergi stesen terdekat dengan kalian, kemudian cari di peta subway untuk laluan menuju subway line 6 (line berwarna coklat) yang akan membawa kalian ke Stesen World Cup Stadium.

Berhenti di Stesen World Cup Stadium dan keluar di Exit 1. Kemudian, jalan kaki kira-kira 15 minit ke arah simpang empat berlampu isyarat berhampiran stadium.

Di sini ada dua pilihan. Jika kalian nak daki bukit atau tangga, di simpang ini, lintas jalan untuk ke kiri (posisi stadium di sebelah kanan). Terus berjalan hingga nampak jejantas biru (seperti gambar beranak panah di atas). Naik dan seberangi jejantas ini hingga pinggir bukit Haneul Park. Ini laluan yang kami ikuti untuk sampai di kawasan itu.

Pilihan kedua ialah menaiki tram berbayar. Kalau ikut perkongsian pengunjung lain yang pernah ke sana, ketika sampai di simpang empat lampu isyarat tadi (posisi stadium di sebelah kanan), kalian jalan terus dan lintas jalan hingga nampak tempat menaiki tram berbayar.

Saya rasa semasa kami ke Haneul Park, mereka susun supaya pengunjung daki bukit atau naik tram sahaja ke atas, mungkin bagi mengelakkan kesesakkan di tangga sepanjang festival tersebut berlangsung. Masa tu, tangga hanya untuk mereka yang hendak turun ke bawah.

Ketika menuruni tangga untuk pulang, kami turut nikmati pemandangan indah pokok-pokok yang sudah bertukar warna kerana perubahan cuaca ke musim luruh selain panorama Jambatan Seongsan (Seongsan Bridge) dan Stadium World Cup Seoul.

Pemandangan pepohon daun merah musim luruh dan Stadium World Cup, Seoul
ketika menuruni tangga Haneul Park (kanan).
Jambatan Seongsan (Seongsan Bridge) jadi latar kepada muka saya yang berkerut
melihat gambar yang tak jadi. Haha! (kiri)
Orang ramai masih berduyun-duyun tiba di Haneul Park
walaupun matahari sudah hampir terbenam.

Teman seperjalanan juga sempat bertanya, menyesal tak naik ke atas tadi? Saya jawab, nak kata menyesal, tak juga sebab ia pengalaman dan pemandangan yang unik walaupun kaki macam nak tercabut. Haha.

Ia sememangnya pendakian yang tidak mungkin dilupakan. Dapat melihat bagaimana ramainya manusia yang gigih mendaki semata-mata untuk bergambar dengan rumput; pada masa sama menghargai alam sekitar ciptaan Tuhan. MasyaAllah Subhanallah!

Jika berminat, datanglah menyaksikan keindahan ciptaan yang Maha Esa ini. Walaupun hanya tempat untuk menghayati pemandangan rumput lalang tapi banyak perkara yang boleh disingkap di sini.

Definitely a climb to remember! ❤️

Entri kali ini mungkin panjang berjela. Haha. Tahniah kepada yang membaca sampai habis ya. Ia ibarat mendaki bukit Haneul Park bersama saya dan kawan-kawan. Berpeluh dan terasa penat tak? Haha. Cuba kalian komen sikit di bawah.

Jika ada yang membaca, jumpa lagi dalam entri akan datang! Ada lagi tempat yang saya ingin kongsi. InsyaAllah.~❤️NH

Nurhasyima H.
Nurhasyima H.

Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”

Kongsikan Di:

  • Click to share on Facebook (Opens in new window) Facebook
  • Click to share on X (Opens in new window) X
  • Click to share on WhatsApp (Opens in new window) WhatsApp
  • Click to share on LinkedIn (Opens in new window) LinkedIn

Like this:

Like Loading...

Related

Hai! Sila Tinggalkan Komen Anda Di Sini :Cancel reply

TRANSLATE THIS BLOG

SALAM KENAL

Nurhasyima H.

Nurhasyima H.

Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Eks-jurnalis. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.” Right now, positivity and joy are my priorities. ❤🎈 _ Untuk sebarang pertanyaan, usahasama, ulasan produk, cadangan atau cerita yang ingin dikongsi boleh e-mel di hello.reflectandrelax@gmail.com.

View Full Profile →

PETI SURAT

hello.reflectandrelax@gmail.com
Untuk sebarang pertanyaan, usahasama, ulasan produk, cadangan atau cerita yang ingin dikongsi. 🙂

Titipan Terbaru

  • Resepi & Cara Masak Gulai Ikan Masin Tumis Darat
  • 7 Jenis Kesalahan Yang Dimaafkan Allah
  • Cara Mudah Untuk Teruskan Amalan Selepas Ramadhan (Ramadhan Activity Checklist)

TITIPAN HOT

  • 51 Kelebihan Selawat Untuk Nabi Muhammad SAW
    51 Kelebihan Selawat Untuk Nabi Muhammad SAW
  • Lokasi Pusat Pengumpulan & Pelupusan Al-Quran
    Lokasi Pusat Pengumpulan & Pelupusan Al-Quran
  • 3 Cara Untuk Menjadi Rajin
    3 Cara Untuk Menjadi Rajin
  • Resepi dan Cara Masak Sayur Labu Siam Goreng
    Resepi dan Cara Masak Sayur Labu Siam Goreng
  • Sedihnya Apabila RM70 Bilion Harta Pusaka Orang Islam Belum Dituntut Waris
    Sedihnya Apabila RM70 Bilion Harta Pusaka Orang Islam Belum Dituntut Waris

TITIPAN LALU

KATEGORI

  • JALAN² (7)
  • MAKAN² (17)
  • RAWAK (2)
  • REFLEKSI (5)
  • SERVIS (1)
  • TIPS (11)

Tags

#Allah #alquran #bertam #checklist #halal #hatyai #inspirasi #islam #jalanjalan #jjcm #jurnalseoulsisters #karipap #kedah #kembaramusimluruh #kepalabatas #koreaselatan #kuih #pulaupinang #makanmakan #muhammadsaw #puasa #ramadan #ramadhan #rawak #refleksi #resepi #seafood #seoul #tempatmakan #tempatmenarik #thailand #tok australia ibadah inspirasi membawang poskad r&r reflect sedekah solat surau sydney syukur timbangrasa tips

NAK CARI APA TU?

JEJAK

  • 72,546 hits

PENAFIAN

Isi kandungan dalam weblog Reflect & Relax ini hanya penulisan santai berdasarkan pengalaman & pendapat peribadi penulis.

Penulis tidak akan bertanggungjawab ke atas kesan & akibat yang berlaku ke atas pembaca yang menggunakan mana-mana maklumat & perkongsian yang diambil daripada weblog ini.

Sebarang maklumat yang diambil daripada weblog ini untuk tujuan penerbitan rasmi dalam mana-mana medium perlu dimaklumkan kepada penulis terlebih dahulu dan/atau mesti diletakkan kredit serta pautan asal weblog ini.

Terima kasih.

Reflect&Relax

  • X
©2025 Reflect & Relax | Design by Superb
 

Loading Comments...
 

    %d