Lebih sebulan tak update blog. Huhuhu. Ada atau tak pembacanya, saya pun tak pasti. Haha. Bagi saya, ada atau tak, yang penting kongsi saja.
Penulisan ini terapi buat saya. Ia juga seperti menambat ilmu atau apa yang saya dapat dengan merakamkannya melalui penulisan.
Manalah tahu kan, mungkin ada perkongsian yang boleh beri manfaat. InsyaAllah. Sebelum celoteh melalut, apa kata jom kita mula cerita. Hehe.
Pertengahan bulan Oktober lepas, saya dan tiga rakan diizinkanNya mengunjungi Seoul, Korea Selatan walaupun dalam keadaan saya menghadapi kekangan kewangan.
Pada masa sama, kami juga ada terbaca berbagai-bagai cerita kurang enak tentang pengunjung lain yang diarah pulang oleh pihak imigresen sebaik tiba di Korea Selatan berikutan berlakunya kes-kes warga asing bekerja tanpa izin di sana.
Justeru, pelbagai persediaan berkaitan telah kami lakukan bagi mengurangkan kebarangkalian berlaku perkara yang tidak diingini. Selepas melalui debaran pemeriksaan rutin pihak imigresen di Seoul, alhamdulillah urusan kami dipermudahkan. Kami berada di sana selama 6 hari.
Kami beli tiket penerbangan pada November tahun lepas! Jujurnya, Korea Selatan bukan antara negara idaman yang ingin saya lawati, tapi disebabkan saya cuma mahu lihat apa yang digila-gilakan sangat orang dengan Korea, saya pun bersetuju dengan ajakan kawan ke sana. Haha.
Walaupun tiket dah beli lebih awal, tapi saya buat tak kisah sangat tentang lawatan ini. Dua tiga bulan sebelum tarikh penerbangan, kawan yang mengajak mula berkongsi tentang musim luruh di Seoul.
Oh okay, kami pergi waktu musim luruh rupanya. Menarik juga ni. Saya belum pernah rasai pengalaman melihat dedaun berwarna-warni – oren, kuning, merah.
Bagaimanapun, saya ada maklumkan kepada rakan supaya masukkan ziarah ke Masjid Sentral Seoul (Seoul Central Mosque) di Itaewon dalam itinerari.
Jadi, rancangan kami ialah setibanya di Seoul, masjid yang lebih dikenali sebagai Masjid Seoul atau Masjid Itaewon tersebut akan kami ziarahi terlebih dulu selepas letak beg di guest house yang telah ditempah dekat kawasan Jongno-gu.
Mulanya kami rancang untuk pergi ke sana ketika solat Jumaat, tetapi urusan penerbangan yang lambat menyebabkan kami terpaksa lupakan hasrat tersebut.
Penerbangan selama 6 jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon (IIA) tiba kira-kira jam 7 pagi. Penerbangan ni delayed 1 jam setengah dari jadual berlepas yang asal. Tak apalah, asalkan selamat tiba. Alhamdulillah.
Bila tiba di guest house, staf benarkan kami terus check-in ke bilik. Alhamdulillah dipermudahkan. Lepas segarkan diri, kami pun bergerak keluar semula. Sudah pasti destinasi kami ialah Masjid Sentral Seoul!
Cara Ke Masjid Sentral Seoul (Seoul Central Mosque) (Stesen Anguk – Stesen Itaewon)
Jika kalian menginap di kawasan bandar Jongno-gu seperti kami, cara ke Masjid Itaewon atau Masjid Sentral Seoul dengan menaiki subway mudah saja.
Cari stesen subway terdekat atau untuk lebih tepat semak peta laluan subway terdekat yang akan membawa kalian ke stesen paling hampir dengan destinasi.
Kemudian, pilih laluan yang memberikan kalian jarak dan masa perjalanan yang lebih pendek (ambilkira juga jumlah tren yang perlu ditukar sepanjang perjalanan, jika ada laluan yang begitu).
Jika kalian jenis yang sukakan cabaran, semak secara manual laluan subway menggunakan peta kertas yang boleh diperoleh di tempat penginapan atau kaunter informasi untuk pelancong.
