Permulaan tahun atau dekad baru kali ni agak suram bagi saya. Tok yang saya kasihi telah tiada. Rupa-rupanya telah pun gugur sehelai daun di ‘Arasy Allah yang tertulis nama Tok di atasnya. Innalillahi wainna ilaihirojiunn.
Tarikh 2 Januari 2020 adalah hari terakhir beliau di dunia yang sementara ini. Saat ini, saya masih lagi rasa sedih dengan kehilangannya. Macam tak percaya dia sudah tiada. Kesedihan lebih bertambah ketika hujung minggu.
Hampir setiap Sabtu dan Ahad, Ayah, Mak dan saya (serta adik-beradik, jika mereka pulang) akan menziarahi beliau di rumah adik Ayah di Kedah. Adakalanya, beliau akan tinggal dengan kami.
Sejak Tok pergi juga, sudah dua hujung minggu saya tahan mulut daripada mengajak Ayah menziarahi Tok. Sukarnya kerana ia sudah jadi rutin biasa kami sejak bertahun-tahun kebelakangan ini. Terasa seperti beliau masih ada.
Saya pernah bercerita sedikit kisah tentang nenek saya ini dalam entri pada bulan Mac 2019 lalu. Beberapa bulan sebelum minggu-minggu akhir Disember 2019, beliau sihat seperti selalu.
Beliau masih ramah dan bertanyakan soalan serta bercakap apa yang terlintas di kepalanya seperti biasa. Masih juga berjalan sendiri ke bilik air, mandi dan melakukan beberapa perkara sendiri. Kadang-kadang bila beliau benar-benar tak berdaya, kami akan pimpin tangannya.
Saya selalu bergurau dengan sahabat saya yang sempat berjumpa dengannya, yang nenek saya ini akan hidup 100 tahun lagi. Jika diperhatikan, saya nampak dia seorang wanita yang kuat sejak dari zaman mudanya hingga hari-hari terakhirnya. Namun, kudratnya tidak lagi seiring dengan kekuatan jiwanya.
Beliau tiba-tiba jatuh dalam bilik air di rumahnya. Tulang pinggul kirinya patah sedikit. Pada mulanya saya ingat patah sebab terjatuh tetapi sepupu saya berpendapat lain, tulangnya mungkin sudah sedia rapuh lalu patah kerana usianya, menyebabkan dia terjatuh.
Sejak itu, tiada lagi suaranya bercerita dan bertanyakan perihal anak cucunya. Beliau hanya terbaring dan rehat menutup mata, sesekali bercakap sendirian, selebihnya tidur sehinggalah hari pemergiannya.
Gambar di atas ialah ketika sehari sebelum beliau pergi buat selamanya. Beliau meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan kerana dah beberapa hari sebelum tu beliau tak buka mata. Sedar, masih makan apabila disuap tetapi keadaannya terlalu lemah.
Ketika ini, matanya tertutup erat, namun masih juga ada respon ketika saya genggam tangannya. Dia bergerak sedikit ketika saya beritahu mahu pulang dan ketika saya cium tangan tuanya.
Walau saya hanya cucu, banyak juga kenangan manis bersamanya. Andai ada yang pahit sudah terlalu lama saya lupakan dan biarkan saja. Tiada guna untuk diingatkan kembali.
Hidup ini pendek saja dan hidup ini juga penuh pilihan. Pilih saja yang manis-manis untuk dikenang dan berbakti sementara ada.
Justeru, saya hanya benar-benar ingat apa yang buatkan saya tersenyum bila ada kesempatan masa bersama dengannya.
Masakannya–gulai ikan termenung bersama sambal belacannya yang sedap, ais krim Malaysia yang kami ambil dari peti sejuknya sesuka hati sedangkan itu dia buat untuk jualan kepada kanak-kanak di kampungnya; pulut panggang, nasi lemak, roti canai dan ketupat palasnya yang enak!
Momen tidur bergelimpangan bersama sepupu sepapat dan makcik pakcik di rumahnya ketika cuti hari raya; bantu beliau hantar kuih raya yang dia susun cantik dalam bekas ke rumah jiran pada pagi hari raya; dan sama-sama ke masjid di pagi raya.
Itu semua kisah zaman muda-muda dahulu. Haha.
Bila makin menua, pertanyaan-pertanyaan dan karenahnya saya hanya anggap lucu terutama bila dia masih terlalu risaukan tentang hidup saya serta anak cucunya yang lain.
Sungguhlah, jiwa dan semangatnya sangat kuat namun fizikalnya tidak lagi mengizinkan.
Dan kini tiada lagi permintaan daripadanya untuk diurut belakang dan pinggangnya yang lenguh. Tiada lagi kulit tuanya yang berkedut dan menggeleber yang saya suka tarik-tarik manja. Tak dapat lagi saya lihat wajahnya yang gembira dan kehairanan bila saya tunjuk dan cerita tentang gambar-gambar niaga dan jalan-jalan saya.
Ah…semuanya tinggal kenangan…
Sebenarnya saya tengah cuba tahan sebak ketika menulis entri ini. Rasanya, saya patut berhenti di sini.
Tak apa Tok, dah lama benar Tok menempuh hidup ini. 90 tahun usiamu di dunia. Pasti banyak pahit manisnya. Sekarang masanya untuk berehat di sisi-Nya. Semoga dengan rahmat Allah kita dikumpulkan semula di syurgaNya kelak ya Tok. InsyaAllah. Ameen.
Al-Fatihah.~❤️NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”