Baru-baru ini saya merungut apabila telekung yang sepatutnya dibawa ke kedai tempat saya berniaga tertinggal di rumah; walhal pada masa itu Allah sebenarnya sedang mengatur satu peluang baik yang tidak saya jangkakan.
Salah saya juga kerana tergesa-gesa keluar dari rumah selepas selesai menyiapkan masakan tengah hari untuk bekal makan di kedai. Biasanya, solat Zohor akan saya lakukan dahulu di rumah jika lewat ke kedai; namun pada hari itu saya ambil keputusan untuk menunaikannya di kedai sahaja. Saya kasihan dengan teman niaga saya yang sudah keluar lebih awal. Rasa seperti tidak adil pula dia menjaga kedai lebih lama berbanding saya.
Sebaik menutup pintu kereta, saya terus teringat telekung yang tertinggal dan mula mengomel-ngomel sendirian. Saya tinggalkan bekal di atas meja yang terletak di suatu sudut kecil di kedai kami, dan cepat-cepat memaklumkan teman yang saya mahu pulang ke rumah semula bagi mengambil mukena (sama erti: telekung) yang tertinggal.
Ketika mahu keluar dari pintu pagar rumah, seorang lelaki berbangsa Cina datang mendekati. Saya amati wajahnya. Keringat mencurah-curah pada wajahnya sambil mukanya berkerut menahan panas terik matahari walaupun dia memakai topi. Dia hulurkan beberapa helai kertas iklan barangan pasar raya kepada saya. Saya ambil apa yang diberi.
Tiba-tiba dia bersuara. Muka saya pula berkerut. Saya gagal fahami apa yang cuba disampaikannya. Butir katanya tidak jelas pada pendengaran saya kerana bunyinya yang sengau teruk. Selepas beberapa kali dia mengulang kata, rupanya dia bertanya ke mana saya mahu pergi. Saya balas dengan mengatakan saya mahu pergi kerja. Dia tanya lagi, kerja di mana. Saya jawab, dekat-dekat sini sahaja.
Dia kemudian bertanya sama ada saya ada duit atau tidak kerana dia kelaparan dan mahu beli makan tengah hari. Saya terkedu sebentar dengan soalan itu sambil mengingat-ingat jumlah duit yang saya ada di dalam dompet. Alamak, ada duitnya tapi tidak cukup untuk belanja makanan untuk lelaki ini. Dengan berat hati saya terpaksa mengaku yang saya tidak berduit ketika itu.
Kasihan melihat riak wajah lelaki itu yang kepenatan; saya cepat-cepat pandu ke kedai dan berlari masuk meminta sedikit duit berniaga yang ada dari teman saya dan menceritakan serba sedikit tentang lelaki itu kepadanya. Teman saya segera hulurkan sejumlah wang.
Sekali lagi saya bergegas memandu pulang ke kawasan perumahan sambil berharap lelaki tersebut masih berada di situ. Dari jauh saya sudah nampak kelibatnya meletakkan helaian kertas iklan di dalam peti surat rumah jiran. Saya turunkan tingkap dan hulurkan air mineral dingin yang sempat saya belikan untuknya bersama sekeping duit kertas.
Dia tersenyum lebar. Berkali-kali dia mengucapkan terima kasih sambil berjanji membayar semula keesokan hari dalam nada suaranya yang sengau teruk itu. Bagaimanapun, saya katakan padanya, anggap saja ia hadiah. Dia tersengih-sengih sambil bertanya soalan sama yang ditanya sebelum ini.
Bagi mengelak pertanyaan lanjut darinya, saya pula yang menyoal dia. Dari mana dia datang; katanya, dari Bagan Luar (berulangkali dia menyebut nama tempat ini namun saya tidak dapat menangkap apa dikatakannya hingga saya jadi bimbang jika dia malu dengan kekurangannya itu). Dia bersungguh mahu memahamkan saya dan cuba pula menyebut ‘Butterworth’ dan kali ini saya faham sebelum saya cuba kaitkan dengan tempat yang dia sebutkan tadi. Dia mengangguk-angguk tanda mengiyakan.
Dalam perjalanan sehinggalah saya masuk ke kedai, saya cuba renung semula kejadian yang berlaku. Saya merungut dengan ujian kecil yang Allah berikan (telekung tertinggal di rumah, rumah pun sebenarnya sekangkang kera sahaja dari kedai); sedangkan sebenarnya Allah sengaja menimpakan ujian itu supaya saya berpeluang untuk bertemu dan membantu lelaki tersebut.
Teringat kata-kata yang Allah sebutkan di dalam Al-Quran menerusi Surah Al-Baqarah, ayat 216:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu; dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
Jika mahu diukur, beban ujian lelaki itu jauh lebih besar berbanding saya. Saya sudah ada makanan yang tersedia untuk makan tengah hari sedangkan dia terpaksa menebalkan mukanya memohon pertolongan kerana tidak membawa duit belanja. Kerja saya kebanyakkan masa di tempat yang teduh manakala lelaki itu mencari rezeki di tengah panas terik.
Paling terkesan ialah keadaan suaranya yang sengau teruk. Payah juga jika ditakdirkan begitu ya. Terus sahaja saya terfikir yang selama ini saya kurang bersyukur dengan anugerah suara yang normal dari Allah. Lidah dan suara ini seringkali disalahguna. Bercakap perihal orang, membawang, bergosip, mengungkap kata-kata tidak berfaedah, maki hamun, melawan kata emak dan ayah, marah-marah, kurang berzikir dan banyak lagi.
Astaghfirullahhh. Sedihnya bila saya fikir-fikirkan tentang diri sendiri…~❤️NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”