Tapi kalau kalian nak cepat, boleh saja download apps subway yang khusus atau search di Google Map atau laman web seperti https://www.rome2rio.com/. Aplikasi dan laman web ini akan terus senaraikan pilihan laluan yang terbaik untuk ke destinasi kalian.
Okay, misalnya, dari guest house kami, ada 2 stesen terdekat – Stesen Anguk dan Stesen Gwanghwamun. Kedua-dua stesen ini memberikan jarak, waktu dan jumlah pertukaran tren yang hampir serupa.
Kami pilih untuk ke Stesen Anguk. Dari tempat penginapan, kami berjalan kaki kira-kira 10 minit menuju Stesen Anguk.
Dari Stesen Anguk, kami naik subway line 3 (jika tengok peta subway, line ini berwarna Oren) menuju Stesen Yaksu. Dari Stesen Yaksu, kami tukar tren, naik subway di line 6 (warna Coklat) untuk berhenti di Stesen Itaewon.
Stesen Itaewon ialah stesen terdekat dengan kawasan yang kami ingin tuju. Dari situ, bermulalah episod jalan kaki beribu-ribu langkah kami. Orang kata, kalau tak pergi travel ke luar negara, maka tak berjalanlah kaki tu. Haha.
Apa pun, jika makan angin di Seoul tanpa ikut pakej agensi pelancongan, kalian perlu tahu serba sedikit cara baca peta dan naiki keretapi subway di sana. Selain mesti rajin jalan kaki. Haha.
Mujur kawan-kawan handal membaca peta laluan subway. Haha. Saya pun belajar sikit-sikit daripada mereka. Tapi sesat dan tersalah naik tren tu biasalah. Ada juga berlaku masa di sana.
Oh ya sepanjang berada di Seoul, kami gunakan kad T-Money yang fungsinya seakan Touch ‘n Go di Malaysia untuk keperluan perjalanan di sana.
Kad T-Money ni kami khaskan untuk belanja pengangkutan sahaja (subway, bas & teksi). Kad ni boleh juga guna untuk bayar barang yang dibeli di kedai serbaneka 24 jam di Seoul.
Kad ini kami top up 30,000 won siap-siap di lapangan terbang IIA sebaik saja mendarat. 30,000 won ni Alhamdulillah cukup untuk 6 hari di sana.
Kat mana nak dapatkan kad T-Money? Kad T-Money boleh dibeli di kaunter jualan di lapangan terbang mereka sebaik saja kalian mendarat.
Tapi kami dapat kad ni secara percuma di Malaysia menerusi pendaftaran di www.visitkorea.com.my. Top-up wang dalam kad ni dibuat di lapangan terbang IIA, Seoul.
Okay kembali kepada perjalanan ke masjid, dari Stesen Itaewon, kami terus menapak ke sana. Selepas menempuh jarak yang jauh, jalan kaki lebih 6,000 langkah, naik tangga turun tangga, naik bukit turun bukit.
Kemudian terjumpa semula dengan aunty Sha di salah satu kedai makanan halal di Itaewon. #tetiber. Aunty Sha ni kenalan teman seperjalanan saya yang beliau baru kenal di KLIA, tapi bila bersembang macam dah lama kenal. Haha.
Selesai kemaskini cerita, kami teruskan langkah dan akhirnya, sampailah kami di Masjid Sentral Seoul di Itaewon seperti mana yang dirancang! Alhamdulillah Subhanallah. Penat berjalan beribu-ribu langkah berbaloi sebaik tiba di sini.
Kami sempat dengar alunan azan Asar dan bersolat di masjid yang menjadi tumpuan umat Islam tempatan serta luar negara ini.
Tempat ambil wuduk wanita terletak di tepi kiri masjid manakala ruang solat wanita berada di tingkat atas. Maaf, saya tak ambil gambar bahagian-bahagian ini sebab segan nak ganggu privasi mereka yang berada di ruang tersebut.
Bagaimanapun, pada pendapat saya, wanita berusia, lagi-lagi yang ada masalah sakit lutut, mungkin agak sukar untuk naik ke atas. Tangga naik ke atas untuk ke ruangan solat wanita boleh dikatakan macam naik tangga ke tingkat empat. Mengah juga saya dibuatnya – mungkin sebab tak fit. Haha.
