Hari ni cuaca masih terasa bahang dan pengap di Pulau Pinang; kesan daripada keadaan jerebu yang melanda Malaysia sejak beberapa bulan lalu.
Lemas saya dibuatnya kerana langit nan biru tidak kelihatan sudah hampir seminggu lamanya. Mata pun dah rasa pedih-pedih. Tekak dan mulut juga kering.
Semalam saja, portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) merekodkan bacaan tertinggi indeks pencemaran udara sangat tidak sihat iaitu 260 di kawasan Balik Pulau manakala di Seberang Prai (193).
Hari sebelumnya pula saya rasa keadaannya lebih teruk tapi sistem APIMS mengalami gangguan dan gagal merekodkan indeks sebenar pencemaran udara terutama pada sebelah petang.
Ketika berkereta di laluan tepi pantai lebuh raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) kelmarin, pemandangan skyline termasuk bangunan Komtar di bahagian pulau lenyap sama sekali.
Saya tak dapat bayangkan bagaimana agaknya penduduk di Sarawak lebih terjejas dengan keadaan jerebu di tempat mereka kerana ada kawasan yang merekodkan kualiti udara sangat tidak sihat iaitu IPU mencecah lebih 270.
Teruknya saya rasakan. Sampainya hati pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa melakukan pembakaran hutan di negara jiran membiarkan alam dan manusia di sekeliling mereka sesak nafas.
Agaknya keluarga sendiri yang ‘lemas’ dalam jerebu pun mereka tak peduli; apatah lagi orang luar/awam lain.
Ini semua gara-gara pendeknya akal mereka yang mementingkan keuntungan sendiri dan tidak memikirkan langsung kemudaratan ke atas orang lain.
Oleh sebab kita seolah-olah tidak mampu mengawal kedatangan jerebu yang bertandang hampir setiap tahun, maka kita lakukan langkah keselamatan yang terdaya ketika menghadapi ‘serangannya’.
Di sini, saya kongsikan 10 tips menghadapi keadaan berjerebu yang boleh kita sama-sama praktikkan demi kesihatan tubuh kita ketika udara luar tercemar teruk.
1) Cari dan pakai penutup hidung & mulut (mask) yang betul.
Kebiasaannya, orang ramai gemar menggunakan penutup hidung & mulut yang digunakan hospital semasa pembedahan. Mask ini bukan mask yang betul dan pastinya bukan yang terbaik dalam menapis partikel udara halus.
Mask yang betul dan terbaik ialah jenis N95 dan P100 (rujuk gambar bawah). Penutup jenis ini boleh menapis sehingga 95% partikel halus (2.5 micron) dalam udara dengan lebih berkesan.
Sentiasa gunakan penutup hidung dan mulut ini ketika berada di luar.
2) Minum air masak dengan kerap.
Amalkan minum air masak sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Di kala jerebu, pengambilan air kosong digalakkan untuk dilebihkan walaupun kalian tak dahaga.
Jerebu buat kita rasa bahang & terpengap. Minum air bukan saja untuk elak mulut & tekak kering tetapi juga untuk meregulasi suhu badan.
3) Kerap mencuci muka dan mandi.
Cuaca yang tidak berangin berikutan langit dilitupi jerebu mengakibatkan rasa panas dan terpengap.
Ia juga boleh menyebabkan kulit dan badan mudah kotor dan kering kerana jumlah partikel debu/habuk/asap yang tinggi dalam atmosfera.
Jadi, janganlah malas mandi dalam keadaan udara terpengap ni ya. Sekurang-kurangnya kulit kita sentiasa bersih, segar dan tidak terhidrat.
4) Kurangkan buat aktiviti luar.
Udara di luar sangat tidak sihat ketika jerebu teruk. Kalau masih degil, bersedialah untuk kemungkinan diserang gatal-gatal tekak, batuk, kerap bersin, hidung berair, sakit dada, pedih mata & susah nak bernafas.
Jadi, chill saja di rumah waktu-waktu jerebu ni. Baca buku, tonton filem/televisyen, kemas rumah atau buat aktiviti menyeronokkan dalam rumah bersama anak-anak.
5) Jangan buat pembakaran terbuka.
Dah berjerebu teruk ni tak payahlah nak tambah ‘kabus’ yang ada dengan membuat pembakaran terbuka. Cukup-cukuplah merosakkan alam sekitar dengan asap tak perlu ni.
