Percutian selama 6 hari di Seoul, Korea Selatan pada bulan lalu, telah membawa saya ke beberapa tempat yang ‘mengagumkan’ dan sukar dilupakan. Bagi sayalah. Haha.
Antara tempat menarik di Seoul yang masih lekat di ingatan adalah kunjungan ke bangunan mega moden, Dongdaemun Design Plaza (DDP) di kawasan Jung-gu, Dongdaemun.
Rekabentuk bangunan DDP ini membuatkan saya terpegun lama tatkala melihatnya. Saya masih ingat, ketika keluar saja dari pintu Stesen Dongdaemun History & Culture Park di sebelahnya, saya tercengang.
Wah! Besarnya bangunan ni! Seolah-olah memayungi kami yang berada di salah satu datarannya di situ. Saya perhati sekeliling. Luas datarannya. Ada tangga-tangga berlampu di hujung sana untuk naik ke atas.
Kebetulan pula, saya dan kawan-kawan ke sana pada waktu malam. Jadi, seri cahaya berwarna-warni yang bertukar-tukar dari dalam rongga-rongga bumbungnya menyebabkan bangunan besi ini tampak lebih unik bagai berada di angkasa lepas.
Malam itu, ramai juga yang melepak di kawasan tersebut. Dari luar cermin bangunan, saya nampak sebuah acara fesyen seperti baru sahaja tamat dan beberapa krew sedang mengemas tempat.
Beberapa anak muda dengan fesyen pakaian dan solekan luar dari kebiasaan berlegar-legar di dataran ini. Saya pula masih teruja dan kami tak habis-habis bergambar dengan gaya begitu dan begini.
Masa ni saya belum pasti bentuk keseluruhan bangunan Dongdaemun Design Plaza ini seperti apa. Dari tempat saya berdiri ketika itu, ia seolah-olah piring terbang. Ia sebuah bangunan super agam dengan rekabentuk futuristik!
Bila naik ke atas, bangunan ini lebih besar daripada yang disangkakan dan bentuknya pula melengkung-lengkung. Kagumnya saya!
Sebelum ke sini, saya tak buat bacaan awal pun. Cuma terlihat gambar waktu malam sisi binaan ini di internet dan terus berminat untuk melihat lebih dekat.
Dalam gambar tersebut, saya teruja dengan cahaya bangunan ini selain ada taman bunga berlampu elektronik di kawasan ini. Seperkara tentang saya ialah saya gemarkan cahaya dan lampu. Jadi, DDP pada waktu malam memang cocoklah dengan saya. Hehe.
Cuma kami tak habis pusing bangunan besar ini kerana kaki sudah letih dan perut pun lapar. Haha. Banyak yang kami terlepas rupanya. Di dalam dan keliling binaan ini ada Taman Budaya dan Sejarah Dongdaemun (Dongdaemun History and Culture Park) yang endah alam sekitar (eco-friendly).
Taman ini menempatkan beberapa tarikan seperi Gallery MUN, Yigansumun Exhibition Hall, Dongdaemun History Museum 1398, Dongdaemun Stadium Memorial, Seoul Fortress Hall (Yigansu Gate), Garden Yigansu Gate.
Sebenarnya, tapak asal bangunan DDP ini adalah lokasi Stadium Dongdaemun yang dibina pada 1925 semasa pendudukan Jepun di Korea. Bagaimanapun, lama-kelamaan stadium tersebut semakin hilang fungsinya, terutama selepas Sukan Olimpik Seoul 1988.
Pada masa sama, kawasan di sekeliling stadium pula pesat membangun menjadi hub fesyen, lalu menyebabkan pihak berkuasa Seoul membuat keputusan untuk merobohkan stadium dan binaan kubu lama di sekitarnya.
Kini, bangunan DDP yang gah ini menggantikan stadium lama tersebut. Arkitektur DDP atau Dongdaemun Design Plaza ini adalah hasil rekaan arkitek, Zaha Hadid dan Samoo.
Ia bangunan paling ikonik di Korea Selatan dan pernah menjadi bangunan paling kerap ditag di Instagram pada 2015 selain disenaraikan oleh akhbar New York Times sebagai antara 52 tempat menarik perlu dilawati pada tahun tersebut.
DDP menjadi lokasi utama bagi penganjuran acara berkaitan rekaan seni dan persembahan fesyen. Kami sempat juga berjalan sedikit di keliling bangunan ini, ada beberapa arca seni yang menarik termasuk arca perkataan ‘I Seoul U’.
Ada juga muzium rekabentuk, beberapa dewan besar seni dan dewan persidangan antarabangsa, taman di atas bumbung, gerai niaga dengan rekaan futuristik dan bahagian-bahagian kubu lama yang dipulihara.
Kalian boleh buat carian gambar bangunan DDP ini di Google atau klik saja di sini untuk dapat gambaran.
Jika kalian sejenis yang sukakan binaan bangunan yang luarbiasa, bolehlah ke Dongdaemun Design Plaza. Lihat sendiri pesona seni bina alaf moden ini.
Nak rasai suasana malam DDP yang serba futuristik, datanglah pada waktu malam. Waktu siang mungkin auranya lain sikit, tempatnya lebih cerah dan gambar pun nampak terang. Haaaa…terpulang kepada kalian.
Cara Ke Dongdaemun Design Plaza (DDP), Seoul, Korea Selatan
Cara ke sana mudah saja. Naik subway dari mana-mana stesen dan cari line paling singkat ke Stesen Dongdaemun History & Culture Park. Turun di stesen ini dan tuju ke Exit 1. Jalan kaki kira-kira 3 hingga 5 minit untuk ke DDP.
Dekat saja dengan stesen subway! Tak susah pun.
Jika kalian berkesempatan, jalan-jalanlah di sekitar bangunan mega ini dan cari lokasi menarik yang saya sebutkan di atas. Saya pasti banyak ceruk dan sudut menarik untuk bergambar, bagi mereka yang suka menangkap gambarlah. Haha.
Yang pasti andai diberi kesempatan mengulang ke Seoul, saya akan datang semula ke sini untuk menghabiskan kunjungan yang terlepas. Keterujaan saya terhadap senibina Dongdaemun Design Plaza ini masih berbekas.
Selesai bergambar sedikit sebanyak, kami pun mencari jalan pulang. Sebenarnya bukan sedikit, tapi banyak juga kenangan yang dirakamkan di sini, terutama di dataran bawah tempat kami selamba duduk buat hal sendiri. Haha. Suka benar saya dengan pencahayaan bangunan ini!
Sebelum balik, kami sempat juga menapak mencari bangunan menempatkan Dongdaemun Market yang terkenal dengan kedai-kedai menjual pakaian dan cenderamata.
Bagaimanapun, orang Korea ni tak berniaga sampai malam macam kita di Malaysia. Semua kedai sudah pun tutup sebaik kami sampai. Tiadalah rezeki nak cuci mata. Huhu.
Begitulah kami berjalan sampai ke malam. Bukan selalu dapat ke negara orang. Jadi, kami jalan sehabis-habisnya. Kaki pun dah macam nak tercabut! Haha.
Itu cerita malam. Tempat menarik yang kami lawati pada siangnya saya masih belum kongsi. InsyaAllah, entri akan datang bakal menyusul. Jumpa lagi!~❤️NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”