Tapi kasihan juga kalau ada ibu-ibu atau makcik-makcik yang berusia gigih naik ke atas. Untuk golongan ini, mungkin boleh minta kebenaran untuk bersolat di bawah atau di koridor yang masih dalam ruang masjid.
Tapi kalau rasa kaki kuat, boleh saja terus naik tangga ke ruang solat wanita di atas. Bismillahi tawakkaltu ‘alallah.
Masjid yang dibina pada 1976 ini letaknya dekat atas sebuah bukit di Hannam Dong, daerah Yongsan. Bagi saya, masjid ini lebih cantik bila tengok depan-depan berbanding dalam gambar.
Dengan latar langit biru dan gugusan awan serta kedudukannya yang di atas bukit membuatkan ia nampak istimewa di mata sayalah. Hehe.
Dari atas bukit ni, kalian boleh nikmati pemandangan kawasan sekitar masjid. Ada beberapa bangku rehat disediakan di bawah pokok di sini. Tenang sekali bila sesekali angin bayu menyentuh wajah.
Di Korea Selatan, hanya terdapat lebih kurang 100,000 penduduk beragama Islam termasuk orang asing yang menetap di sana.
Masjid juga tak banyak di negara ini. Di Seoul, ini satu-satunya masjid yang ada. Selepas Masjid Sentral Seoul ini dibina, tujuh lagi masjid dibina di beberapa lokasi di negara itu.
Jumlah penganut agama Islam juga semakin meningkat daripada kira-kira 3,000 kepada 15,000 orang dan bilangan itu kini bertambah hingga menjadi ratusan ribu orang.
Rakyatnya yang Muslim sukar nak praktikkan ajaran Islam dek kerana persepsi negatif tentang agama ini selain kurangnya kemudahan seperti masjid, surau & kedai makanan halal.
Jadi, masjid ini juga simbol jerih payah pendakwah menyebarkan Islam di negara yang amat kurang rakyatnya terbuka kepada agama Allah yang satu.
Seiring fungsinya sebagai hub untuk aktiviti dan penyebaran Islam yang utama di Korea Selatan, kawasan sekitar masjid ini juga berkembang dengan pembukaan banyak kedai-kedai runcit, restoran serta kedai makanan halal.
Bagaimanapun, lebih banyak masjid atau surau diharapkan dapat dibina di sana kerana ramai juga orang Muslim kita yang gemar melancong ke sana.
Oleh itu, jika ada kesempatan ziarahlah Masjid Sentral Seoul dan doakan semoga orang Muslim di Korea Selatan lebih dipermudahkan untuk mengamalkan ajaran serta gaya hidup Islam.
Doa kala musafir insyaAllah adalah antara doa yang mustajab. Sedih juga bila terpaksa tinggalkan masjid ini kerana bukan senang nak sampai ke sini.
Pada masa sama, saya masih rasa kagum dan bangga apabila ada juga tanda bahawa Islam disebarkan hingga ke sini – negara yang rakyatnya masih agak sukar nak terima Islam.
Hmm…dalam keadaan penat baru sampai, apa yang dapat disimpulkan pada hari pertama di Seoul ini ialah walau kaki letih menapak, paling penting, tak ada sampai berpeluh teruk pun macam di Malaysia. Cuaca dingin macam duk dalam bilik beraircond! Syukurlah. Huhu.
Hal ini beri harapan positif kepada saya untuk meneruskan kembara jalan kaki beribu-ribu langkah saya dan rakan-rakan di Korea Selatan selepas ini. Kadang-kadang tak berpeluh tu satu nikmat juga. Haha.
Apa pun, Korea Selatan bukanlah negara dalam wishlist saya; sungguh saya tak sangka saya boleh sampai ke sini. Bi idznillah!
Ada beberapa tempat menarik lagi di Seoul yang ingin saya kongsikan. Siapa nak tunggu entri seterusnya, angkat tangan! Haha.~❤️NH
Kredit gambar: Siti Shahrosamirah, Yusmawati & Suzana.
.
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”