Tolong tingkatkan kesedaran sivik dan penjagaan alam sekitar. Negara kita berwawasan jauh nak jadi sebuah negara maju tapi sayanglah kalau rakyatnya masih lagi mundur minda dalam aspek memelihara alam sekeliling.
6) Mengembara atau melancong ke tempat tiada jerebu.
Okay yang ni kalau kalian ada rezeki lebih, pergilah travel ke tempat atau negara yang tak diserang jerebu, buat sementara waktu. Tapi kena bersedia juga kalau-kalau flight kalian tak lepas airport Malaysia sebab pilot tak nampak jalan. Huhuhu.
7) Sentiasa waspada dengan pengumuman keselamatan.
Pada waktu-waktu getir begini, jangan abai atau tak ambil peduli tentang pengumuman langkah-langkah dan amaran keselamatan/kesihatan yang dibuat oleh pihak berkuasa.
Misalnya, ambil tahu skala indeks pencemaran udara (IPU), maklumat penutupan sekolah atau pejabat dan tips-tips menghadapi jerebu.
8) Hidupkan pendingin hawa rumah atau kenderaan untuk keselesaan.
Pendingin hawa membantu menapis debu dalam udara. Bagaimanapun, pastikan pendingin hawa rumah kalian sudah diselenggara terlebih dahulu supaya fungsinya lebih berkesan.
Untuk pendingin hawa kenderaan pula, pastikan ia diletakkan pada mod kitaran udara dalaman bagi mengelakkan udara dari luar masuk ke dalam kenderaan.
9) Jumpa doktor segera jika alami sesak nafas atau masalah kesihatan.
Ada pelbagai simptom boleh dilihat sekiranya seseorang itu mengalami masalah kesihatan akibat sering terdedah dengan jerebu.
Antaranya, sesak nafas, batuk-batuk, sakit tekak, selesema dan mata menjadi kering.
Cepat-cepat berjumpa doktor untuk rawatan dan khidmat nasihat. Jangan tunggu sampai melarat. Dah jumpa doktor, jangan pula tak ikut arahan yang beliau berikan ya.
10) Akhir sekali, banyakkanlah berdoa kepada Allah.
Baru-baru ni saya ada terbaca nukilan seorang influencer di Facebook yang memetik kata-kata seorang ustaz.
Ustaz tersebut meminta umat Islam supaya tidak berterusan merungut tentang masalah jerebu yang berlaku, sebaliknya lebihkan berdoa dan mendirikan solat hajat memohon pertolongan Allah untuk menghilangkan jerebu.
Katanya, benar jerebu sudah berlaku akibat dari tangan-tangan manusia namun jerebu yang datang ke Malaysia, dibawa oleh angin. Sedarkah kita bahawa semua pergerakan alam termasuk angin dikawal oleh Allah.
Justeru, minta dan mohon kepada Allah untuk Dia lapangkan ruang langit kita dari berterusan lama diselubungi jerebu dan kemudaratan yang diakibatkan darinya.
Ada satu mesej dari grup Whatsapp yang saya terima pula meminta kita sentiasa beristighfar (mohon keampunan) supaya Allah turunkan rezeki yang baik termasuk hujan yang bermanfaat. Hujan rahmat yang boleh mencuci langit yang kini tercemar teruk.
Sesuai dengan ayat 10 hingga 13 dalam Surah Nuh, di mana Allah menceritakan apa yang diucapkan Nabi Nuh A.S dalam usaha dakwah baginda kepada kaumnya.
Ajakan dakwah Nabi Nuh A.S ini bertujuan memberi kesedaran kepada kaumnya tentang sifat Allah yang Maha Baik, Maha Pemberi Rezeki dan Maha Pengampun; sekiranya mereka menerima ajaran yang mengesakan Tuhan.
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): ‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (10)
Surah Nuh:10-13
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; (11)
“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (12)
“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya).” (13)
Berdoa juga buat pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menyumbang kepada masalah jerebu; supaya mereka diberikan kesedaran untuk tidak mengulangi perkara sama pada masa depan.
Okay, harapnya tips-tips yang dikongsikan ini boleh membantu kalian menempuh musim jerebu 2019 ini dengan jayanya. InsyaAllah.~ā¤NH
Tiga puluh tujuh. Kosong tujuh. Pendiam tetapi sedikit riuh dengan yang dipercayainya. Suka melihat langit; menulis coretan; membelek buku; berjalan-jalan; dan belayar ke pulau kapuk. Bersandar kepada “ada tidak semestinya beruntung; tiada tidak semestinya rugi.”