Bilakah waktu sebenar kitab suci Al-Quran diturunkan? 17 Ramadhan atau antara 10 malam terakhir Ramadhan?
Baru-baru ini saya mendengar kuliah Subuh di Masjid Ibadur Rahman, Kepala Batas, Pulau Pinang yang disampaikan oleh Imam Muda Razi. Tajuk yang disampaikan ialah Manusia & Kitab Suci Al-Quran. Dalam kuliah pendek itu, beliau menjelaskan tentang betapa pentingnya hubungan manusia dengan Al-Quran ketika kita masih lagi diberikan nyawa di dunia ini.
Katanya, keakraban kita dengan Al-Quran, dengan izin Allah akan menentukan sama ada kita akan memperoleh syafaat dari kitab suci tersebut ketika di dalam kubur dan pada hari perhitungan kelak. Syafaat di sini bermaksud pertolongan bagi melepaskan manusia daripada azab, kesusahan dan kesengsaraan.
Pertolongan atau syafaat dari Al-Quran untuk mereka yang rajin membaca, mengkaji, memahami, mengamal dan menghafal isinya telah disebut dengan banyak dalam hadis Nabi Muhammad SAW.
“Bacalah Al-Quran, kelak ia akan datang pada Hari Kiamat memberi syafaat kepada para pembacanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Pelajarilah Al-Quran oleh kalian, sebab kelak di Hari Kiamat ia akan datang memberi syafaat kepada para pengkajinya.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
“Siapa yang membaca Al-Quran; di mana ia membacanya pada waktu solat di tengah malam dan siang hari, ia menghalalkan halalnya dan mengharamkan haramnya, maka Allah haramkan daging dan darahnya terkena api neraka; dan akan menjadikannya teman pendamping para malaikat yang mulia dan baik; serta pada Hari Kiamat nanti Al-Quran akan menjadi hujah (pembela) untuknya.” (Hadis Riwayat Thabrani)
“Siapa yang mempelajari Al-Quran, mengajarkan, dan mengamalkan isinya, maka ia akan menjadi pemberi syafaat dan petunjuk jalan menuju syurga.” (Hadis Riwayat Ibnu Asakir)
Selain membacanya, Imam Muda Razi menasihatkan supaya jemaah mengambil tahu juga tentang latar belakang dan sejarah penurunan Al-Quran sebagai bukti kita kenal dan cinta akan kitab suci tersebut. Kata orang, jika kita benar-benar suka pada seseorang atau sesuatu perkara, kita pasti mahu berkenalan seterusnya mengambil peduli tentangnya.
Imam Muda Razi kemudian meneruskan kisah mengenai sejarah ringkas waktu sebenar Al-Quran diturunkan. Beliau bertanya jemaah terlebih dahulu mengapa terdapat perbezaan pada tarikh tersebut. Saya sendiri pernah juga tertanya-tanya tentang mengapa tarikh sambutan Nuzul Al-Quran (17 Ramadhan) berbeza dengan apa yang diwahyukan oleh Allah dalam surah Al-Qadr; cuma belum ada usaha untuk mengambil tahu mengenainya. Huuuuu…astaghfirullahal’azim.
Beliau kemudian menjelaskan bahawa penurunan Al-Quran ketika kedua-dua waktu tersebut adalah tepat cuma yang membezakannya adalah lokasi, penerima dan cara isi kandungan kitab suci itu diturunkan.
Dalam surah Al-Qadr (ayat 1), Allah telah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” Pada malam tersebut, Al-Quran diturunkan oleh Allah secara sekaligus dari tempat simpanannya di Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia.
Sementara itu, 17 Ramadhan menjadi tarikh bermulanya Al-Quran diturunkan secara berperingkat dari langit dunia kepada Rasullulah SAW melalui malaikat Jibril. Proses penurunan ayat demi ayat ini dilakukan sejak baginda dilantik sebagai Nabi sehinggalah ia selesai iaitu ketika baginda hampir wafat.
Ayat pertama yang diturunkan ialah ayat pertama dari surah Al-‘Alaq, “Bacalah (wahai Muhammad SAW) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”. Sementara itu, surah pertama yang diturunkan secara penuh adalah surah Al-Muddathir.
Penurunan wahyu-wahyu Allah secara beransur-ansur tersebut berlaku sepanjang tempoh kenabian Muhammad SAW iaitu kira-kira 23 tahun; merangkumi 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah.
“Dan sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam, dibawa turun oleh Ar-Ruhul Amin (Jibril) ke dalam hatimu (Muhammad SAW) supaya kamu menjadi salah seorang di antara orang yang memberi peringatan dengan bahasa Arab yang jelas.” – Surah As-Syura : 192-195
Semua ini dijelaskan serba sedikit dalam kuliah yang saya hadiri pada hari berkenaan. Jika kalian masih berminat untuk mengetahui lebih lanjut, boleh rujuk di sini atau di sini untuk membaca tentang sejarah proses penurunan Al-Quran ini. Menarik dan begitu mengagumkan!
Jadi, sekarang baru saya tahu mengenai peristwa ini dan mendapat jawapan kepada persoalan yang selama ini tidak pernah saya ambil peduli walaupun kadang-kala ia berlegar-legar dalam kepala. Saya doakan semoga Allah berikan kemudahan untuk kita semua mendalami lebih banyak ilmu baru.~❤NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”