Awal bulan ini (sekarang dah hujung bulan pun, lama betul saya tak menulis; hahaha), saya ke negeri Cik Siti Wan Kembang. Saya jarang ke sana. Pemergian kali ini adalah bertujuan untuk melawat adik saya yang sudah lebih dua tahun mencari rezeki di negeri itu.
Sejak dia mula bekerja di sana, saya belum pernah mengunjunginya. Hanya dia sahaja yang sering berulang-alik pulang dari Kelantan ke Pulau Pinang atau mana-mana tempat pertemuan yang sudah kami janji lebih awal.
Okey, di Kelantan, perkara yang paling saya suka buat ialah pergi ke pantainya selain jalan-jalan cari makan.
Bagi saya, pesisir laut di negeri pantai timur lebih cantik berbanding di negeri-negeri utara atau selatan Semenanjung. Kawasan pantainya lebih lapang dan landai. Lautnya juga luas terbentang.
Ermmm..sebenarnya saya bukan nak bercerita tentang pantai. Hahaha. Saya nak bercerita tentang sejenis menu hidupan air yang kini mungkin menjadi antara makanan wajib saya cari jika ke Kelantan lagi selepas ini.
Makanan yang saya maksudkan ialah etok salai!
Melalui pembacaan dan pengalaman, etok atau juga dipanggil kerang sungai ini lebih dijumpai di negeri Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu). Saya kurang pasti apakah puncanya.
Etok atau nama saintifiknya Corbiculacea ialah haiwan kerang-kerangan yang mendiami kawasan air; biasanya di sempadan antara air tawar dan air masin, namun lebih kepada kawasan sungai rendah berbanding muara yang berhampiran laut. Maklumat ini saya petik dari sini.
Ada yang kata sebutan asal hidupan air ini ialah ‘etak’ tetapi dialek oghe Kelate menyebabkan ia disebut sebagai ‘etok’.
Saya jarang ke Kelantan, jadi saya mungkin tidak ingat sama ada saya pernah makan etok atau tidak sebelum ini. Ketika diberi peluang merasa etok baru-baru ini, saya terus menggemarinya.
Walaupun payah gila betul nak buka cangkerangnya; tapi hasilnya sangat berbaloi bila kita sudah berjaya buka dan makan isinya yang jernih. Very juicy and yums! Bagi sayalah. Haha.
Sebetulnya, banyak cara untuk memasak etok namun di Kelantan, etok yang siap disalai lebih terkenal. Mungkin lebih mudah menyediakannya dengan cara tersebut.
Bagaimanapun, antara resepi etok yang lain termasuklah etok masak lemak cili api, etok goreng cili, etok masak sambal dan etok masak serai.
Ketika di sana, ada 3 gerai etok salai yang saya, keluarga dan sahabat singgah. Ada pelbagai ‘perisa’ rupanya; ada etok salai tomyam, etok salai padprik dan etok salai tiga rasa. Kebanyakannya menjual etok salai tomyam.
Gerai-gerai etok ini boleh dilihat di tepi jalan Lebuh Raya Timur-Barat antara Jeli, Bukit Bunga, Tanah Merah menuju Kota Bharu. Dah ternampak tu, cubalah singgah dan rasa sendiri snek oghe Kelate ni.
Satu bungkus RM2; tiga bungkus RM5. Sebungkus dapatlah lebih kurang 20 etok. Jadilah buat kudapan kami sepanjang perjalanan menuju destinasi.
Itu pun belum tentu habis sebelum tiba destinasi sebab nak buka etok bukan macam buka kerang biasa! Cabarannya hanya Tuhan saja yang tahu; terutama untuk mereka yang makan buat kali pertama. Hahaha.
Cara Buka Etok
Jadi, macam mana agaknya nak buka cangkerang si etok ni ya? Sebelum tu saya nak bagi ingatan kepada mereka yang nak cuba buka etok ni. Kuku atau gigi kalian mungkin akan ‘rosak’ sedikit tau. Hahaha.
Ketika singgah di gerai yang awal, kami tak teringat nak bertanya cara makan/buka etok. Selepas berhempas pulas untuk makan kali pertama, kami bertanya kepada penjual di gerai seterusnya.
Nak buka etok ada beberapa cara. Pertama, kalian boleh cuba buka dengan tangan/kuku dengan bantuan pisau atau cangkerang etok lain yang sudah dibuka.
Cara penjual tu cakap dan tunjuk demo nampak senang tapi bagi saya cara ni agak payah dan bahaya juga apabila melibatkan pisau. Perlu lebih berhati-hati.
Sebelum saya tanya penjual, memang saya cuba buka guna tangan/kuku cuma tanpa guna pisau atau cangkerang lain.
Saya cuba kecap-kecap atau sedut-sedut dulu etok tu supaya keluar sedikit air dari dalam cangkerang (ada rasa manis-manis seafood gitu) hinggalah cangkerangnya terbuka sikit. Bila dah nampak bukaan (bukaan yang maha kecil tau…hahaha), baru saya cuba kopek dengan kuku.
Nak buka guna kuku tu pun makan masa juga. Jadi, cubalah beberapa kali sampailah berjaya buka ya. Yang pasti, kuku saya yang tak berapa nak cantik ni, jadi lebih teruk – sumbing sana-sini. Hahaha.
Cara kedua yang diajar ialah membuka etok menggunakan gigi; tak kisahlah nak guna gigi depan atau geraham kalian.
Ini pun penjual tunjuk cara tapi saya rasa oghe Kelate mungkin dah ada skill buka etok yang hebat; jadi tiba-tiba saja dah terbuka dengan mudah.
Penjual tu hanya mengulum dan tak gigit sampai pecah pun cangkerangnya; tapi etok terbuka dengan senang saja.
Kami cuba buat tapi tak berjaya dan akhirnya terpaksa jua gigit cangkerangnya guna gigi geraham hingga retak/pecah. Bila dah dapat rasa satu, tak nak pula berhenti makan etok seterusnya.
Walau payah dan melekakan nak mendapatkan isinya, namun rasanya yang berjus serta ada manis-manis tomyam/padrik/3 rasa tetap memikat deria untuk terus menikmati keenakkan kerang sungai ini.
Siapa yang belum pernah makan etok, cubalah rasa. Siapa yang ada cara lebih mudah untuk buka dan makan etok, kongsikanlah di ruangan komen ya.
Sungguh, sampai sekarang teringat-ingat lagi. Bagi sayalah.~❤NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”