Jujurnya saya bukan penggemar hidangan kambing. Namun begitu, restoran yang satu ini berjaya membuatkan saya teringat kesedapan masakan kari kambingnya sehingga ke saat ini.
Restoran Kari Kambing 40 Hari nama diberi. Biasanya saya tak begitu gemar untuk makan menu kambing tapi di restoran ini berselera habis saya makan. Licin.
Pada mulanya saya risau juga nak cuba kari kambingnya takut sama macam menu-menu kambing yang lain. Tapi saya beranikan diri ambil hidangan set Nasi Arab Kari Kambing kerana ia sajian signature restoran ini.
Fuhh! Selepas mencubit sedikit daging kambing, gaul kuahnya dengan nasi Arab panas bersama acar timun; ternyata rasa kuah kari kambingnya yang pekat, pedas-pedas manis bersama campuran rempah ratus istimewa; memang padu!
Daging kambingnya juga tak liat dan tiada bau kambing. Dagingnya enak berjus; terasa rempah karinya yang berbeza dari kari yang pernah saya nikmati sebelum ini. Nasi Arabnya pula tidak terlalu kering atau lembab dan paduan kari kambing serta acar timun tomato menambahkan lagi selera. Minum pula dengan air sejuk manis. Perghhh!
Kena sangat dengan deria rasa saya; hinggakan saya rasa mahu bawa keluarga sendiri ke sana suatu hari nanti; sebab rugi rasanya kalau tak berkongsi kegembiraan ini dengan yang tersayang. Ahaha…
Oh saya ke sana bersama keluarga sahabat yang tinggal di Muar, Johor. Saya ikut mereka yang ingin selesaikan suatu urusan di Johor Bahru dan dalam perjalanan balik, singgah sebentar makan tengah hari di Restoran Kari Kambing 40 Hari ini.
Kami tiba kira-kira jam 2 petang begitu, namun orang ramai penuh di segenap ruang kedai yang luas ini; masing-masing menikmati keenakan menu Nasi Arab bersama lauk pilihan mereka.
Mujur masa tu, barisan untuk layan diri tempah & ambil hidangan tak begitu panjang. Servis staf yang sedia hidangan juga cepat.
Cuma tempat duduk susah nak cari yang kosong. Kalian boleh pilih nak makan di meja atau di ruang khas duduk di atas lantai.
Meskipun tak banyak pilihan menu di Restoran Kari Kambing 40 Hari ini namun setiap hidangannya ada rasa yang akan buat kalian teringat-ingat. Hehehe.
Pada sebelah pagi, tak silap saya ada menu roti canai. Tengah hari, ada menu Nasi Arab Ayam atau Nasi Arab Kari Kambing.
Kemudian, uniknya kalian boleh pilih untuk ambil pakej makan dalam dulang atau pinggan. Harga menu di Restoran Kari Kambing 40 hari ini juga agak berpatutan.
Satu dulang Nasi Arab Ayam atau Nasi Arab Kari Kambing 40 Hari berharga RM48 setiap set. Sementara itu, sepinggan Nasi Arab Ayam atau Kari Kambing pula RM13 sahaja.
Lokasi Restoran Kari Kambing 40 Hari
No. 215, Kampung Haji Ghafar, Batu 5 1/2, Jalan Yong Peng, Batu Pahat , Johor.
Restoran ini bersebelahan dengan laluan Lebuh Raya Utara-Selatan kawasan Air Hitam. Jika kalian menggunakan highway tersebut, kalian perlu exit dari highway untuk ke tempat ini kerana lokasinya di tepi jalan dalam.
Mengikut maklumat yang saya dapat dari messenger Facebook restoran ini, jika kalian dari arah Selatan, keluar Tol Air Hitam jumpa traffic light, belok ke kiri menuju pekan Air Hitam, kemudian jumpa traffic light, belok ke kanan menuju Jalan Yong Peng.
Sementara itu, kalau yang dari Utara nak ke sana; keluar Tol Yong Peng Utara & tuju ke pekan Yong Peng, jumpa traffic light, belok ke kanan masuk ke Jalan Ayer Hitam, Johor.
Waktu operasinya pula setiap hari dari pukul 7.30 pagi hingga 3.30 petang. Kalian boleh layari Facebook mereka di sini atau hubungi talian 019-6272243 untuk sebarang maklumat lanjut.
Kalau boleh datang awal sebab saya rasa kedai ni memang rezekinya sangat murah kerana pelanggannya sangat ramai pada satu-satu masa dan tidak putus-putus. Tak salah kalau saya katakan ia antara tempat makan menarik di Johor.
Ramai geng motor dan keluarga yang datang singgah. Tempat letak kereta dan motosikal juga luas. Surau turut disediakan. Ajaklah keluarga dan kawan-kawan kalian ke sana. Tak rugi mencuba sebab ternyata sedap!~❤️NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”