Dalam hidup ini, setiap manusia pasti pernah mengalami rindu, resah dan gelisah dalam hati yang mungkin saja tidak diketahui puncanya atau ada punca tertentu yang menyebabkan ia terjadi.
Boleh jadi ia perasaan rindu pada seseorang yang sudah tiada; atau yang tidak kunjung tiba.
Resah dan gelisah mengenangkan kesilapan dan dosa silam; memori lalu; resah atau sakit hati melihat kegembiraan orang lain atau perkara yang belum terjadi.
Kebiasaannya, jelas sekali rasa-rasa ini lebih banyak mengarah kepada hal-hal keduniaan.
Namun, bagi yang luhur imannya, semua rasa ini terarah kepada kerinduan terhadap Allah, Rasul-Nya serta hari akhirat.
Resah dan gelisahnya pula lebih berkisar kerisauan tentang bekalan akhirat untuk dirinya yang masih sedikit, kerdil, masih tiada daya upaya melakukannya; atau masih bukan yang terbaik walau di mata Tuhan mungkin sudah banyak yang diusahakannya.
Walau apa pun rasa yang menyelubungi – yang baik mahupun yang kurang menyenangkan; semuanya dari Allah jua.
Justeru, hati yang diserang emosi-emosi ini, pasti ubatnya datang dari Allah jua – zat yang berkuasa mengadakan dan menarik balik tiap sesuatu yang kita alami.
Ada pelbagai cara untuk kita mendapatkan penawarnya dari Allah. Ulama dan ahli sufi terkenal, Syeikh Ibrahim Al-Khawwas, pernah berkata, ubat penyakit hati ada lima.
1) Membaca al-Quran berserta maknanya.
Al-Quran ialah mukjizat paling istimewa yang ditinggalkan Nabi Muhammad SAW kepada kita.
Betapa ajaibnya mukjizat tersebut apabila isi kandungannya masih terpelihara dan tidak berubah hingga hari ini.
Keistimewaan tersebut pastinya bukan sia-sia. Tentu ada penawar di dalam setiap helaiannya.
Menatapnya sahaja pun sudah memberikan kita pahala. Apatah lagi, membaca setiap huruf dan maknanya.
Mereka yang menekuni isinya dengan hati terbuka, tidak pernah menyanggah bahawa membaca al-Quran sememangnya mencambah rasa tenang dalam jiwa dan kagum kepada Pencipta.
2) Berpuasa sebagai rutin.
Amalan berpuasa berupaya menundukkan hati yang lalai.
Kenyataan itu berdasarkan kepada satu daripada sabda Nabi Muhammad SAW tentang mereka yang ingin berkahwin namun tiada kemampuan untuk melakukannya.
Baginda menyarankan golongan tersebut berpuasa kerana amalan itu berupaya membantu menahan nafsu manusia.
Ia satu daripada cara terbaik untuk bukan sahaja mengendalikan nafsu daripada melakukan perkara maksiat dan tidak bermanfaat malah menundukkan emosi seseorang.
Justeru, selain puasa wajib, ada pelbagai jenis puasa sunat yang boleh diamalkan.
Antaranya, puasa setiap Isnin dan Khamis; puasa Nabi Daud; puasa hari-hari putih iaitu pada tarikh 13, 14 dan 15 setiap bulan Islam; puasa enam hari Syawal dan puasa Hari Arafah.
3) Mendirikan solat Tahajud secara konsisten walaupun sedikit.
Seorang penceramah di sebuah stesen Radio IKIM baru-baru ini pernah berkata, solat Tahajud berupaya menggerakkan minda separa sedar.
Hal itu demikian kerana solat Tahajud yang kita lakukan pada satu pertiga malam bukanlah suatu aktiviti harian yang biasa-biasa tetapi ia aktiviti khusus yang berupaya menjentik minda separa sedar.
Oleh sebab itu, apa saja yang dirintihkan atau didoakan kepada Allah ketika kita bersendirian pada sepertiga malam itu datangnya dari naluri semulajadi dan dari lubuk hati kita yang paling dalam.
Pada masa itu, ia mungkin saat paling ikhlas dan bersungguh-sungguh kita memanjatkan doa. Kata Imam Syafi’e, doa pada saat Tahajud umpama anak panah yang tepat mengena sasaran.
Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya pada malam hari, ada satu saat yang ketika seorang muslim meminta kebaikan dunia dan akhirat, pasti Allah memberinya, itu berlangsung setiap malam.” (Hadis Muslim)
4) Berzikir dan berselawat sambil ingat kebesaran-Nya.
Satu daripada cara mengubati hati dan emosi adalah dengan sentiasa mengingati Allah yang Maha Berkuasa.
Berzikir secara sedar dan menghayati setiap bait zikir tersebut. Kalimah zikir paling agung ialah Laa Ilaha Illallah (Tiada Tuhan selain Allah).
Cuba juga bertasbih (Subhanallah), bertahmid (Alhamdulillah) dan bertakbir (Allahuakbar) ketika ada peluang; contohnya selepas solat, ketika memandu atau melakukan kerja-kerja rumah.
Setiap erti di sebalik bait zikir itu, kaitkan ia dengan nikmat dan rahmat yang telah Allah kurniakan kepada kita sehingga ke saat ini.
Manfaatkan juga masa terluang dengan berselawat. Banyak keajaiban yang boleh berlaku dengan izin Allah hasil daripada amalan ini.
5) Bergaul dengan sahabat atau kumpulan orang yang soleh.
Adakala manusia tidak nampak kekurangan diri mereka. Mereka memerlukan orang lain untuk melihat sisi lemah masing-masing.
Namun begitu, ada juga manusia yang sentiasa merasa diri mereka penuh kesilapan dan dosa.
Walau bagaimana keadaan diri kita, penting untuk kita mencuba sedaya upaya berada dalam kalangan orang yang baik dan soleh.
Sahabat yang soleh misalnya, ialah seseorang yang mampu menegur kesilapan yang mungkin tidak kita sedari selama ini.
Sahabat dan kumpulan orang yang soleh boleh memotivasi, mengajak dan mengingatkan kita terhadap perkara kebaikan.
Mereka mungkin boleh melihat sudut blind spot dalam diri kita dan membetulkan perkara yang kurang dalam diri.
Orang yang kita mungkin anggap musuh juga boleh menjadi pengingat untuk menjadi lebih baik.
Jadikan apa yang dikatakan mereka sebagai jalan untuk muhasabah diri.
————
Bagi saya, kelima-lima ubat di atas tidak semestinya ‘ditelan’ sekaligus dengan banyak.
Bimbang pula ia bakal membuatkan diri menjadi ‘overdose‘ seterusnya mematikan langkah untuk melakukannya secara konsisten.
Yang penting adalah berusaha melakukan semuanya atau beberapa daripadanya; dalam jumlah yang sedikit dahulu secara tekal.
Kemudian perlahan-lahan kita cuba pula meningkatkan jumlahnya seiring dengan masa.
InsyaAllah mudah-mudahan kita semua dipermudahkan untuk mengubati hati yang lara, rindu, lalai dan resah ini.~❤NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”